Showing posts with label Santapan Rohani. Show all posts
Showing posts with label Santapan Rohani. Show all posts

Saturday, 19 January 2013

Mencintai Nabi SAW


Bismillah…Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Seribu kesyukuran atas limpahan rahmat & nikmat kurniaan-Nya..Mudah-mudahan kita semua berada dalam keredhaan Allah SWT.

Subhanallah…secara tidak sedar, kalendar Islam 1434H telah beralih kepada bulan Rabiulawal. Bulan kelahiran kekasih Allah dan kekasih kita Rasulullah SAW. Sama-sama kita raikan bulan yang mulia ini di samping meningkatkan kecintaan kita kepada  Baginda SAW.

Buktikanlah kecintaan kita kpd Nabi Muhammad SAW dengan mengikut segala ajaran dan sunnah Baginda.

Bukti cinta kita kepada Baginda bulan semata-mata dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan dan perlakuan juga. Kita kata bahawa kita cinta kepada Nabi SAW, tetapi kita tidak berusaha untuk berakhlak seperti Baginda. 

Bagaimana kita boleh mengatakan kita cinta pada Nabi SAW, sedangkan kita hanya membiarkan musuh Islam menghina Nabi SAW tanpa sedikit pun perasaan untuk membela Baginda? Dan adakah benar kita mencintai Nabi SAW, sedangkan pada masa yg sama kita menolak Al-Quran dan Sunnah, dasar perjuangan Nabi SAW ??? Tepuk dada tanya hati & iman!!

Firman Allah SWT yg bermaksud,

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Ali ‘imran:31)

Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai idola kita kerana baginda merupakan Qudwah Hasanah bagi kita. Di samping itu, contohilah akhlak baginda kerana akhlak Baginda adalah akhlak yg terbaik.

Firman Allah SWT yg bermaksud,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(al-Ahzab:21)

Dalam ayat yang lain pula Allah SWT menyatakan,

“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
(Al-Qalam:4)

Saidatina ‘Aishah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w. Lalu beliau menyatakan: “Akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran.” 
(Hadith riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

~Mahabbah Rasul~


~mujahid91~
Read more...

Wednesday, 1 August 2012

Didik Diri Dengan Sifat Ihsan..

Bismillah...

Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka  diampunkan segala dosanya yang terdahulu”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Syukur Alhamdulillah kerana telah seminggu Ramadhan bersama kita, mudah-mudahan kita sedang bersemangat melakukan ibadah kepada-Nya. Setelah sekian lama tidak mengemaskini laman ini, Insya-Allah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai sifat Ihsan.

‘Ihsan’ bermaksud kebaikan, ketepatan atau kesempurnaan atau lebih tepat lagi ialah memperelokkan amalan. Sebagaimana dalam satu hadis panjang yang agak popular bagi sesetengah dari kita iaitu sebuah hadis yang digelar “hadis Jibril” (Hadis ke-2 daripada Hadis 40 Imam Nawawi).

Dari Umar r.a. berkata yang bermaksud,
“...Lelaki itu (malaikat Jibril) berkata lagi; ‘Khabarkan kepadaku tentang Ihsan.’ Nabi SAW bersabda; ‘Engkau beribadah kepada Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.’... ”
(Hadis riwayat Muslim,Abu Daud,Tirmizi dan An-Nasai’)

Rumusan yang boleh dibuat berdasarkan penjelasan Nabi SAW tersebut, kita dituntut supaya senantiasa meletakkan diri dalam pengawasan Allah SWT setiap kali kita beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, setiap aktiviti atau pekerjaan yang dilakukan merupakan ibadah (sama ada ibadah umum atau khusus). Ini kerana mereka percaya dan yakin bahawa setiap manusia dijadikan oleh Allah tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ad-Dzariyat; ayat 56 yang bermaksud,
“Dan tidak Kami ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Seharusnya setiap pekerjaan yang kita lakukan seperti makan, minum, tidur dan bekerja menjadi ibadah kepada Allah. Justeru, sifat ihsan sangat penting kepada diri kita agar setiap pekerjaan yang dilakukan itu mendapat keredhaan daripada Allah seterusnya diberi ganjaran pahala oleh-Nya.

