Showing posts with label Dunia Remaja. Show all posts
Showing posts with label Dunia Remaja. Show all posts

Monday, 14 May 2012

Kondisi Rohani...Kadangkala Kita Tidak Pernah Peduli.


Bismillah..Alhamdulillah.
Bila kita terjun ke alam percintaan, ke arah rumahtangga, apa yang biasa kita tekankan?
Banyaknya sekadar keseronokan yang dinamakan ‘keseronokan cinta’. Berbalas hadiah. Bertemu. Bergurau. Saling luah meluah. Ya, semua nampak manis.
Tetapi saya amat menekankan persediaan rohani. Kerana jika benar hendak membawa pasangan ke syurga Allah SWT, bermakna kita hendak melayari kehidupan ini sebagai yang mampu membimbingnya, mendampinginya, sebagai seorang yang sentiasa mampu mendukungnya ke jalan kebaikan.
Kita tidak semestinya perlu menjadi seorang ustaz atau ustazah untuk ingin mempersiapkan rohani kita. Kita perlu sedar bahawa syurga itu bukan tempat ustaz dan ustazah. Ummah ini, bukan dipenuhi oleh orang-orang yang bertitle agama. Syurga tetap menjadi matlamat kita walau kita bukan pelajar atau orang aliran agama. Kita tetap hamba Allah SWT, walaupun kita seorang jurutera atau tentera.
Maka siapakah yang meniti alam percintaan, bergerak ke alam rumahtangga ini, mengambil berat akan kondisi rohaninya?

Allah, apakah Dia menjadi dasar kehidupan kita?
Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56, bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maka apakah kita ini telah menjadikan Allah SWT itu sebagai dasar kehidupan kita pertamanya? Dalam segenap perbuatan dan kelakuan, apakah perintah Allah SWT menjadi dasar kita?
Apakah kita telah suka apa yang Allah SWT suka?
Apakah telah kita benci apa yang Allah SWT benci?
Kita mungkin hamba yang banyak dosa, nama pun manusia. Tetapi apakah kita berusaha meninggalkan apa yang Dia benci? Apakah kita berusaha laksanakan apa yang Dia suka?
Ya. Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda seorang pecinta. Kerana dengan persoalan-persoalan inilah, kita bergerak untuk membina rohani kita, sekaligus membina peribadi.

Hati Itu, Apakah Kita Memerhatikannya?
Hati itu adalah ibu kepada diri. Kerana hati adalah raja. Sekiranya rosak hati, akan rosaklah segala.
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati. Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah kita yang hendak mencintai seorang yang lain, yang hendak membina sebuah rumahtangga, yang ingin  membawa seseorang ke syurgaNya, tidak membina jiwa kita? Tidak memberikan makanan kepada rohani kita?
Hati yang kontang, tidak akan mampu menyuburkan jiwa yang lain. Kerana jika kita ingin memberikan ‘kesan’ kepada hati orang, kita perlu mempunyai jiwa yang sentiasa dibersihkan.
Justeru bagaimana kita hendak memimpin orang yang kita cintai, jika hati kita gelap?

Bagaimanakah Hendak Mencahayakannya?
Hati, bagaimana hendak menjadikan ia bercahaya?
Jika kita perasan di dalam hadith tadi, ada dinyatakan bahawa yang haram itu jelas, dan halal itu jelas. Juga hadith di atas jelas memberikan isyarat agar kita tidak menjauhi perkara yang kita tidak pasti halal atau haram(yakni syubhat). Mengapa hadith itu, berakhir dengan menyebut berkenaan hati yang kalau rosak, maka akan rosak seluruh jasad, kalau baik, baik seluruh jasad?
Kerana perkara yang halal, yang Allah suruh, yang Allah arahkan buat, itu semua akan memberikan kebaikan kepada hati. Akan mencahayakannya, akan membuatkannya bersinar.
Apa-apa sahaja yang haram, yang Allah larang, yang Allah SWT suruh jauhkan, itu semua akan memberikan bintik hitam kepada hati. Akan menggelapkannya, membuatkannya kelam dan hilang cahaya.
Jadi, orang yang benar cinta kepada pasangannya, benar mencintai seseorang yang ingin dia bina rumahtangga bersamanya, maka semestinya perlu keras untuk memperbanyakannya amal kebaikan di dalam kehidupan, dan menjauhi keburukan-keburukan.
Banyak kebaikan yang boleh kita buat. Semudah dari melaksanakan amalan yang memang wajib kepada kita seperti solat, hingga kepada berdiam dari perkara yang buruk. Begitulah luasnya kebaikan. Di tengah-tengahnya, ada perkara-perkara seperti bersedekah, membaca dan mentadabbur Al-Quran, menuntut ilmu, mencari rezeki dari sumber yang halal, berakhlak sopan, mengucap perkataan yang baik, menyebarkan kebaikan dengan berdakwah dan banyak lagi.
Tinggal, apakah kita berusaha untuk memberikan makanan kepada rohani kita?

