Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Tuesday, 1 May 2012

Ada Apa Dengan Bersih 3.0??

Bismillah...


Di sini saya ingin jelaskan beberapa perkara boleh dilihat sepanjang Bersih 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur Sabtu lalu:


1) Setelah melihat keamanan yang panjang dari pagi hingga ke petang, mustahil Peserta-peserta BERSIH secara majoriti ingin merosakkan 'rekod BERSIH terbaik' mereka ini. Jadi jika ada yang berkelakuan buruk, itu adalah segelintir. Dan mungkin, yang segelintir inilah yang angkat barricade (jika benar cerita orang BERSIH yang angkat Barricade). Dan bukanlah kita tidak tahu, bahawa dalam dunia ini ada makhluk yang bernama SB(Special Branch) yang boleh menyusup ke dalam orang ramai, dan melakukan kekacauan ini. Dalam hal ini, boleh jadi Sb atau segelintir Demonstran yang mencetuskan kekacauan.




2) Kita perlu memahami realiti bahawa peserta BERSIH itu ramai. Dan bukan semuanya mahu pergi ke Dataran itu. Ada yang sudah bersiap untuk pulang setelah mendengar ucapan daripada Pemimpin Bersih. Ada yang tidak berada di sana pun, tetapi di tempat lain. Kita dapat bayangkan huru-hara yang berlaku atas 'peristiwa mengejut' ini. Hanya kerana sebahagian kecil, polis hentam semua sama rata. Gas Pemedih Mata dan Penyembur Air itu pergi kepada semua orang, menyakitkan semua orang. Menjadikan orang ramai, yang semenjak siang telah membina kepercayaan kepada pihak polis, rasa terkhianat. Menimbulkan amarah yang tinggi sebilangan peserta BERSIH yang lain. Ini ditambah pula, dengan polis-polis yang memukul dengan ganas dan kasar peserta-peserta. Bahkan, ada peserta yang telah ditangkap, pun masih ditendang dan dipukul. Semestinya sesiapa yang melihat perkara ini marah, dan akan bertindak kasar juga. Ini namanya Mass Effect.




3) Kes kereta langgar orang, saya kira sebahagian dari pembaca telah mendapat pelbagai penjelasan. Pada saya, besar kemungkinan 'polis sengaja melanggar Demonstran'. Tapi, jika nak marah kereta polis itu langgar orang, kita kena ambil kira yang kereta polis itu sendiri sudah hancur dikerjakan orang sebelum pelanggaran berlaku. Mungkin 'dia hilang kawalan kenderaannya, lalu berlakulah kemalangan'. Polis langgar orang, orang pukul polis kerana sangka dia berniat jahat. Namun kena jelas juga bahawa, terdapat beberapa peserta BERSIH lain yang berusaha melerai dan menghentikan pembelasahan itu. Kemudian kes "Kereta diterbalikkan", kerana risau ada orang di bawah kereta polis. Ini kesimpulan saya selepas melihat pelbagai video akan peristiwa itu. Dan apabila orang menyangka 'polis memang sengaja langgar' dan melihat peristiwa pelanggaran ini, nyata mereka naik marah lagi.





4)Pendapat saya, sekiranya benar-benar BERSIH bertujuan membuat huru-hara, memang mereka bertujuan membuat kekacauan, saya kira mereka tidak perlu kepada 10 jam yang aman sebelum itu. Mereka tidak perlu menjaga solat. Baik mereka turun, bila angka sudah ramai, rempuh dan angkat sahaja barricade itu awal-awal. Tetapi nyatanya, bukan itu yang berlaku dari awal hingga akhir acara rasmi BERSIH. Selepas itulah baru berlakunya huru-hara ini. Angkat barricade dan memudahkan perjalanan ke Dataran kemudian mula menyembur air dan menembak gas pemedih mata, hakikatnya adalah satu PROVOKASI. Sekali lagi, dengan teori Mass Effect, provokasi ini akan memberikan kesan kepada orang ramai lain yang mengikuti BERSIH.


5) Media-media utama juga, pada saya membesar-besarkan peristiwa huru-hara. Memetik gambar-gambar yang boleh dipergunakan untuk menunjukkan kekasaran dan sebagainya, sedangkan gambar-gambar itu kalau ditunjukkan dalam bentuk video, disambung beberapa gambar lain, akan menunjukkan betapa apa yang diberitakan media-media utama tidak benar. Angka peserta BERSIH dinyatakan dengan angka yang sangat sedikit. Kemudian tindakan polis memijak dan memukul perserta berlebihan, tidak dibesarkan. Kisah polis yang tercedera pula dibesar-besarkan, dan kisah kereta terbalik dimainkan dengan penuh efisyen!