Selain pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi rosak, tanpa sifat ihsan juga secara tidak sedar mungkin akan membawa kita kepada “menyekutukan-Nya”. Sebagai contoh, ibadah solat yang kita lakukan tanpa rasa ‘Ihsan’ bukan sahaja membuatkan kita lalai dan tidak khusyuk bahkan boleh mengubah niat asal ibadah tersebut iaitu daripada niat “kerana Allah” kepada niat hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. 
Nau’zubillah...

Begitu juga dengan pekerjaan yang kita lakukan seharian. Boleh jadi kita lakukan kerja tersebut semata-mata untuk mengambil hati majikan kita, sedangkan “majikan” yang sebenar kita ialah Allah SWT. Selain itu, sifat ‘Ihsan’ juga boleh melindungi kita daripada dosa. Kadangkala sesetengah pekerjaan yang kita lakukan boleh membawa kita kepada amalan rasuah, makan “gaji buta”, menipu dalam timbangan (perniagaan) dan sebagainya. Namun dengan adanya sifat ‘Ihsan’, kita dapat menghindarkan diri daripada dosa-dosa tersebut. Insya-Allah...Wallahua’lam.



Firman Allah SWT,

“Katakanlah; Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”             


~Tinta Mujahid91~

Read more...

Saturday, 19 May 2012

Didik Nafsumu!!!

Bismillah..Alhamdulillah.

Sesungguhnya keinginan dan kecenderungan kepada sesuatu yang menarik, cantik, sempurna,dan berharga itu adalah fitrah bagi setiap manusia. Semua ini didorong oleh nafsu yang wujud didalam dirinya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud,


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
(Ali-Imran:14)


Bagaimanapun, nafsu tersebut hendaklah dikawal dan dididik dengan keimanan yang teguh kepada Allah SWT agar tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh-Nya.


TINGAKATAN NAFSU


Berdasarkan kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, terdapat 7 tingkatan nafsu iaitu:


1.Nafsu Ammarah
2.Nafsu Lawwamah
3.Nafsu Mulhamah
4.Nafsu Mutmainnah
5.Nafsu Radhiah
6.Nafsu Mardhiah
7.Nafsu Kamilah


Bagaimanapun, saya sekadar fokus kepada 4 nafsu terawal sahaja agar kita dapat berusaha ke arahnya terlebih dahulu. Kemudian barulah mudah untuk mencapai 3 lagi nafsu yang mulia dan diredhai Allah iaitu Radhiah, Mardhiah dan Kamilah.



Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang memiliki nafsu Ammarah, dia akan merasa bangga apabila melakukan dosa. Dia merasa sangat gembira dan bahagia apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada di tingkatan nafsu ini akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Dan jika ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang itu akan dimusuhinya. 

Kedua ialah Nafsu Lawwamah. Orang yang memiliki nafsu ini sedar bahawa dirinya sering terlibat dengan dosa. Dan dia sering mengkritik dirinya sendiri apabila terlibat dengan dosa. Sewaktu melakukan dosa, dia tidak terfikir apa-apa pun. Lupa pada Allah yang melihatnya, malaikat disisinya mahupun syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa itu padahal nikmat itu hanyalah sementara. 

Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar bahawa dia telah terlanjur. Lalu, dia menyesal dan mengkritik dirinya sendiri atas keterlanjuran itu. Tapi setelah masa berlalu, dia kembali berbuat dosa tersebut. Bagaimanapun, tingkatan nafsu ini tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu ini mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah kebaikan. 