Penutup: Jangan Kemaruk Bercinta Kosong.
Tidak perlu pun kepada berpegang tangan, memberikan hadiah valentine, hantar SMS kata-kata manis, berhubungan hingga melanggar syariat dan disapa kealpaan, untuk menunjukkan ‘cinta’.
Tetapi dengan berusaha membina hati kita, itu sahaja sudah satu cinta.
Walaupun kita belum menjumpai orangnya, tetapi membina diri itu sudah menjadi satu cinta kepadanya sebenarnya.
Bila cinta adalah mahu membawa orang yang kita cinta itu ke syurgaNya, maka pastinya orang yang memahami akan berusaha membina rohaninya. Daripada rohani yang bersihlah, saya nampak akan munculnya peribadi yang bersih dan emosi yang stabil.
Kita bakal menjadi suami atau isteri, bapa atau ibu. Maka bagaimanakah kita hendak memimpin sebuah keluarga, melayari bahtera cinta bersama, hendak menembus syurga, dengan hati yang kotor, dan jauh dariNya?
Maka jangan kemaruk bercinta kosong.
Cintalah dengan sebenar-benar cinta.
~Hilal Asyraf~

Read more...

Monday, 13 February 2012

Just Say NO to Valentine!!!

Bismillah...Alhamdulillah.

Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi
 “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207 yang bermaksud:

 “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

Oleh itu selaku Muslim yang bertanggungjawab, ayuh sahabat2 kita sama berpesan kepada rakan2 kita, ahli keluarga kita dan seluruh masyarakat Islam tentang haramnya Sambutan Hari Valentine. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini dapat menyelamatkan akidah umat Islam dan sekaligus menegakkan amar maa’ruf dan nahi mungkar dalam kalangan umat Islam kita hari ini. Wallahua’lam...



~editor:mujahid91~

Read more...

Saturday, 14 January 2012

Kenapa tak solat??

Bismillah..Alhamdulillah.

Situasi 1
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak cukup masa la. Keje saya banyak. Saya memang selalu busy.
Pengajaran: Masa itu adalah pinjaman dari Allah S.W.T, bila-bila saja Dia boleh ambil semula waktu yang dipinjamkan itu, maka beringatlah, walau sesibuk mana sekalipun, luangkanlah masa sekurang-kurangnya lima minit, lima kali sehari untuk bersolat.
Situasi 2
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya rasa diri saya dah terlalu banyak buat dosa. Kalau saya solat, mahukah Allah terima solat saya tu?
Pengajaran: Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Jika kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah S.W.T, Insya-Allah amal ibadah kita akan diterima Allah S.W.T.
Situasi 3
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak tau cara nak solat. Mak ayah saya tak pernah ajar sebab mereka pun tak solat.
Pengajaran: Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Carilah orang alim dan belajarlah ilmu berkaitan solat.
Situasi 4
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Suka hati sayalah. Kubur masing-masing. Tolong jangan sibuk jaga tepi kain orang..
Pengajaran: Terimalah teguran positif dengan berlapang dada, supaya diri kita sentiasa berubah menjadi lebih baik. Jangan sampai bila kita dah mati kelak, tiada siapa yang menguruskan jenazah kita.
Situasi 5
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya penatlah. Saya betul-betul tak larat. Boleh tak saya solat esok je?
Pengajaran: Walau kita penat sekalipun, janganlah kita tinggalkan solat. Bahkan Allah juga telah memberi keringanan kepada mereka yang tidak berkemampuan (atau sakit) sama ada solat secara duduk, berbaring atau menggunakan isyarat. Tapi, jangan buat-buat letih atau sakit pula..Dan ingatlah, maut bakal menjemput kita bila2 masa saja. Bimbang tak sempat nanti..
Situasi 6
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya memang dah biasa tak solat. Rileklah. Alim sangatlah awak ni. Tak ‘rugged’ langsung!!
Pengajaran: Jangan lupa, bumi yang kita pijak ini milik Allah S.W.T. Bila-bila masa je dia boleh 'gulung' bumi ini (kiamat)..
Situasi 7
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Alah, nantilah aku solat. Aku ni muda lagi. Nanti tua aku solatlah.
Pengajaran: Kita tidak tahu bila ajal kita akan sampai. Ajal maut tak kira usia..muda pun boleh jadi. Mungkin hari ni atau esok atau lusa.Sekiranya gugur sahaja daun kita dari pokok yang terletak di Arash Allah S.W.T, maka bersedialah Izrail untuk memanggil kita pulang. Persoalannya, dah BERSEDIAkah kita???
~editor:mujahid91~

