Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, 19 January 2013

Mencintai Nabi SAW


Bismillah…Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah SWT serta selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Seribu kesyukuran atas limpahan rahmat & nikmat kurniaan-Nya..Mudah-mudahan kita semua berada dalam keredhaan Allah SWT.

Subhanallah…secara tidak sedar, kalendar Islam 1434H telah beralih kepada bulan Rabiulawal. Bulan kelahiran kekasih Allah dan kekasih kita Rasulullah SAW. Sama-sama kita raikan bulan yang mulia ini di samping meningkatkan kecintaan kita kepada  Baginda SAW.

Buktikanlah kecintaan kita kpd Nabi Muhammad SAW dengan mengikut segala ajaran dan sunnah Baginda.

Bukti cinta kita kepada Baginda bulan semata-mata dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan dan perlakuan juga. Kita kata bahawa kita cinta kepada Nabi SAW, tetapi kita tidak berusaha untuk berakhlak seperti Baginda. 

Bagaimana kita boleh mengatakan kita cinta pada Nabi SAW, sedangkan kita hanya membiarkan musuh Islam menghina Nabi SAW tanpa sedikit pun perasaan untuk membela Baginda? Dan adakah benar kita mencintai Nabi SAW, sedangkan pada masa yg sama kita menolak Al-Quran dan Sunnah, dasar perjuangan Nabi SAW ??? Tepuk dada tanya hati & iman!!

Firman Allah SWT yg bermaksud,

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Ali ‘imran:31)

Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai idola kita kerana baginda merupakan Qudwah Hasanah bagi kita. Di samping itu, contohilah akhlak baginda kerana akhlak Baginda adalah akhlak yg terbaik.

Firman Allah SWT yg bermaksud,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(al-Ahzab:21)

Dalam ayat yang lain pula Allah SWT menyatakan,

“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
(Al-Qalam:4)

Saidatina ‘Aishah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w. Lalu beliau menyatakan: “Akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran.” 
(Hadith riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

~Mahabbah Rasul~


~mujahid91~
Read more...

Friday, 5 October 2012

Refleksi Diri

Bismillah..Alhamdulillah.

#Ramai manusia menjadi hamba kepada dunia, sedikit pula mereka yang menjadi hamba Allah.

#Orang yang melupakan akhirat akan melihat dunia sebagai tempat untuk bersuka ria & bersenang lenang, padahal dunia hanya sekadar tempat persinggahan yg sementara dalam perjalanan menuju Akhirat yg abadi.  

#Mukmin yg sejati memiliki sifat rendah diri (tawaddu') pada Allah, manakala mereka bersifat rendah hati dengan manusia lain.

#Ramai orang mahir ilmu dunia, tetapi sedikit orang yg tahu & mahir ilmu akhirat.   

#Orang yg bahagia ialah orang yg selalu membahagiakan orang lain.

#Orang yg pandai suka mengambil peluang, tetapi orang yg bijak suka mencipta peluang.

#Orang yg bijak ialah orang yg sering mengingati mati & bersedia menghadapinya.

#Akhlak yg baik terbentuk dari dalaman (rohani) yg baik, rohani yg baik pula terbentuk dari akidah yg baik (benar).

#Kata-kata & tindakan kita menggambarkan sifat dalaman kita. Jika baik, maka baiklah kata-kata & tindakan kita, atau sebaliknya.

#Kematangan diri bukanlah dilihat pada usia, tetapi dilihat pada gaya pemikiran, emosi dan tingkah laku.

#Orang yg hebat ialah orang yg sentiasa berusaha mematangkan diri dan belajar dari kesilapan.


~ana_mujahid91~
Read more...