Tingkatan seterusnya ialah Nafsu Mulhamah.Orang yang bernafsu ini masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa secara tidak sengaja. Bukan kerana suka-suka dia melakukannya. Orang yang bernafsu ini, sewaktu dia sedang berbuat dosa, dia sudah terasa betapa kejinya maksiat yang sedang dia lakukan. Bahkan hatinya pedih bila melakukan dosa itu walaupun tidak sengaja. Orang yang bernafsu ini juga bukan setakat mengkritik dirinya, malah dia berusaha untuk tidak mengulanginya serta mencari jalan untuk menghindari dosa tersebut.

Bagi orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Bagi orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Meskipun datang 1001 macam ujian dan musibah, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia bersujud dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Bahkan musibah yang menimpa dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Manakala, nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya pula dikongsi bersama saudara semuslimnya. Orang yang bernafsu inilah yang dikatakan orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang mampu melaksanakan segala perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan-Nya. Dan mereka inilah yang dijamin syurga dan terselamat dari siksaan neraka Allah di akhirat kelak.


Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,


"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (mutmainnah)Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu);Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia;Dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
(Al-Fajr:27-30) 


KONKLUSI


Sama-samalah kita berusaha mendidik hawa nafsu kita agar kita sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita sama-sama memperoleh keredhaan Allah SWT dan syurga-Nya kelak. Wallahua'lam.. 




~mujahid91~
Read more...

Friday, 20 April 2012

Martabat Orang Yang Beriman..


Bismillah...Alhamdulillah. 



Mafhum Hadis Rasulullah SAW:
o  Tidaklah hamba di langit dan di bumi tergolong hamba yang beriman, sehingga dia berlaku lembut terhadap manusia.
o  Tidaklah dia termasuk orang yang lembut, sehingga dia menjadi seorang muslim
o  Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga orang lain selamat dari (gangguan) tangan dan lidahnya
o  Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga dia menjadi orang yang alim.
o  Tidaklah dia temasuk orang alim, sehingga dia mengamalkan ilmunya.
o  Tidaklah dia termasuk orang yang mengamalkan ilmunya, sehingga dia menjadi hamba yang zahid.
o  Tidaklah dia termasuk hamba yang zahid, sehingga dia menjadi hamba yang warak
o  Tidaklah dia menjadi hamba yang warak, sehingga dia menjadi hamba yang merendahkan dirinya
o  Tidaklah dia tergolong hamaba yang merendahkan dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang mengenal dirinya
o  Tidaklah dia tergolong hamba yang mengenal dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang berakal dalam percakapannya.

Sekadar muhasabah…di peringkat manakah kita?? Adakah kita telah benar-benar menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kpd Allah SWT? Sudahkah kita menjadi seorang hamba yang benar-benar mengenal diri dan tuhan-Nya?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

     "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
(Ali-Imran:133)

~mujahid91~




Read more...

Monday, 31 October 2011

Racun Hati..

Dengan nama Allah yg Maha Pemurah dan Penyayang.. 

Ada 4 racun bagi hati kita:


1. Berlebihan dalam kata-kata. Misalnya, bercakap perkara yang sia-sia, mengumpat, mencela dan sebagainya.
2. Berlebihan dalam pandangan. Maksudnya, memandang perkara dosa, memandang wanita atau lelaki bukan muhrim.
3. Berlebihan dalam makan. Makan terlalu banyak sehingga malas beribadat dan bekerja, makan mengikut hawa nafsu dan makan makanan yang haram (sama ada dari sudut makanan itu sendiri atau sumber makanan: hasil mencuri, hasil kerja haram dan sbgnya).
4. Berlebihan dalam pergaulan. Contohnya, pergaulan bebas lelaki dan wanita sama ada yang belum berkahwin ataupun masih bertunang (bertunang bukan alasan untuk bergaul bebas).