Read more...

Saturday, 8 October 2011

Jiwa Muda..

Bismillah..Alhamdulillah.

Semalam 7 Oktober 2011, sempat saya menghadiri satu forum bertajuk "Orang Muda, Jiwa Muda, Acuan Islam" yang mana ahli panelnya terdiri daripada Ust Asyraf (Imam Muda 2010), Ust Rujhan Razali (pendakwah bebas-Pahang FM), artis Wardina Safiyyah dan Sham (Kamikaze). Forum ini diadakan sempena Festival Ikan Patin Temerloh 2011 bermula 7-9 Oktober ini . 


Alhamdulillah, banyak input yang diperolehi daripada mereka termasuklah perkongsian mengenai "hijrah" kedua-dua orang artis. Jadi insya-Allah saya kongsikan sedikit intipati forum yang menarik semalam.


Sham (Kamikaze):
Beliau telah menceritakan detik-detik, bagaimana beliau mendapat hidayah untuk "berhijrah". Pada awalnya, beliau mula menjinakkan diri dengan masjid setelah diajak beberapa rakan dan paling yang menarik, beliau ditakdirkan Allah dapat bertentang mata dengan Sheikh Abdurrahman As-Sudaisi sewaktu Imam Besar Masjidilharam tersebut datang ke sebuah masjid di Pulau Pinang. Selain itu, beliau juga mendapat pelbagai pujian, nasihat mahupun kritikan daripada peminat mahupun ahli agama selepas "penghijrahan" beliau. Beliau juga berniat untuk meninggalkan pentas muzik, namun ada ustaz-ustaz yang menyarankan beliau terus berada dalam arena muzik dengan harapan beliau dapat berdakwah kepada golongan muda dan artis melalui muziknya. Dan Alhamdulillah hari ini beliau sedang berusaha untuk menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk islamik antaranya bertajuk "Aku Yang Berdosa" dan Insya-Allah bakal dinyanyikan oleh Syahir AF8.