Friday, 13 July 2012

Menanti Ramadhan...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Insya-Allah jika dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kita bakal menyambut kehadiran Ramadhan al-Mubarak beberapa hari saja lagi. Sesungguhnya ia adalah bulan yang mulia dan diberkati Allah.
Maka, ketika ini ramailah yang sedang membicarakan tentang solat tarawih, Lailatul qadar, bazar Ramadan dan sebagainya. Bagi kanak-kanak pula, topik utama mereka tidak lain pasti perihal mercun. Ada juga diantara kita yang sudah mula merancang menu untuk berbuka puasa nanti. Bahkan ada yang sudah mula membuat tempahan baju raya dan kuih raya. Masya-Allah..belum lagi tiba bulan Ramadhan, mereka sudah berfikir tentang hari raya. Padahal mereka yang berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna sahaja layak meraikan hari raya.
Namun demikian, bagi mereka yang betul-betul cinta akan amal ibadah sudah pasti tidak sabar menanti kehadiran bulan yang dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT. Pastinya mereka telah melakukan persiapan rapi untuk menggandakan amal ibadah mereka di bulan tersebut.
Ibarat menyambut kedatangan “tetamu istimewa”.
Itulah perumpamaan yang sesuai bagi mereka yang merindui kedatangan Ramadhan. Mereka akan mempersiapkan diri dengan ilmu tentang puasa, menjaga kesihatan dan pemakanan, dan lain-lain lagi. Manakala di masjid-masjid pula, sudah dirancang program ‘Ihya Ramadhan bagi memeriahkan lagi kedatangan bulan Ramadhan itu nanti.
Samalah seperti orang yang sedang bersedia untuk menyambut kedatangan tetamu ke rumah mereka. Lebih-lebih lagi, tetamu istimewa seperti anak menantu, orang-orang kenamaan dan lain-lain. Sudah pasti mereka akan mengemas rumah serta menghiasi rumah mereka dengan perhiasan yang baru dan cantik . Di samping itu, mereka juga pasti tidak lupa untuk menyediakan juadah yang istimewa buat tetamu mereka.
Khatimah.
Disini saya ingin kongsikan beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan. Antaranya:
1.ulangkaji ilmu berkaitan puasa
2.biasakan tidur awal dan bangun awal untuk bertahajjud
3.jaga kesihatan dan pemakanan
4.latih berpuasa sunat
5.pastikan puasa qada’ telah disempurnakan
6.banyakkan membaca quran (latihan untuk bertadarus)
7.mohon keampunan Allah atas dosa kita yang lalu supaya Allah memudahkan kita untuk melakukan ibadah pada bulan Ramadhan nanti.
8. berdoa supaya Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan nanti dan diberi kekuatan untuk melakukan amal ibadah.
Wallahua’lam...
“Ya Allah, berkatilah kami di Bulan Syaaban ini dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami sebagai hamba Ramadhan, tetapi jadikanlah kami sebagai hamba-Mu, Wahai Tuhan semesta alam.”  Ameen...         

~mujahid91~

Read more...

Monday, 14 May 2012

Kondisi Rohani...Kadangkala Kita Tidak Pernah Peduli.


Bismillah..Alhamdulillah.
Bila kita terjun ke alam percintaan, ke arah rumahtangga, apa yang biasa kita tekankan?
Banyaknya sekadar keseronokan yang dinamakan ‘keseronokan cinta’. Berbalas hadiah. Bertemu. Bergurau. Saling luah meluah. Ya, semua nampak manis.
Tetapi saya amat menekankan persediaan rohani. Kerana jika benar hendak membawa pasangan ke syurga Allah SWT, bermakna kita hendak melayari kehidupan ini sebagai yang mampu membimbingnya, mendampinginya, sebagai seorang yang sentiasa mampu mendukungnya ke jalan kebaikan.
Kita tidak semestinya perlu menjadi seorang ustaz atau ustazah untuk ingin mempersiapkan rohani kita. Kita perlu sedar bahawa syurga itu bukan tempat ustaz dan ustazah. Ummah ini, bukan dipenuhi oleh orang-orang yang bertitle agama. Syurga tetap menjadi matlamat kita walau kita bukan pelajar atau orang aliran agama. Kita tetap hamba Allah SWT, walaupun kita seorang jurutera atau tentera.
Maka siapakah yang meniti alam percintaan, bergerak ke alam rumahtangga ini, mengambil berat akan kondisi rohaninya?

Allah, apakah Dia menjadi dasar kehidupan kita?
Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56, bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maka apakah kita ini telah menjadikan Allah SWT itu sebagai dasar kehidupan kita pertamanya? Dalam segenap perbuatan dan kelakuan, apakah perintah Allah SWT menjadi dasar kita?
Apakah kita telah suka apa yang Allah SWT suka?
Apakah telah kita benci apa yang Allah SWT benci?
Kita mungkin hamba yang banyak dosa, nama pun manusia. Tetapi apakah kita berusaha meninggalkan apa yang Dia benci? Apakah kita berusaha laksanakan apa yang Dia suka?
Ya. Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda seorang pecinta. Kerana dengan persoalan-persoalan inilah, kita bergerak untuk membina rohani kita, sekaligus membina peribadi.