6) Peristiwa BERSIH perlu dipandang secara menyeluruh. Bukan di akhir-akhirnya sahaja. Kita nak besarkan Isu Sampah merata-rata contohnya, kita kena faham yang Peserta BERSIH hakikatnya ada sebilangan mereka bertugas kutip sampah. Tetapi apa yang kita expect selepas kena water canon dan tear gas? Orang lari la. Campak segala apa yang ada di tangan untuk mudahkan larian.


Kesimpulannya, Bersih 3.0 sebenarnya bersih dari segala tuduhan yang mengatakan ganas, cetus huru-hara dan sebagainya. Harap pembaca semua dapat menilai daripada segenap sudut. Dapatkan informasi dari kedua-dua pihak dan nilailah manakah yang lebih relevan dan tepat!!


Wallahua'alam..


~By mujahid91~
Read more...

Saturday, 25 February 2012

Al-Aqsa dlm bahaya!!!

Terkini dari Palestin:-Menurut Aman Palestin (NGO), telah berlaku pertempuran antara rakyat Palestin dan Pasukan IOF(Israeli Occupation Forces) Israel yang cuba menceroboh Al-aqsa sejak kelmarin. Semoga Allah melindungi Al-Aqsa dan kaum muslimin di Palestin..

 Gambaran pertembungan di dalam Masjid Al-Aqsa semalam.

Berpuluh-puluh orang tercedera dalam pertembungan di dalam Masjid Al-Aqsa semalam. Pasukan bersenjata penjajah turut mensasarkan serangan mereka ke atas kereta-kereta ambulans dengan sengaja.

Gambar pasukan Bersenjata Israel IOF

Pemuda-pemuda Palestin tidak berputus asa. Walaupun dihalang masuk melalui pintu Masjid Al-Aqsa, mereka bertindak memanjat masuk melalui tembok Masjid Al-Aqsa untuk menghalau keluar pelampau-pelampau Yahudi.

Seorang lelaki cedera di kepala dalam pertembungan ganas di perkarangan Masjid Al-Aqsa semalam.

Seorang pakcik tua Palestin turut berdiri gagah mempertahankan Masjid Al-Aqsa semalam.

Talaat Ramiah, 25 tahun, syahid pertama dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa hari ini. Beliau telah ditembak dengan peluru hidup di dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Wanita-wanita Palestin tidak berganjak dari tempat mereka dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa. Malu kita umat Islam yang ramai bilangannya dengan wanita-wanita singa ini dalam berjuang untuk kesucian agama Islam.

Titisan darah-darah Syuhada...


~By Mujahid91~

Read more...

Tuesday, 22 November 2011

Krisis Terbaru Di Mesir

Kaherah-21 Nov : Para pelajar Malaysia di Mesir dilanda kebimbangan ekoran kekacauan yang berterusan di ibu kota negara berkenaan ekoran rusuhan melibatkan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sejak kelmarin.


Wakil pelajar, Muhammar Amin Abdul Yasin, 24, berkata, pelajar Malaysia kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan konflik lebih teruk berlaku di negara berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kedutaan Malaysia juga telah mengeluarkan pekeliling kepada pelajar Malaysia di sini (Mesir) supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap keselamatan diri dan ketika ini terdapat kira-kira 10,000 pelajar Malaysia di Kaherah serta 1,400 di Mansoura.

“Kami juga diminta tidak keluar lewat malam, tidak menghampiri kawasan pilihan raya serta tempat perkumpulan orang ramai dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammar Amin yang merupakan pelajar tahun enam jurusan perubatan Universiti Mansoura berkata, dia dan teman-teman masih mengikuti kelas di universiti seperti biasa tetapi bimbang konflik itu jika berlanjutan akan menjejaskan kuliah mereka.

Desakan rakyat Mesir serah kuasa

Menurutnya lagi , kekecohan berlaku kerana rakyat Mesir mendesak tentera negara itu mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru.

Sehubungan itu, katanya, para pelajar Malaysia di Mesir memohon kerajaan Malaysia membantu mereka jika keadaan politik bertambah teruk di negara tersebut.

Demonstran ditembak gas pemedih mata, peluru getah

Beratus-ratus penunjuk perasaan yang membanjiri Dataran Tahrir di sini semalam bertempur dengan pasukan keselamatan Mesir, sekali gus meneruskan ketegangan pada malam sebelumnya.

Di dalam beberapa buah bilik rawatan yang dibina di dalam masjid berhampiran dataran tersebut, penunjuk perasaan menerima rawatan kerana ditembak dengan gas pemedih mata dan peluru getah.
Tunjuk perasaan itu bertujuan menuntut Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata (SCAF) yang mengambil alih kuasa selepas Presiden Mesir, Hosni Mubarak ditumbangkan pada Februari lalu menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Mereka juga mahu Hussein Tantawi yang mengetuai junta tentera dan Menteri Pertahanan sewaktu pemerintahan Mubarak meletak jawatan.


