Thursday 25 October 2012

Hikmah Pensyari'atan Haji...


Bismillah..Alhamdulillah..Allahuakbar.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
(Surah al-Hajj:27)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya:
  • Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama Hanafi berkata, termasuk dosa besar.
  • Membersihkan jiwa daripada maksiat.
  • Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.
  • Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
  • Mengukuhkan lagi husnu al-zan (sangka baik) dengan Allah SWT.
  • Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
  • Memperbaharui (tajdid) perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
  • Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
  • Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
  • Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.
  • Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
  • Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
  • Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
  • Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.
  • Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya seperti nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal dan lain-lain.
  • Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.

~mujahid91~

Read more...

Friday 5 October 2012

Refleksi Diri

Bismillah..Alhamdulillah.

#Ramai manusia menjadi hamba kepada dunia, sedikit pula mereka yang menjadi hamba Allah.

#Orang yang melupakan akhirat akan melihat dunia sebagai tempat untuk bersuka ria & bersenang lenang, padahal dunia hanya sekadar tempat persinggahan yg sementara dalam perjalanan menuju Akhirat yg abadi.  

#Mukmin yg sejati memiliki sifat rendah diri (tawaddu') pada Allah, manakala mereka bersifat rendah hati dengan manusia lain.

#Ramai orang mahir ilmu dunia, tetapi sedikit orang yg tahu & mahir ilmu akhirat.   

#Orang yg bahagia ialah orang yg selalu membahagiakan orang lain.

#Orang yg pandai suka mengambil peluang, tetapi orang yg bijak suka mencipta peluang.

#Orang yg bijak ialah orang yg sering mengingati mati & bersedia menghadapinya.

#Akhlak yg baik terbentuk dari dalaman (rohani) yg baik, rohani yg baik pula terbentuk dari akidah yg baik (benar).

#Kata-kata & tindakan kita menggambarkan sifat dalaman kita. Jika baik, maka baiklah kata-kata & tindakan kita, atau sebaliknya.

#Kematangan diri bukanlah dilihat pada usia, tetapi dilihat pada gaya pemikiran, emosi dan tingkah laku.

#Orang yg hebat ialah orang yg sentiasa berusaha mematangkan diri dan belajar dari kesilapan.


~ana_mujahid91~
Read more...

Wednesday 1 August 2012

Didik Diri Dengan Sifat Ihsan..

Bismillah...

Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka  diampunkan segala dosanya yang terdahulu”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Syukur Alhamdulillah kerana telah seminggu Ramadhan bersama kita, mudah-mudahan kita sedang bersemangat melakukan ibadah kepada-Nya. Setelah sekian lama tidak mengemaskini laman ini, Insya-Allah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai sifat Ihsan.

‘Ihsan’ bermaksud kebaikan, ketepatan atau kesempurnaan atau lebih tepat lagi ialah memperelokkan amalan. Sebagaimana dalam satu hadis panjang yang agak popular bagi sesetengah dari kita iaitu sebuah hadis yang digelar “hadis Jibril” (Hadis ke-2 daripada Hadis 40 Imam Nawawi).

Dari Umar r.a. berkata yang bermaksud,
“...Lelaki itu (malaikat Jibril) berkata lagi; ‘Khabarkan kepadaku tentang Ihsan.’ Nabi SAW bersabda; ‘Engkau beribadah kepada Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.’... ”
(Hadis riwayat Muslim,Abu Daud,Tirmizi dan An-Nasai’)

Rumusan yang boleh dibuat berdasarkan penjelasan Nabi SAW tersebut, kita dituntut supaya senantiasa meletakkan diri dalam pengawasan Allah SWT setiap kali kita beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, setiap aktiviti atau pekerjaan yang dilakukan merupakan ibadah (sama ada ibadah umum atau khusus). Ini kerana mereka percaya dan yakin bahawa setiap manusia dijadikan oleh Allah tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ad-Dzariyat; ayat 56 yang bermaksud,
“Dan tidak Kami ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Seharusnya setiap pekerjaan yang kita lakukan seperti makan, minum, tidur dan bekerja menjadi ibadah kepada Allah. Justeru, sifat ihsan sangat penting kepada diri kita agar setiap pekerjaan yang dilakukan itu mendapat keredhaan daripada Allah seterusnya diberi ganjaran pahala oleh-Nya.