Hati Itu, Apakah Kita Memerhatikannya?
Hati itu adalah ibu kepada diri. Kerana hati adalah raja. Sekiranya rosak hati, akan rosaklah segala.
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati. Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah kita yang hendak mencintai seorang yang lain, yang hendak membina sebuah rumahtangga, yang ingin  membawa seseorang ke syurgaNya, tidak membina jiwa kita? Tidak memberikan makanan kepada rohani kita?
Hati yang kontang, tidak akan mampu menyuburkan jiwa yang lain. Kerana jika kita ingin memberikan ‘kesan’ kepada hati orang, kita perlu mempunyai jiwa yang sentiasa dibersihkan.
Justeru bagaimana kita hendak memimpin orang yang kita cintai, jika hati kita gelap?

Bagaimanakah Hendak Mencahayakannya?
Hati, bagaimana hendak menjadikan ia bercahaya?
Jika kita perasan di dalam hadith tadi, ada dinyatakan bahawa yang haram itu jelas, dan halal itu jelas. Juga hadith di atas jelas memberikan isyarat agar kita tidak menjauhi perkara yang kita tidak pasti halal atau haram(yakni syubhat). Mengapa hadith itu, berakhir dengan menyebut berkenaan hati yang kalau rosak, maka akan rosak seluruh jasad, kalau baik, baik seluruh jasad?
Kerana perkara yang halal, yang Allah suruh, yang Allah arahkan buat, itu semua akan memberikan kebaikan kepada hati. Akan mencahayakannya, akan membuatkannya bersinar.
Apa-apa sahaja yang haram, yang Allah larang, yang Allah SWT suruh jauhkan, itu semua akan memberikan bintik hitam kepada hati. Akan menggelapkannya, membuatkannya kelam dan hilang cahaya.
Jadi, orang yang benar cinta kepada pasangannya, benar mencintai seseorang yang ingin dia bina rumahtangga bersamanya, maka semestinya perlu keras untuk memperbanyakannya amal kebaikan di dalam kehidupan, dan menjauhi keburukan-keburukan.
Banyak kebaikan yang boleh kita buat. Semudah dari melaksanakan amalan yang memang wajib kepada kita seperti solat, hingga kepada berdiam dari perkara yang buruk. Begitulah luasnya kebaikan. Di tengah-tengahnya, ada perkara-perkara seperti bersedekah, membaca dan mentadabbur Al-Quran, menuntut ilmu, mencari rezeki dari sumber yang halal, berakhlak sopan, mengucap perkataan yang baik, menyebarkan kebaikan dengan berdakwah dan banyak lagi.
Tinggal, apakah kita berusaha untuk memberikan makanan kepada rohani kita?

Penutup: Jangan Kemaruk Bercinta Kosong.
Tidak perlu pun kepada berpegang tangan, memberikan hadiah valentine, hantar SMS kata-kata manis, berhubungan hingga melanggar syariat dan disapa kealpaan, untuk menunjukkan ‘cinta’.
Tetapi dengan berusaha membina hati kita, itu sahaja sudah satu cinta.
Walaupun kita belum menjumpai orangnya, tetapi membina diri itu sudah menjadi satu cinta kepadanya sebenarnya.
Bila cinta adalah mahu membawa orang yang kita cinta itu ke syurgaNya, maka pastinya orang yang memahami akan berusaha membina rohaninya. Daripada rohani yang bersihlah, saya nampak akan munculnya peribadi yang bersih dan emosi yang stabil.
Kita bakal menjadi suami atau isteri, bapa atau ibu. Maka bagaimanakah kita hendak memimpin sebuah keluarga, melayari bahtera cinta bersama, hendak menembus syurga, dengan hati yang kotor, dan jauh dariNya?
Maka jangan kemaruk bercinta kosong.
Cintalah dengan sebenar-benar cinta.
~Hilal Asyraf~

Read more...

Monday, 2 April 2012

Memaku Dinding Hati


Bismillah...