Awasilah diri kita daripada racun-racun ini. Batasilah ia dengan syariat yang telah ditetapkan Allah dan Rasul-Nya...Berikut adalah petua untuk mengubati atau menghindari racun hati:


1. Sentiasalah muhasabah diri.
2. Takutlah kepada Allah SWT. Takut kepada Allah bukan beerti menjauhi-Nya, tetapi taat kepada perintah dan larangan-Nya. 
3. Seterusnya, beristighfarlah atas segala dosa yang telah kita lakukan..Wallahua'lam.

"Indahnya Islam, Indahnya Hidup Bersyariat.. "

~mujahid91~
Read more...

Friday, 14 October 2011

~Pesanan Imam As-Syafie~

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang..
 
Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat Islam    umumnya. Antara pesanannya ialah: 
 
" Barangsiapa yg ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat, maka hendaklah ia         mengamalkan 10 perkara ini: 
 
1. hak kpd diri: mengurangkan tidur, makan dan percakapan serta berpada-pada dgn          rezeki yd ada. 
 
2. Hak kpd malaikat maut: mengqada’kan kewajipan2 yg tertinggal, mendapatkan ke-       maafan dr org yg dizalimi, membuat persediaan utk mati dan merasa cinta kpd ALLAH 
 
3. Hak kpd kubur: membuang tabiat suka menabur fitnah, tabiat kencing merata-rata, memperbanyak solat tahajjud dan membantu org yg dizalimi. 
 
4. Hak kpd Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan  nasihat menasihati. 
 
5. Hak kpd mizan(neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, byk  berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menahan kesulitan. 
 
6. Hak kpd sirat(titian yg merintangi neraka pada hari kiamat): membuang tabiat suka       mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah. 
 
7. Hak kpd Malik(malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t,     berbuat baik kpd ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan dan sembunyi serta mem-    perelokkan akhlak. 
 
8. Hak kpd Ridhuan(malaiakat penjaga syurga): merasa redha kpd qada' ALLAH, ber-       sabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan     maksiat. 
 
9. Hak kpd Nabi SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dgn syariat, bergantung kpd as-  sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dlm mencari kelebihan dari           ALLAH SWT. 
 
10. Hak kpd ALLAH SWT: mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari          kemungkaran.


~mujahid91~

Read more...

Monday, 29 August 2011

Di ambang Syawal..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang.

Subhanallah..pantasnya masa berlalu. Ramadhan kian hampir kepada penghujungnya..bulan yang dipenuhi ganjaran pahala hampir saja berlalu. Bulan pengampunan dan kerahmatan sudah hampir berakhir...Bagaimana kita?? Sudah berjayakah kita mendapat taqwa dan pengampunan dari Allah SWT?? Tepuk dada, tanya iman..


Dari Abu Hurairah r.a katanya bahawa sewaktu Nabi SAW menaiki mimbar Baginda bersadba yang bermaksud: "Amin,amin,amin."
Lalu Baginda SAW ditanya,"Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan sedemikian?". Baginda menjawab: "Jibril a.s telah berkata kepadaku; 'Alangkah ruginya sesiapa yang memasuki bulan Ramadan tetapi dosanya tidak diampun.' Dan aku berkata: 'Amin'."
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)


Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi..ameen.


~Meraikan 'Idulfitri~


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"...dan cukupkanlah bilangan puasa kamu, dan bertakbirlah membesarkan Allah diatas pentunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, moga-moga kamu bersyukur."
(Al-Baqarah:185)


Ketika ini sudah pasti ramai yang sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menyambut hari raya aidilfitri..ada yang sibuk membakar lemang, membuat ketupat dan rendang, menghias rumah dan sebagainya.
Manakala, ada sebahagian daripada kita juga sedang bersungguh-sungguh melakukan ibadah terakhir sebelum Ramadan melabuhkan tirainya beberapa ketika lagi..Bagi yang sedang membuat persiapan raya, janganlah lupa daripada mengingati dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda syukur kita setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. 