Selain pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi rosak, tanpa sifat ihsan juga secara tidak sedar mungkin akan membawa kita kepada “menyekutukan-Nya”. Sebagai contoh, ibadah solat yang kita lakukan tanpa rasa ‘Ihsan’ bukan sahaja membuatkan kita lalai dan tidak khusyuk bahkan boleh mengubah niat asal ibadah tersebut iaitu daripada niat “kerana Allah” kepada niat hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. 
Nau’zubillah...

Begitu juga dengan pekerjaan yang kita lakukan seharian. Boleh jadi kita lakukan kerja tersebut semata-mata untuk mengambil hati majikan kita, sedangkan “majikan” yang sebenar kita ialah Allah SWT. Selain itu, sifat ‘Ihsan’ juga boleh melindungi kita daripada dosa. Kadangkala sesetengah pekerjaan yang kita lakukan boleh membawa kita kepada amalan rasuah, makan “gaji buta”, menipu dalam timbangan (perniagaan) dan sebagainya. Namun dengan adanya sifat ‘Ihsan’, kita dapat menghindarkan diri daripada dosa-dosa tersebut. Insya-Allah...Wallahua’lam.



Firman Allah SWT,

“Katakanlah; Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”             


~Tinta Mujahid91~

Read more...

Friday 13 July 2012

Menanti Ramadhan...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Insya-Allah jika dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kita bakal menyambut kehadiran Ramadhan al-Mubarak beberapa hari saja lagi. Sesungguhnya ia adalah bulan yang mulia dan diberkati Allah.
Maka, ketika ini ramailah yang sedang membicarakan tentang solat tarawih, Lailatul qadar, bazar Ramadan dan sebagainya. Bagi kanak-kanak pula, topik utama mereka tidak lain pasti perihal mercun. Ada juga diantara kita yang sudah mula merancang menu untuk berbuka puasa nanti. Bahkan ada yang sudah mula membuat tempahan baju raya dan kuih raya. Masya-Allah..belum lagi tiba bulan Ramadhan, mereka sudah berfikir tentang hari raya. Padahal mereka yang berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna sahaja layak meraikan hari raya.
Namun demikian, bagi mereka yang betul-betul cinta akan amal ibadah sudah pasti tidak sabar menanti kehadiran bulan yang dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT. Pastinya mereka telah melakukan persiapan rapi untuk menggandakan amal ibadah mereka di bulan tersebut.
Ibarat menyambut kedatangan “tetamu istimewa”.
Itulah perumpamaan yang sesuai bagi mereka yang merindui kedatangan Ramadhan. Mereka akan mempersiapkan diri dengan ilmu tentang puasa, menjaga kesihatan dan pemakanan, dan lain-lain lagi. Manakala di masjid-masjid pula, sudah dirancang program ‘Ihya Ramadhan bagi memeriahkan lagi kedatangan bulan Ramadhan itu nanti.
Samalah seperti orang yang sedang bersedia untuk menyambut kedatangan tetamu ke rumah mereka. Lebih-lebih lagi, tetamu istimewa seperti anak menantu, orang-orang kenamaan dan lain-lain. Sudah pasti mereka akan mengemas rumah serta menghiasi rumah mereka dengan perhiasan yang baru dan cantik . Di samping itu, mereka juga pasti tidak lupa untuk menyediakan juadah yang istimewa buat tetamu mereka.
Khatimah.
Disini saya ingin kongsikan beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan. Antaranya:
1.ulangkaji ilmu berkaitan puasa
2.biasakan tidur awal dan bangun awal untuk bertahajjud
3.jaga kesihatan dan pemakanan
4.latih berpuasa sunat
5.pastikan puasa qada’ telah disempurnakan
6.banyakkan membaca quran (latihan untuk bertadarus)
7.mohon keampunan Allah atas dosa kita yang lalu supaya Allah memudahkan kita untuk melakukan ibadah pada bulan Ramadhan nanti.
8. berdoa supaya Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan nanti dan diberi kekuatan untuk melakukan amal ibadah.
Wallahua’lam...
“Ya Allah, berkatilah kami di Bulan Syaaban ini dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami sebagai hamba Ramadhan, tetapi jadikanlah kami sebagai hamba-Mu, Wahai Tuhan semesta alam.”  Ameen...         