Wardina Safyyyah:
Alhamdulillah..banyak perubahan yang dilihat pada beliau dimana bukan sahaja luaran tetapi dalaman juga. Ini menunjukkan beliau semakin baik dan memiliki keazaman yang tinggi untuk berubah. Pada mulanya, ibunya yang juga seorang Ustazah begitu kecewa dengan sikap dan karekter beliau kerana tidak menjadi seorang anak seperti yang diharapkan. Namun, beliau mula sedar sewaktu bekerjaya sebagai model dan pelakon. Katanya, dia tertanya-tanya apakah yang akan terjadi pada dirinya satu hari nanti. Sejak itu, dia mula untuk "berhijrah" dan perkara pertama dilakukannya ialah bertemu dengan ibunya. Kemudian, dia melakukan umrah dan mula menjaga solat 5 waktu serta bertudung. Dan sehingga kini beliau sentiasa istiqamah dengan al-Quran walau dimana beliau berada kerana beliau yakin bahawa al-quran itu adalah sebaik-baik penawar dan petunjuk. Dan antara nasihat beliau lagi, kita kena TAHU untuk berubah dengan mencari dan menambah ilmu, MAHU berubah kepada baik dengan keazaman yang tinggi serta MAMPU untuk mengekang hawa nafsu agar tidak kembali semula kepada "zaman Jahiliyyah". Selain itu katanya, jgn menilai orang lain dari penampilannya biarpun dia memakai 'skirt', kerana apabila dia mendapat hidayah Allah, mungkin 'esok' dia lebih baik dari kita. Insya-Allah hari ini semakin ramai artis2 yang mula nak berubah dan itu adalah bukti Islam akan menang. Akhir sekali nasihatnya, rasailah kemanisan ibadah (jika ini tidak berlaku katanya,maybe ada something wrong dalam diri kita), jgn berputus asa dan sentiasalah muhasabah diri.


Manakala nasihat dan tazkirah daripada Ustaz Rujhan Razali pula antaranya:
Ada 4 jalan hidup manusia iaitu:-
1. awalnya lurus (baik) sehingga akhir hidupnya.
2. awalnya bengkok (buruk) tapi akhirnya lurus.
3. awalnya lurus tapi akhirnya bengkok (seperti Iblis laknatullah).
4. awal dan akhirnya bengkok (orang-orang yg rugi).
Fikir-fikirlah dimana kita dan yang manakah kita inginkan..


Jagalah hati kita dengan iman, ilmu,al-quran dan zikrullah kerana inilah cra untuk mendapat kebahagiaan hidup. Sesungguhnya manusia adalah apa yang dia baca, apa yang dia lihat dan siapa sahabatnya... 


Konklusinya, ayuh jiwa-jiwa muda kita "berhijrah" seperti wardina dan brother sham. Moga-moga hidup kita lebih bermakna dan berharga kerana kebahagian hidup terletak pada jiwa yang tenang dengan dipandu agama. "Indahnya Hidup Bersyariat..."
Wallahua'lam, semoga mendapat manfaat...

~oleh Mujahid91~      
Read more...

Friday, 16 September 2011

Kisah Seorang Pemuda Yang Soleh

Bismillahirrahmanirrahim...


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali baginda hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.


Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".


Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.


Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?”, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku memohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."


Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."


Itulah kelebihan anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka. Tetapi syaratnya, dia hendaklah berbakti kepada ibubapanya walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Ingatlah wahai sahabat,walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibubapa kita itu bukan alasan untuk kita melepaskan tanggungjawab dari mereka . Tanggungjawab kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.Walau banyak mana sekalipun dosa yang telah mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, tetapi urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya dosa kedua ibubapa kita itu diampuni-Nya.


Sesungguhnya doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Ianya dinanti-nantikan oleh para ibubapa yang berada didalam kubur(yang sudah meninggal) mahupun yang masih hidup. Hakikatnya, erti kasih sayang yang sebenar seorang anak kepada ibubapanya bukanlah dengan wang ringgit, tetapi dengan cinta dan doa untuk mereka. Dan itulah yang mereka mahukan dari kita wahai sahabat dan remaja-remaja sekalian...renung-renungkanlah.


~Mujahid91~
Read more...

Friday, 11 February 2011

Siapakah "KEKASiH" kita???

Bismillahirrahmanirrahim..

Bila disebut sahaja "kekasih", apa yang terlintas di fikiran kita tentunya akan 2 orang pasangan yang sedang bercinta. Bagi para sesetengah remaja pula, pasti mereka terbayang wajah2 jejaka atau wanita yang mereka cintai dan sayangi. Akan tetapi, berapa ramaikah diantara kita yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai "kekasih"nya? Padahal bagindalah yang selayaknya untuk dijadikan "buah hati" kita kerana baginda adalah manusia yang paling sempurna bahkan peribadinya jauh lebih baik daripada orang yang sedang kita cintai.