Dari Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang berpuasa:
"Barangsiapa yang mengerjakan ibadah pada malam hari raya ('Idulfitri dan 'Iduladha), dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, nescaya hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana mati hati (orang Kafir dan ingkar) pada hari itu."
(Riwayat Ibnu Majah)


Mari kita sama-sama menghidupkan malam hari raya dengan ibadah-ibadah sunat serta bertakbir membesarkan Allah SWT. Mudah-mudahan puasa kita diberkati dan diterima-Nya. Tangisilah pemergian Ramadhan kali ini dan berdoalah agar kita diberi kesempatan untuk bertemu Ramadhan dengan yang akan datang...Wallahu'alam.


.:Tinta Mujahid91:.
Read more...

Saturday, 13 August 2011

Menuju Kesempurnaan Puasa..

Bismillahirrahmanirrahim..

Bahawasanya Imam Al-Ghazali Rahimahullah telah menggariskan "kewajipan-kewajipan batiniyyah puasa" yakni seperti berikut:
  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.
  • Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengari. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran sesuatu seperti itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
    (Surah Al-Maidah:42)
  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
Ayuh sempurnakan puasakan kita. Moga-moga Madarasah Ramadhan kali ini menjadi medan terbaik buat kita untuk menjadi orang lebih berdisiplin dalam kehidupan...Wallua'lam.

~Tinta Mujahid91~

Read more...

Monday, 25 April 2011

Peringatan Bumi Kepada Manusia..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Penyayang.

Sedarkah kita bahawa tanpa kita sedari, bumi sebenarnya sentiasa berkata-kata dengan manusia ketika masih ramai lagi manusia yang sedang lalai dan leka. Ia adalah peringatan buat diri kita yang sering alpa dengan keindahan dan kemewahan dunia yang sementara ini.

Berkata Anas Bin Malik r. a.;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara :

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

~Mujahid91~
Read more...

Monday, 11 April 2011

Perkara yang mematikan Hati..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

        Ketika Ibrahim bin Ad'ham, seorang ahli tasawuf berada di sebuah pasar
di Basrah, beliau telah dikerumuni oleh orang ramai, lalu di antara mereka ada
yang bertanya: "Ya Aba Ishak(Gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham)! Mengapakah
kami memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?"
Ibrahim bin Ad'ham menjawab: "Kerana hati kamu telah mati disebabkan
sepuluh perkara:

1. Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
2. Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu
   tinggalkan sunnahnya.
3. Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan
   syukurnya.
5. Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak
   menentangnya.
6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak
   beramal untuknya.
7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak
   lari daripadanya.
8. Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak
   bersedia baginya.
9. Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu
   lupa keaiban kamu sendiri.
10. Kamu mengubur mayat saudara-saudara kamu, tetapi kamu tidak  
    ambil pelajaran dari mereka.

Renung-renungkan...

~Editor: Mujahid91~ 
Read more...

Friday, 14 January 2011

Kepahitan sebelum Kemanisan

Bismillah.. Alhamdulillah.

Pada suatu petang, sahabatku Nizam yang juga rakan sebilikku  mengadu kepadaku bahawa dia telah terjatuh ketika bermain bola pada petang itu. Hari itu merupakan hari pertama dia menggunakan kasut bola yang baru dibelinya. Dia membeli kasut tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan sukan kampus yang bakal bermula beberapa hari lagi. Malangnya, dia telah mengalami kecederaan dek kerana tidak dapat  menyesuaikan diri dengan keadaan kasut baru tersebut. Dia kelihatan sedih di atas kejadian yang menimpanya pada petang itu. Melihat keadaannya, aku hanya mampu berkata kepadanya bahawa setiap sesuatu yang baru dicuba atau baru dihadapi pasti ada kesusahan yang perlu ditempuh terlebih dahulu. Bak kata pepatah, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian". Lama-kelamaan barulah sesuatu yang baru itu akan dirasakan biasa dan mudah untuk dilakukan. Kata orang, "Alah bisa tegal biasa". Akhirnya, dia kelihatan lebih tenang setelah mendengar kata-kataku itu...