~mujahid91~

Read more...

Saturday 9 June 2012

Taubat Sang Tentera..


Bismillahirrahmanirrahim...


"Dan berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang-orang yang beriman."
(Ad-Dzariyat: Ayat 55)


Pada suatu hari, seorang alim bernama Syeikh Baqan sedang berada di tepi sungai. Tiba-tiba sebuah perahu yang memuatkan sekumpulan tentera lalu di sungai itu. Di dalam perahu tersebut terdapat banyak arak dan benda-benda terlarang lainnya. Syeikh yang berada di tebing sungai tahu akan barang-barang terlarang yang ada di dalam perahu itu dengan kasyafnya (ilmu firasat yang di berikan Allah kpd hambanya yang terpilih).


“Wahai pahlawan! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan naiklah kalian ke darat!” teriak Syeikh Baqan.


    Akan tetapi orang-orang yang ada di dalam perahu itu tidak memperdulikan seruan itu, bahkan menoleh pun tidak. Melihat kedegilan mereka, Syeikh Baqan berseru kepada sungai: “Wahai sungai yang tunduk kepada Allah! Berilah pembalasan terhadap orang-orang jahat itu.”


    Tiba-tiba air sungai bergelora menghempas perahu mereka sehingga hampir saja karam. Pada saat itu mereka memohon maaf kepada Syeikh Baqan dan menyatakan taubat mereka. Mereka benar-benar menyesal dan air sungai kembali tenang seperti sebelumnya sehingga mereka turun dengan selamat. Sejak itu, mereka sering berziarah ke rumah Syeikh Baqan.




#Pengajaran daripada kisah pendek ini adalah bertaubatlah kepada Allah sebelum datangnya bala Allah atas kemaksiatan yang kita lakukan kepada-Nya. Sesungguhnya, kemurkaan Allah tiada siapa yang tahu dan Dia berkuasa menurunkan azab ke atas hamba-hambaNya bila-bila masa sahaja. Justeru, apabila datang peringatan kepada kita, bersegeralah untuk bertaubat sebelum nyawa kita diambil Allah SWT. Sesungguhnya ajal maut tiada siapa yang tahu, maka bersedialah menghadapinya..


~mujahid91~

Read more...

Saturday 19 May 2012

Didik Nafsumu!!!

Bismillah..Alhamdulillah.

Sesungguhnya keinginan dan kecenderungan kepada sesuatu yang menarik, cantik, sempurna,dan berharga itu adalah fitrah bagi setiap manusia. Semua ini didorong oleh nafsu yang wujud didalam dirinya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud,


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
(Ali-Imran:14)


Bagaimanapun, nafsu tersebut hendaklah dikawal dan dididik dengan keimanan yang teguh kepada Allah SWT agar tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh-Nya.


TINGAKATAN NAFSU


Berdasarkan kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, terdapat 7 tingkatan nafsu iaitu:


1.Nafsu Ammarah
2.Nafsu Lawwamah
3.Nafsu Mulhamah
4.Nafsu Mutmainnah
5.Nafsu Radhiah
6.Nafsu Mardhiah
7.Nafsu Kamilah


Bagaimanapun, saya sekadar fokus kepada 4 nafsu terawal sahaja agar kita dapat berusaha ke arahnya terlebih dahulu. Kemudian barulah mudah untuk mencapai 3 lagi nafsu yang mulia dan diredhai Allah iaitu Radhiah, Mardhiah dan Kamilah.



Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang memiliki nafsu Ammarah, dia akan merasa bangga apabila melakukan dosa. Dia merasa sangat gembira dan bahagia apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada di tingkatan nafsu ini akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Dan jika ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang itu akan dimusuhinya. 

Kedua ialah Nafsu Lawwamah. Orang yang memiliki nafsu ini sedar bahawa dirinya sering terlibat dengan dosa. Dan dia sering mengkritik dirinya sendiri apabila terlibat dengan dosa. Sewaktu melakukan dosa, dia tidak terfikir apa-apa pun. Lupa pada Allah yang melihatnya, malaikat disisinya mahupun syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa itu padahal nikmat itu hanyalah sementara. 

Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar bahawa dia telah terlanjur. Lalu, dia menyesal dan mengkritik dirinya sendiri atas keterlanjuran itu. Tapi setelah masa berlalu, dia kembali berbuat dosa tersebut. Bagaimanapun, tingkatan nafsu ini tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu ini mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah kebaikan. 

Tingkatan seterusnya ialah Nafsu Mulhamah.Orang yang bernafsu ini masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa secara tidak sengaja. Bukan kerana suka-suka dia melakukannya. Orang yang bernafsu ini, sewaktu dia sedang berbuat dosa, dia sudah terasa betapa kejinya maksiat yang sedang dia lakukan. Bahkan hatinya pedih bila melakukan dosa itu walaupun tidak sengaja. Orang yang bernafsu ini juga bukan setakat mengkritik dirinya, malah dia berusaha untuk tidak mengulanginya serta mencari jalan untuk menghindari dosa tersebut.

Bagi orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Bagi orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Meskipun datang 1001 macam ujian dan musibah, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia bersujud dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Bahkan musibah yang menimpa dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Manakala, nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya pula dikongsi bersama saudara semuslimnya. Orang yang bernafsu inilah yang dikatakan orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang mampu melaksanakan segala perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan-Nya. Dan mereka inilah yang dijamin syurga dan terselamat dari siksaan neraka Allah di akhirat kelak.


Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,


"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (mutmainnah)Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu);Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia;Dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
(Al-Fajr:27-30) 


KONKLUSI


Sama-samalah kita berusaha mendidik hawa nafsu kita agar kita sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita sama-sama memperoleh keredhaan Allah SWT dan syurga-Nya kelak. Wallahua'lam.. 




~mujahid91~
Read more...

Monday 14 May 2012

Kondisi Rohani...Kadangkala Kita Tidak Pernah Peduli.


Bismillah..Alhamdulillah.
Bila kita terjun ke alam percintaan, ke arah rumahtangga, apa yang biasa kita tekankan?
Banyaknya sekadar keseronokan yang dinamakan ‘keseronokan cinta’. Berbalas hadiah. Bertemu. Bergurau. Saling luah meluah. Ya, semua nampak manis.
Tetapi saya amat menekankan persediaan rohani. Kerana jika benar hendak membawa pasangan ke syurga Allah SWT, bermakna kita hendak melayari kehidupan ini sebagai yang mampu membimbingnya, mendampinginya, sebagai seorang yang sentiasa mampu mendukungnya ke jalan kebaikan.
Kita tidak semestinya perlu menjadi seorang ustaz atau ustazah untuk ingin mempersiapkan rohani kita. Kita perlu sedar bahawa syurga itu bukan tempat ustaz dan ustazah. Ummah ini, bukan dipenuhi oleh orang-orang yang bertitle agama. Syurga tetap menjadi matlamat kita walau kita bukan pelajar atau orang aliran agama. Kita tetap hamba Allah SWT, walaupun kita seorang jurutera atau tentera.
Maka siapakah yang meniti alam percintaan, bergerak ke alam rumahtangga ini, mengambil berat akan kondisi rohaninya?