Satu cerita yang menarik untuk kita semua hayati. Kisah ini tentang seorang lelaki pemarah. Lelaki tersebut tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun dalam situasi kecil sahaja. Marahnya sukar dibendung. 

        Suatu ketika, bapanya menghadiahkan seguni paku. Lantas dengan hairan lelaki itu bertanya kepada ayahnya, "Apa gunanya paku-paku ini ayah?"

      Ayahnya dengan tenang menjelaskan, "Setiap kali kamu marah, paku tembok batu dihadapan rumah kita dengan paku itu bagi melepaskan kemarahan kamu."

      Pemuda itu mengikut pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu sudah memaku sebanyak 37 batang paku di tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, dia dapat mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang digunakan semakin hari semakin berkurang. Akhirnya, dia mendapati, lebih mudah mengawal marah daripada memukul paku yang menembusi tembok batu tersebut.

       Akhirnya pemuda tersebut langsung tidak marah walaupun sekali. Dia lantas dengan rasa gembira memaklumkan kepada bapanya. Bapanya terus mengucapkan tahniah dan meminta dia mencabut kembali paku itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia berjaya mencabut semua paku di tembok tersebut.

       Selesai tugasannya, dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan rasa bangga. Bapanya lantas memimpin tangan lelaki itu menuju ke tembok tersebut dan berkata, "Kau melakukannya dengan baik anakku, namun lihatlah kesan lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.

      Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka sama seperti di tembok ini. Kamu boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Namun luka itu masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal.      

      Sabda Nabi dalam hadis yang lain: "Jauhilah kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam". Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: "Kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka ambillah wuduk". 


~mujahid91~


Read more...

Wednesday, 28 December 2011

Syurga Ilahi..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang..


Syurga memiliki tingkatan-tingkatan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


”(Kedudukan) mereka itu bertingkat-tingkat di sisi Allah, dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.” (Surah Ali-Imran:163)
"Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Rabbnya dan ampunan serta rejeki (nikmat) yang mulia.” (Surah Al-Anfal:4).


8 Tingkatan Surga


Syurga biasanya disebut dengan Jannah, dan inilah nama yang digunakan untuk menyebut tempat ini dan segala yang terdapat di dalamnya berupa kenikmatan, kelazatan, kemewahan, dan kebahagiaan. Nama-nama lain bagi Syurga di antaranya:


1. Darus Salam


Sebagaimana firman Allah SWT, ertinya:
“Bagi mereka (disediakan) Darussalam (surga) pada sisi Rabbnya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal sholeh yang selalu mereka kerjakan.” (QS. 6:127)


Syurga adalah Darussalam (negri keselamatan) dari segala musibah, kecelakaan, dan segala hal yang tidak disukai, dan ia merupakan negeri Allah SWT, diambil dari nama Allah “as-Salam”. Allah SWT pun mengucapkan salam kepada mereka:
“Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. (Kepada mereka dikatakan), “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Rabb Yang Maha Penyayang.” (QS. 36:57-58)


2. Jannatu ‘adn


Sebagaimana firman Allah SWT, ertinya:
(Yaitu) surga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang sholeh dari bapa-bapanya, istri-istrinya, dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan), “Salamun ‘alaikum bima shabartum”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Surah Ar-Rad :23-24)


3. Jannatul Khuld


Bermaksud kekal kerana penduduknya kekal di dalamnya dan tidak akan berpindah ke alam (tempat) lain. Allah SWT berfirman, ertinya:
”Katakanlah, “Apakah (azab) yang demikian itu yang baik, atau surga yang kekal yang dijanjikan kepada orang- orang yang bertaqwa?” Surga itu menjadi balasan dan tempat kembali bagi mereka.” (Surah Al-Furqan:15)


4. Darul Muqamah


Sebagaimana firman Allah SWT, ertinya:
“Dan mereka berkata:”Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami.Sesungguhnya Rabb kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (surga) dari karunia-Nya; di dalamnya kami tiada merasa lelah dan tiada pula merasa lesu”. 
(Surah Al-Faatir:34-35)


5. Jannatul Ma’wa 


al-Ma’wa ertinya adalah tempat menetap. Disebut demikian kerana syurga merupakan tempat menetapnya orang-orang Mukmin.