“SCAF meneruskan polisi Mubarak, tiada apa yang berubah,” kata seorang penunjuk perasaan, Khaled di sebalik laungan “kebebasan! kebebasan!” rakan-rakannya.

“Keganasan hari ini menunjukkan bahawa Mubarak masih berkuasa,” kata seorang lagi penunjuk perasaan, Ahmed Hani yang cedera di dahi akibat terkena peluru getah.

Penunjuk perasaan turut menggunakan rangkaian laman sosial untuk mengajak lebih ramai rakyat Mesir menyertai perjuangan mereka.

Rakyat Marhaen

~mujahid91~

Read more...

Thursday, 8 September 2011

Keluarga tuntut bersihkan nama Mat Indera.

 
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kerajaan diminta membersihkan imej Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara kerana beliau ternyata seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sehubungan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula memandangkan sejarah yang ada kini terdapat terlalu banyak penyelewengan dari fakta yang sebenar.

Adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera, 65, berkata, fakta sejarah perjuangan sebenar mengenai abangnya sememangnya terlalu banyak yang diselewengkan dan amat perlu dikaji semula oleh ahli-ahli sejarah.

[Gambar: Baharom Shah (tengah) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor bersama Suhaizan dan Khairul Faizi pada sidang media di Pejabat Agung PAS.]

Menurut beliau, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Katanya, namun abangnya telah dituduh sebagai pengkhianat oleh pihak British ketika menjajah negara kita dulu dan ia perlu dikaji semula bagi membersihkan imej dan nama baik ahli keluarganya.

"Dalam hal ini, para pemimpin Umno perlu bersikap jujur terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar. Ahli-ahli sejarah juga perlu mengkaji semula fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan itu dan jangan hanya sekadar bercakap sahaja.

"Bagaimana abang saya boleh dituduh pengkhianat, sedangkan beliaulah yang telah menyelamat salah seorang anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar, anak kepada anggota polis marin di Bukit Kepong," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, terdapat ramai lagi mangsa yang telah diselamatkan oleh abangnya dalam tragedi di Bukit Kepong.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, Mat Indera datang lewat ke Bukit Kepong semasa kejadian pada 23 Februari 1950. Beliau datang bukan untuk bertempur sebaliknya datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat," katanya yang berasal dari Bakri, Muar, Johor.

Mat Indera, jelas beliau, mendapat ancaman tangkapan daripada penjajah sebelum dari peristiwa Bukit Kepong sehingga ditawarkan sejumlah $25 ribu dan selepas peristiwa Bukit Kepong tawaran telah ditingkatkan sebanyak $75 ribu.

Katanya, akhirnya Mat Indera telah ditangkap cara tipu helah di Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat pada tahun 1952 dan beliau ada menziarahi abangnya di lokap Batu Pahat bersama ibu dan neneknya.

"Sebelum kejadian Bukit Kepong, abang saya, Johan Shah dan ayah telah dibuang daerah ke Singapura. Ibu, ayah dan nenek telah diseksa oleh polis British. Abang saya telah dihukum gantung sampai mati oleh Kerajaan British di Taiping, Perak," jelasnya.

Mat Indera mempunyai 12 orang adik beradik dari satu bapa dan dua ibu. Adik beradiknya dari ibu pertama seramai 8 orang, manakala dari ibu kedua seramai 4 orang. Mat Indera adalah anak kedua dari ibu pertama dan Johan adalah anak bongsu kepada ibu yang sama dengannya, manakala Baharom adalah anak pertama kepada isteri kedua ayahnya.

Katanya, kini negara kita telah sekian lama terlepas dari cengkaman penjajahan British tetapi beliau amat kesal Kerajaan BN masih juga belum mengambil sebarang usaha untuk membersihkan imej abangnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan langkah yang diambil oleh pihak PAS untuk membersihkan imej abangnya itu dan juga imej pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang lain yang dituduh pengkhianat oleh pihak British, dalam usaha untuk mengkaji semula sejarah kemerdekaan tanah air.

"Usaha murni ini amat perlu dilakukan sama oleh Umno dan Kerajaan tanpa mengira ideologi politik kerana ia adalah untuk kepentingan tanah air yang kita cintai," ujar beliau.

Aziz Muda
~harakahdaily.net~ 

Read more...

Wednesday, 6 July 2011

Hormati Titah Agung-SMM

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan menerusi Datuk Abdul Rahman Othman yang menyatakan bahawa Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang bertujuan ingin menjatuhkan kerajaan Malaysia.