Begitulah juga dalam kita berusaha untuk mendapatkan "Halawatul Ibadah"(kemanisan beribadah). Bukan mudah untuk kita mendapatkannya tanpa ada cubaan atau kesusahan yang perlu kita tempuhi dahulu. Misalnya, kita cuba untuk istiqamah solat subuh berjemaah di masjid. Bukan senang untuk kita bermula. Pada awalnya pasti kita perlu memaksa diri untuk bangun sambil menahan rasa mengantuk (mungkin kadang-kadang sampai tertidur ketika solat) sedangkan sebelum ini kita belum pernah bangun awal pagi (kecuali bangun untuk bersahur dibulan Ramadhan). Cukup susah bukan?? Namun, kita terpaksa bermujahadah demi membiasakan diri untuk bangun subuh. 

Konklusinya, setiap kemanisan yang ingin dirasai pasti kita akan merasai kepahitan dahulu. Setiap kejayaan yang ingin dikecapi pasti bermula dengan kegagalan. Oleh itu, jangan kita salahkan sesiapa atas kesilapan dan kesusahan yang kita hadapi. Bebaik sangkalah dengan Allah. Fikirlah bahawa ia hanya sedikit daripada ujian-Nya kepada kita. Mungkin juga ia adalah bahawa tanda Allah menyayangi kita dan ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku. Wallahua'lam... 

~tinta mujahid91~

Read more...

Wednesday, 17 November 2010

Ibarah Haji dan Ibadah Korban...

Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.
Hari Digalakkan Beramal Ibadah
Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :
Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.
Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:
"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."
Sejarah Ibadah Korban
Jika diimbau kembali sejarah pensyariatan ibadah korban, sebagaimana kisah dua orang putera nabi Allah Adam a.s. iaitu Habil dan Qabil. Mereka berdua diperintahkan Allah SWT supaya menyediakan suatu barang yang paling baik , cantik dan disayangi sebagai korban kepada Allah SWT. Korban yang terbaik diantara mereka berdua akan diterima Allah dan sebagai ganjarannya mereka diberi peluang untuk memilih pasangan hidup yang mereka mahukan. Akhirnya, korban daripada Habil diterima Allah kerana dia telah mengorbankan haiwan ternak yang paling baik dan paling disayangi sabagai bukti keimanannya kepada Allah berbanding Qabil yang hanya mengorbankan sejumlah gandum yang paling buruk serta sudah rosak. Begitu juga kisah 2 orang nabi Allah Ibrahim a.s. dan Ismail a.s yang begitu menyayat hati. Setelah diuji oleh Allah supaya meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s. di suatu tempat yang kering kontang selama beberapa ketika, Ibrahim a.s kembali diuji oleh Allah supaya menyembelih Ismail a.s melalui satu mimpi. Ibrahim a.s kemudiannya kembali semula ke tempat tersebut untuk mengkhabarkan berita tersebut kepada anaknya Ismail a.s. Walaupun berita ini mengejutkan Ismail a.s yang baru sahaja bertemu semula dangan ayahandanya, namun baginda redha dengan kehendak Ilahi kerana iman dan taqwanya yang sangat teguh kepada Allah SWT.




Sebagai mengambil ibarah dari kisah ini, Allah s.w.t menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah korban seperti yang dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 28. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu. Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.
Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah korban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji
Orang yang menunaikan ibadah korban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah korban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah korban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:
"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih korban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."
Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudkanlah rasa kebersamaan. Wallahua'lam..


Read more...

Wednesday, 13 October 2010

Pertanyaan Imam Ghazali Kepada Anak Muridnya

 Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari.

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179

KEEMPAT beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab :" Besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kegagalan mereka dalam menguruskan amanah yang telah diberi kepada mereka.

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :' Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.


Sumber: tinta_mujahid

Read more...

Saturday, 2 October 2010

Hidupkan Hati Dengan Nur Al-Quran...

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.

Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.

Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!