6. Jannatun Na’im


Syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat."
(Surah Luqman:8)


7. Al Muqamul Amin


Syurga bagi orang yang bertaqwa. 
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa"
(Surah Ad-Dukhan:51)


Firman Allah SWT bermaksud:
"Di edarkan kepada mereka piring-pring dan gelas-gelas daripada emas dan didalamnya (syurga) itu apa-apa sahaja yang kamu inginkan dengan nafsu dan indah dipandang mata, dan kamu kekal di dalamnya"
(Surah Az-Zukhruf :71)


"Mereka duduk diatas tilam-tilam yang isinya daripada sutera (dan sedang duduk-duduk itu) mereka dapat memetik buah-buahan syurga kerana dekat (pohonnya)." 
(Surah Ar-Rahman:54)


Sesungguhnya, tiada mata yang pernah melihat keindahannya, tiada kata-kata yang mampu mengungkap keindahannya, malah tiada lukisan pun yang boleh mentafsirkannya. Subhanallah... Syurga Allah itu terlalu indah. Tidakkah kita terpikat dengannya?? atau kita tidak yakin?? atau mungkin ni'mat dunia dirasakan lebih baik dari itu??                       


Kata seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Anas bin Malik r.a.: "Bagaimana kita harus menilai suatu tempat yang dicipta oleh Allah dengan 'Tangan'-Nya sendiri iaitu syurga. bersiaplah  dari sekarang untuk menyaksikannya sendiri, Insya-Allah."


Ayuh kita tingkatkan taqwa dan amal ibadah kita kepada-Nya, mudah-mudahkan kita dapat melihat keindahan Syurga Allah diakhirat kelak.  
Rasulullah SAW bersabda:
"Allah menciptakan 100 rahmat, satu rahmat dibahagikan kepada seluruh isi dunia ini, sedangkan 99 bahagian lagi dibahagikan di akhirat (iaitu di dalam syurga)"
(Riwayat Muslim)


Ketahuilah bahawa kesenangan didalam syurga itu 99 kali ganda berbanding kesenangan di dunia yang sementara ini. Inilah pesona yang mampu membuatkan Mukmin memburu 99 lagi  rahmat yang ada disisi-Nya. Wallahu'alam..


~mujahid91~


Read more...

Friday, 16 December 2011

Andai Rasulullah Bersama Kita..

Sama-sama kita hayati video ni..semoga cinta kita kpd Nabi SAW semakin bertambah. Selawat & Salam kpd Baginda..



~mujahid91~
Read more...

Wednesday, 17 August 2011

Tentera Badar

Bismillah..Alhamdulillah.
Pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah, tentera Badar pernah menjawab pertanyaan Nabi: "Apakah kita akan menuju tentera Quraisy?". Maka dijawab Abu Bakar dan kelompok Muhajirin dengan jawapan terbaik. Rasulullah tetap mengulang: "Berikanku pendapatmu."

Lantas Sa'ad b Mu'adh menjawab: "Harapnya kau memaksudkan kami, Ya Rasulullah. Demi yang mengirimmu dengan kebenaran, jika kamu membawa kami dan mengharungi laut, kami akan mengharungi bersamamu. Tiada dari kami yang akan tinggal, dan kami tidak benci untuk kamu membawa kami memerangi musuh kita besok. Kami sabar dalam perang, dan kami ikhlas memerangi musuh. Semoga Allah akan menunjukkanmu dari kami, dengan keberkatan dari Allah."

Pergilah kamu dan Tuhanmu berperang
Berkata Miqdad (sahabat Rasul sebelum Perang Badar) kepada Rasulullah s. a. w: "Wahai Rasulullah! Kami tidak akan tinggal di sini sebagaimana dicakapkan oleh Bani Israel kepada Nabi Musa: 'Pergilah kamu dan Tuhan kamu dan berperanglah. Kami akan duduk di sini sahaja.' Tetapi kami akan berkata : "pergilah kamu dan Tuhanmu dan berperanglah, dan kami akan bersamamu memerangi mereka.' "
Demikian sirah yang berlaku ketika Perang Badar..Apa yang perlu dilihat di sini ialah bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat memiliki semangat yang tinggi untuk berperang di jalan Allah meskipun dalam keadaan berpuasa...kita pula bagaimana? Ada sesetengah daripada kita sering menjadikan 'puasa' sebagai alasan tidak produktif dalam bekerja mahupun belajar. Jadi, ubahlah sikap kita dengan melihat bagaimana kuatnya fizikal dan mental nabi dan para sahabat ketika di bulan Ramadan. Selamat belajar, selamat bekerja dan selamat menjalani ibadah puasa!!