Allah, apakah Dia menjadi dasar kehidupan kita?
Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56, bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maka apakah kita ini telah menjadikan Allah SWT itu sebagai dasar kehidupan kita pertamanya? Dalam segenap perbuatan dan kelakuan, apakah perintah Allah SWT menjadi dasar kita?
Apakah kita telah suka apa yang Allah SWT suka?
Apakah telah kita benci apa yang Allah SWT benci?
Kita mungkin hamba yang banyak dosa, nama pun manusia. Tetapi apakah kita berusaha meninggalkan apa yang Dia benci? Apakah kita berusaha laksanakan apa yang Dia suka?
Ya. Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda seorang pecinta. Kerana dengan persoalan-persoalan inilah, kita bergerak untuk membina rohani kita, sekaligus membina peribadi.

Hati Itu, Apakah Kita Memerhatikannya?
Hati itu adalah ibu kepada diri. Kerana hati adalah raja. Sekiranya rosak hati, akan rosaklah segala.
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati. Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah kita yang hendak mencintai seorang yang lain, yang hendak membina sebuah rumahtangga, yang ingin  membawa seseorang ke syurgaNya, tidak membina jiwa kita? Tidak memberikan makanan kepada rohani kita?
Hati yang kontang, tidak akan mampu menyuburkan jiwa yang lain. Kerana jika kita ingin memberikan ‘kesan’ kepada hati orang, kita perlu mempunyai jiwa yang sentiasa dibersihkan.
Justeru bagaimana kita hendak memimpin orang yang kita cintai, jika hati kita gelap?

Bagaimanakah Hendak Mencahayakannya?
Hati, bagaimana hendak menjadikan ia bercahaya?
Jika kita perasan di dalam hadith tadi, ada dinyatakan bahawa yang haram itu jelas, dan halal itu jelas. Juga hadith di atas jelas memberikan isyarat agar kita tidak menjauhi perkara yang kita tidak pasti halal atau haram(yakni syubhat). Mengapa hadith itu, berakhir dengan menyebut berkenaan hati yang kalau rosak, maka akan rosak seluruh jasad, kalau baik, baik seluruh jasad?
Kerana perkara yang halal, yang Allah suruh, yang Allah arahkan buat, itu semua akan memberikan kebaikan kepada hati. Akan mencahayakannya, akan membuatkannya bersinar.
Apa-apa sahaja yang haram, yang Allah larang, yang Allah SWT suruh jauhkan, itu semua akan memberikan bintik hitam kepada hati. Akan menggelapkannya, membuatkannya kelam dan hilang cahaya.
Jadi, orang yang benar cinta kepada pasangannya, benar mencintai seseorang yang ingin dia bina rumahtangga bersamanya, maka semestinya perlu keras untuk memperbanyakannya amal kebaikan di dalam kehidupan, dan menjauhi keburukan-keburukan.
Banyak kebaikan yang boleh kita buat. Semudah dari melaksanakan amalan yang memang wajib kepada kita seperti solat, hingga kepada berdiam dari perkara yang buruk. Begitulah luasnya kebaikan. Di tengah-tengahnya, ada perkara-perkara seperti bersedekah, membaca dan mentadabbur Al-Quran, menuntut ilmu, mencari rezeki dari sumber yang halal, berakhlak sopan, mengucap perkataan yang baik, menyebarkan kebaikan dengan berdakwah dan banyak lagi.
Tinggal, apakah kita berusaha untuk memberikan makanan kepada rohani kita?