Ketika ini sudah tentu ramai remaja yang tidak sabar2 menanti detik2 bahagia bersama pasangan masing2 untuk diraikan pada 14 Februari ini iaitu "Valentine's Day" . Kebetulan pula pada tahun ini, tanggal 12 Rabiulawal jatuh sehari selepas "hari kekasih" tersebut. Persoalannya, hari apakah yang kita raikan??

Valentine's Day

Menurut sejarah, Valentine Day adalah hari perayaan buat penganut agama Kristian. Hari tersebut disambut untuk memperingati kematian seorang paderi Kristian yang bernama St. Valentine. Dia ialah seorang pendakyah yang kuat menyebarkan agama Kristian satu masa dahulu. Namun, pada suatu ketika dia telah ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan menentang penguasa Romawi pada waktu itu. Semasa dipenjara, dia telah jatuh hati kepada seorang gadis yang merupakan anak kepada seorang pegawai penjara tersebut. Akhirnya, pada hari sebelum dihukum bunuh, dia telah menulis sepucuk surat kepada gadis tersebut untuk menyatakan rasa kasih dan cintanya kepada gadis itu. Diringkaskan, bagi memperingati kematian paderi tersebut, penganut2 agama Kristian telah menamakan hari tersebut sebagai Valentine's Day. Saban tahun sehingga ke hari ini ramai yang menyambut hari tersebut bersama kekasih2 mereka termasuk sesetengah orang Islam sendiri.

    Berdasarkan kisah tersebut, jelas sekali bahawa amalan tersebut datangnya dari agama Kristian bukannya Islam. Menurut fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor serta Majlis Ulama Indonesia, HARAM bagi seseorang Muslim menyambut atau mempromosikan hari tersebut.



Konklusi


Oleh itu wahai sahabat-sahabat sekalian, janganlah kita meraikan hari Valentine ini kerana ianya bertentangan sekali dengan syariat Islam. Akan tetapi, marilah kita sama-sama meraikan hari "Kekasih" kita yang sebenarnya iaitu Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Ayuh kita sama-sama perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda serta mengamalkan segala ajaran dan Sunnahnya. Seharusnya kita memperingati segala jasa dan pengorbanan Baginda SAW. Lebih-lebih lagi, baginda tidak pernah lupa akan kita (umatnya) walau sesaat sekalipun ketika hayat baginda. Namun, berapa kalikah kita ingat kepada Baginda?? Berapa kalikah kita menyebut nama Baginda berbanding kita menyebut nama orang yang kita kasihi?? Renung-renungkanlah...wallahua'lam.  



~tinta mujahid91~
Read more...

Saturday, 22 May 2010

Remaja Berakhlak di Bawah Panji-Panji Nabi Yusuf as.

Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerah kepada seseorang lantaran runtunan hawa hafsu.

Budaya barat bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah menjadikan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yg begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah islam, mendampingkan diri dengan kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negara dan pemerintahannya mengabaikan peraturan Allah SWT. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjerumus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah SWT serta asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang berpegang teguh dengan hukum Allah SWT sahaja akan selamat daripada segala bencana itu.
Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta berakhlak yang mulia, merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan "selamat datang wahai para remaja yang baik".

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah SWT terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah SWT mengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu, lalu diperintahkan para malaikat supaya menempatkan para remaja itu di sebelah kanan. Untuk mereka, disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah Taala menyeru Nabi Yusuf AS untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukmin, berakhlak, sabar dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf terpilih menjadi ketua para belia yg baik budi pekerti kerana Baginda adalah seorang Nabi yg sangat kacak dan tampan.

Ketampanannya menggoda ramai wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun, Nabi Yusuf berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu. Ulamak tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf AS. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama "Surah Yusuf", yang bukan sahaja menceritakan paras rupa Nabi Yusuf yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan Baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang Nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf AS.

Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan hati Baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segola godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama Nabi Yusuf di bawah panji-panji hijau di Akhirat kelak. Setelah itu, Allah SWT memuliakan orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah SWT. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru, mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT kerana sifat yang terpuji itu. Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan benteng penghalang daripada segala persengketaan dan pemusuhan.


*dipetik daripada buku "Nota Kepada Diri" karya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat


Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!