~tinta Mujahid91~

Read more...

Sunday, 31 July 2011

Ramadhan Bersua Kembali..

Bismillah..Alhamdulillah.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan  ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”
Al-Baqarah:183

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan..hadiranmu dinanti, pergimu ditangisi. Alhamdulillah..kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaannya kerana dipertemukan dengan Ramadhan kali ini. Sesungguhnya, kedatanganmu Ramadhan, membawa rahmah dan barakah buat orang-orang yang beriman kepada Allah SWT...

Kelebihan dan Keistimewaan Ramadhan:

1. Bulan agung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis amal ibadah  (puasa,tarawih,sadaqah, i’tikaf,doa, tadarus dan sebagainya).

2.Bulan keampunan,rahmat,keberkatan dan bulan yang dijanjikan pelepasan dari api neraka.


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلمم

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu". (1)Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181).
(Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­(Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079)


3.Bulan penyucian dan pembersihan jiwa melalui zikir munajat,qiamullail,doa dan sebagainya disamping boleh miningkatkan sifat sabar,tabah,belas kasihan dan sebagainya.

4.Bulan yang didalamnya terdapat Lailatul Qadar yang malamnya lebih baik dari 1000 bulan.

Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Surah al-Qadr: 1-5.

5.Bulan turunnya pemulaan kitab suci Al-Quran. 

Firman ALLAH S.W.T:
"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.

6.Bulan yang pintu syurga dibuka dan ditutup pintu neraka serta syaitan-syaitan di belenggu.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899)

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." (Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618)

7. Bulan ganjaran pahala ibadah dilipatgandakan yakni amalan sunat dikira amalan fardhu, manakala amalan fardhu digandakan sehingga 700X ganda.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Setiap amalan anak Adam akan digandakan di mana satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Allah berkata; ‘Puasa itu untukKu, maka Aku sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu’. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Ayuh saudara-saudaraku, rebutlah peluang untuk melaksanakan sebanyak-banyaknya ibadah sepanjang Ramadhan kali ini disamping meraih ganjaran-ganjaran yang hebat daripada-Nya. Wallahua'lam..

~Tinta Mujahid91~ 

Read more...

Sunday, 24 July 2011

Countdown To Ramadhan..

Bismillah...Alhamdulillah. 

Insya-Allah dalam seminggu lagi, kita bakal menyambut ketibaan bulan yang mulia Ramadhan Al-Mubarak. Ramai yang mula berfikir tentang persiapan menyambutnya. Ada yang berfikir tentang juadah berbuka, ada yang berfikir tentang aktiviti yang bakal dilakukan di bulan Ramadhan nanti, ada yang mula meningkatkan amal ibadah, bahkan sudah ada yang mula membuat persiapan untuk menyambut “Hari Raya”...Kita pula bagaimana? Apakah kita sudah bersedia menerima kehadiran Ramadhan?

Sebagai seorang yang beriman, ada beberapa perkara yang harus kita lakukan sebagai persediaan menyambut Ramadhan antaranya:

o       Mengulangakaji semula ilmu berkaitan dengan puasa. Contohnya ialah rukun puasa, syarat puasa, adab-adab berpuasa, sunat-sunat puasa serta hikmah berpuasa supaya ibadah puasa yang kita lakukan lebih sempurna.
o       Selain itu, kita seharusnya menguatkan azam dan kesungguhan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin. Ini kerana ibadah puasa adalah ibadah yang paling istimewa disisi Allah SWT yakni ganjaran bagi orang yang berpuasa sangat besar nilainya dan ianya tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah dan Rasul-Nya .
o       Perbanyakkanlah doa kepada Allah SWT agar kita sempat bertemu dengan Ramadhan kali ini serta berdoa agar diberi kekuatan untuk melakukan ibadah puasa kali ini dengan sempurna dan penuh keikhlasan.
o       Di samping itu, berazamlah untuk menghapuskan adat kebiasaan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti membazirkan wang dengan membeli pelbagai juadah untuk berbuka, melakukan aktiviti yang sia-sia seperti tidur sepanjang hari dan sebagainya.
o       Dalam pada itu, kita seharusnya melatih diri dengan tidur awal agar mudah untuk bangun bersahur nanti, selain berpuasa sunat pada bulan Sya’aban ini dan jangan lupa bagi yang belum “menqada’kan puasa” , segeralah berbuat demikian sebelum ketibaan Ramadhan ini...