Penutup: Jangan Kemaruk Bercinta Kosong.
Tidak perlu pun kepada berpegang tangan, memberikan hadiah valentine, hantar SMS kata-kata manis, berhubungan hingga melanggar syariat dan disapa kealpaan, untuk menunjukkan ‘cinta’.
Tetapi dengan berusaha membina hati kita, itu sahaja sudah satu cinta.
Walaupun kita belum menjumpai orangnya, tetapi membina diri itu sudah menjadi satu cinta kepadanya sebenarnya.
Bila cinta adalah mahu membawa orang yang kita cinta itu ke syurgaNya, maka pastinya orang yang memahami akan berusaha membina rohaninya. Daripada rohani yang bersihlah, saya nampak akan munculnya peribadi yang bersih dan emosi yang stabil.
Kita bakal menjadi suami atau isteri, bapa atau ibu. Maka bagaimanakah kita hendak memimpin sebuah keluarga, melayari bahtera cinta bersama, hendak menembus syurga, dengan hati yang kotor, dan jauh dariNya?
Maka jangan kemaruk bercinta kosong.
Cintalah dengan sebenar-benar cinta.
~Hilal Asyraf~

Read more...

Tuesday 1 May 2012

Ada Apa Dengan Bersih 3.0??

Bismillah...


Di sini saya ingin jelaskan beberapa perkara boleh dilihat sepanjang Bersih 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur Sabtu lalu:


1) Setelah melihat keamanan yang panjang dari pagi hingga ke petang, mustahil Peserta-peserta BERSIH secara majoriti ingin merosakkan 'rekod BERSIH terbaik' mereka ini. Jadi jika ada yang berkelakuan buruk, itu adalah segelintir. Dan mungkin, yang segelintir inilah yang angkat barricade (jika benar cerita orang BERSIH yang angkat Barricade). Dan bukanlah kita tidak tahu, bahawa dalam dunia ini ada makhluk yang bernama SB(Special Branch) yang boleh menyusup ke dalam orang ramai, dan melakukan kekacauan ini. Dalam hal ini, boleh jadi Sb atau segelintir Demonstran yang mencetuskan kekacauan.




2) Kita perlu memahami realiti bahawa peserta BERSIH itu ramai. Dan bukan semuanya mahu pergi ke Dataran itu. Ada yang sudah bersiap untuk pulang setelah mendengar ucapan daripada Pemimpin Bersih. Ada yang tidak berada di sana pun, tetapi di tempat lain. Kita dapat bayangkan huru-hara yang berlaku atas 'peristiwa mengejut' ini. Hanya kerana sebahagian kecil, polis hentam semua sama rata. Gas Pemedih Mata dan Penyembur Air itu pergi kepada semua orang, menyakitkan semua orang. Menjadikan orang ramai, yang semenjak siang telah membina kepercayaan kepada pihak polis, rasa terkhianat. Menimbulkan amarah yang tinggi sebilangan peserta BERSIH yang lain. Ini ditambah pula, dengan polis-polis yang memukul dengan ganas dan kasar peserta-peserta. Bahkan, ada peserta yang telah ditangkap, pun masih ditendang dan dipukul. Semestinya sesiapa yang melihat perkara ini marah, dan akan bertindak kasar juga. Ini namanya Mass Effect.




3) Kes kereta langgar orang, saya kira sebahagian dari pembaca telah mendapat pelbagai penjelasan. Pada saya, besar kemungkinan 'polis sengaja melanggar Demonstran'. Tapi, jika nak marah kereta polis itu langgar orang, kita kena ambil kira yang kereta polis itu sendiri sudah hancur dikerjakan orang sebelum pelanggaran berlaku. Mungkin 'dia hilang kawalan kenderaannya, lalu berlakulah kemalangan'. Polis langgar orang, orang pukul polis kerana sangka dia berniat jahat. Namun kena jelas juga bahawa, terdapat beberapa peserta BERSIH lain yang berusaha melerai dan menghentikan pembelasahan itu. Kemudian kes "Kereta diterbalikkan", kerana risau ada orang di bawah kereta polis. Ini kesimpulan saya selepas melihat pelbagai video akan peristiwa itu. Dan apabila orang menyangka 'polis memang sengaja langgar' dan melihat peristiwa pelanggaran ini, nyata mereka naik marah lagi.