Apapun, nantilah ketibaan Ramadhan kali ini dengan penuh kegembiraan disamping berharap agar ibadah puasa dan segala amal ibadah lain yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan nanti diterima Allah SWT serta bertekadlah agar segala amal yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan nanti dapat diteruskan pada bulan-bulan yang mendatang.


~tinta Mujahid91~

Read more...

Monday, 24 January 2011

Diguna atau Diperguna???

Bismillah..Alhamdulillah.

Sedarkah kita bahawa masa yang kita miliki lebih sedikit daripada tanggungjawab yang kita perlu laksanakan? Cuba fikirkan berapa banyak tanggungjawab kita ada..antaranya adalah:
  1. sebagai seorang pelajar atau pekerja
  2. sebagai seorang anak kepada kedua ibubapa
  3. sebagai seorang suami kepada isteri (bg yang dah berkahwin)
  4. sebagai seorang bapa kepada anak (bg yang dah ada anak)
  5. sebagai seorang amir(pemimpin) sama ada kepada masyarakat, organisasi @ diri sendiri
  6. dan yang paling UTAMA sebagai seorang hamba kepada Allah SWT
Firman Allah SWT dalam surah Ad-Dzariyat:56,





“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”





Cukup banyak bukan??? Kadangkala tak semuanya terlaksana..tapi berapa banyakkah masa yang kita peruntukkan setiap hari untuk beribadah kepada-Nya??? Cuba hitung umur kita dengan masa yang kita gunakan..setiap umat Muhammad SAW, umurnya lebih kurang 60-70 tahun sahaja. Katakan purata umur kita 65 tahun..

1.  Masa untuk tidur:6-8 jam sehari

                7 jam X 23725 hari (65 tahun)= 166,075 jam =20 tahun

2.  Masa untuk bekerja, belajar dan makan:12 jam sehari

                 12 jam X 23725 hari = 284,700 jam = 33 tahun

3.  Masa untuk beriadah & rehat: 3 jam sehari

                 3 jam X 23725 hari = 71,175 jam =8 tahun

4.  Masa untuk beribadah:

                 65 tahun – 20 tahun– 33 tahun – 8 tahun = 4 TAHUN ???


Adakah 4 tahun sahaja kita beribadah sudah cukup untuk kita mendapat syurga Allah? Layakkah kita?? Persoalan ini ana lontarkan kepada diri ana sendiri dan sahabat-sahabiah sekalian..Jadi, bagaimana cara kita nak memperbanyakkan amal ibadah kita setiap hari?

Mudah saja sebenarnya..mulakan segala pekerjaan kita yang baik dengan niat kerana Allah SWT. Ini kerana niat sahajalah yang boleh membezakan antara 'Adat dan Ibadah'. Sebenarnya ibadah bukan sahaja pada solat,puasa,zakat dan haji bahkan tidur dan makan pun boleh boleh dikira sebagai ibadah jika diniatkan kerana Allah SWT. Tapi dengan syarat janganlah diabaikan segala ibadah yang wajib itu. Ibadah secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Ibadah Khassah (seperti solat, puasa dan lain2)
  2. Ibadah Ammah (seperti belajar, makan dan sebagainya)

Oleh itu, janganlah kita sia-siakan umur kita..gunakanah ia untuk mencari redha Allah SWT.
Hargailah 'Masa' kerana ia tidak menunggu kita tapi kita yang harus mengejarnya. Pepatah arab ada menyebut, “Masa itu ibarat pedang,jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita”.

Mari kita sama-sama renungkan satu hadith Rasulullah SAW :

Dari Amru bin Maimun r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sehat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian.”  (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Adakah umur kita ada diguna atau diperguna???”                   
   Fikir-fikirkanlah....wallahu'alam. 




~tinta mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!