4)Pendapat saya, sekiranya benar-benar BERSIH bertujuan membuat huru-hara, memang mereka bertujuan membuat kekacauan, saya kira mereka tidak perlu kepada 10 jam yang aman sebelum itu. Mereka tidak perlu menjaga solat. Baik mereka turun, bila angka sudah ramai, rempuh dan angkat sahaja barricade itu awal-awal. Tetapi nyatanya, bukan itu yang berlaku dari awal hingga akhir acara rasmi BERSIH. Selepas itulah baru berlakunya huru-hara ini. Angkat barricade dan memudahkan perjalanan ke Dataran kemudian mula menyembur air dan menembak gas pemedih mata, hakikatnya adalah satu PROVOKASI. Sekali lagi, dengan teori Mass Effect, provokasi ini akan memberikan kesan kepada orang ramai lain yang mengikuti BERSIH.


5) Media-media utama juga, pada saya membesar-besarkan peristiwa huru-hara. Memetik gambar-gambar yang boleh dipergunakan untuk menunjukkan kekasaran dan sebagainya, sedangkan gambar-gambar itu kalau ditunjukkan dalam bentuk video, disambung beberapa gambar lain, akan menunjukkan betapa apa yang diberitakan media-media utama tidak benar. Angka peserta BERSIH dinyatakan dengan angka yang sangat sedikit. Kemudian tindakan polis memijak dan memukul perserta berlebihan, tidak dibesarkan. Kisah polis yang tercedera pula dibesar-besarkan, dan kisah kereta terbalik dimainkan dengan penuh efisyen!



6) Peristiwa BERSIH perlu dipandang secara menyeluruh. Bukan di akhir-akhirnya sahaja. Kita nak besarkan Isu Sampah merata-rata contohnya, kita kena faham yang Peserta BERSIH hakikatnya ada sebilangan mereka bertugas kutip sampah. Tetapi apa yang kita expect selepas kena water canon dan tear gas? Orang lari la. Campak segala apa yang ada di tangan untuk mudahkan larian.


Kesimpulannya, Bersih 3.0 sebenarnya bersih dari segala tuduhan yang mengatakan ganas, cetus huru-hara dan sebagainya. Harap pembaca semua dapat menilai daripada segenap sudut. Dapatkan informasi dari kedua-dua pihak dan nilailah manakah yang lebih relevan dan tepat!!


Wallahua'alam..


~By mujahid91~
Read more...

Friday 20 April 2012

Martabat Orang Yang Beriman..


Bismillah...Alhamdulillah. 



Mafhum Hadis Rasulullah SAW:
o  Tidaklah hamba di langit dan di bumi tergolong hamba yang beriman, sehingga dia berlaku lembut terhadap manusia.
o  Tidaklah dia termasuk orang yang lembut, sehingga dia menjadi seorang muslim
o  Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga orang lain selamat dari (gangguan) tangan dan lidahnya
o  Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga dia menjadi orang yang alim.
o  Tidaklah dia temasuk orang alim, sehingga dia mengamalkan ilmunya.
o  Tidaklah dia termasuk orang yang mengamalkan ilmunya, sehingga dia menjadi hamba yang zahid.
o  Tidaklah dia termasuk hamba yang zahid, sehingga dia menjadi hamba yang warak
o  Tidaklah dia menjadi hamba yang warak, sehingga dia menjadi hamba yang merendahkan dirinya
o  Tidaklah dia tergolong hamaba yang merendahkan dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang mengenal dirinya
o  Tidaklah dia tergolong hamba yang mengenal dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang berakal dalam percakapannya.

Sekadar muhasabah…di peringkat manakah kita?? Adakah kita telah benar-benar menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kpd Allah SWT? Sudahkah kita menjadi seorang hamba yang benar-benar mengenal diri dan tuhan-Nya?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

     "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
(Ali-Imran:133)

~mujahid91~




Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!