Kenyataan itu jelas berbaur fitnah dan cuba mengelirukan rakyat tentang objektif sebenar Bersih 2.0. Ugutan Menteri Dalam Negeri yang ingin menggunakan ISA bagi menghalang Bersih 2.0 juga dilihat melampaui batas-batas negara demokrasi apabila perhimpunan rakyat secara aman dilabel sebagai gerakan subversif yang ingin menggulingkan kerajaan.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, mahasiswa meyakini kenyataan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan bagi menakutkan rakyat agar tidak turut serta dalam himpunan aman tersebut.
Menurut beliau, namun mahasiswa juga cukup yakin bahawa rakyat sudah maklum mengenai objektif Bersih 2.0 yang hanya mahukan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya dan tidak sedikitpun membawa motif politik.

Katanya, mahasiswa percaya sekiranya pihak kerajaan sanggup menunaikan harapan rakyat ini, himpunan 9 Julai tidak akan berlaku.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam titah Baginda tidak melabelkan Himpunan Bersih 2.0 sebagai perhimpunan haram, tetapi hanya mencadangkan agar semua pihak mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Pihak kerajaan juga perlu memandang serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta pihak kerajaan menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Titah Tuanku Mizan Zainal Abidin, menurut beliau, dilihat oleh mahasiswa sebagai titah yang penuh harapan agar tuntutan rakyat didahulukan oleh pihak kerajaan tanpa mengira sempadan politik.
Katanya, dengan perkembangan terbaru ini, Menteri KDN seharusnya memohon maaf kepada pihak Bersih 2.0 kerana telah mengeluarkan kenyataan melulu dan berbaur fitnah.

Mahasiswa juga mengecam tindakan keras pihak Polis yang menahan aktivis Bersih 2.0 biarpun pihak Bersih 2.0 telah berulang kali memberi jaminan bahawa perhimpunan 9 Julai ini akan berlansung dalam keadaan aman. Jaminan itu bagi mahasiswa adalah cukup rasional apabila Himpunan Bersih 2.0 yang pertama telah terbukti berlangsung dalam keadaan aman dan hanya menjadi kecoh apabila pihak polis memulakan provokasi dengan tembakan gas dan semburan air pemedih mata.

"Bagi mahasiswa, pihak polis sepatutnya memberi peluang untuk rakyat berhimpun secara aman dan hanya perlu bertindak sekiranya peserta himpunan melanggar syarat yang ditetapkan.
"Mahasiswa juga ingin mempersoal tindakan pihak polis yang menahan mana-mana pihak yang menjual baju Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut dilihat lebih bermotif politik," tegasnya.

Bersih 2.0 tidak langsung menggambarkan mesej negatif, bahkan sudah difahami umum bahawa Bersih 2.0 adalah gabungan gerakan rakyat yang menuntut pembaikpulihan sistem pilihanraya di Malaysia.
Tindakan pihak polis itu jelas memperlihatkan bahawa pihak polis menjadi alat dalam melindungi pihak tertentu yang sebenarnya terlalu alergi dengan perkataan Bersih 2.0.
 "Oleh itu, mahasiswa menuntut agar pihak polis menghentikan sebarang penahanan atas nama Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut lebih mengeruhkan keadaan," katanya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurutnya, seharusnya mengambil iktibar daripada kepimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Tindakan Tun Abdullah yang telah mengisytiharkan perang terhadap himpunan Bersih 2007 dalam Perhimpunan Agung Umno telah menyebabkan imej kepimpinan beliau yang dikenali sebagai Mr Clean telah tercalar. Akhirnya rakyat telah menolak kepimpinan beliau yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu. 

Beliau menegaskan, mahasiswa berpendirian untuk menyokong sepenuhnya 8 tuntutan Bersih 2.0 yang antara lain meletakkan matlamat untuk menuntut pihak kerajaan melakukan transformasi sistem pilihanraya melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Keengganan kerajaan melaksanakan tuntutan rakyat itu menyebabkan rakyat terpaksa memilih jalan raya untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih serius terhadap 8 tuntutan Bersih itu.

Selain itu, ujarnya, mahasiswa juga berpendirian untuk terus menyokong usaha rakyat dalam menuntut penambahbaikan sistem pilihanraya yang selama ini disifatkan sebagai berat sebelah.
"Oleh itu, sekiranya Bersih 2.0 meneruskan perhimpunan rakyat pada 9 julai ini, mahasiswa telah sepakat untuk menyumbang 1,000 botol air mineral, 1,000 bungkus garam dan 1,000 helai tuala tangan.
 "Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada rakyat sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 berjaya dijalankan. Sumbangan ini sebagai tanda bahawa mahasiswa sentiasa mendokong perjuangan rakyat yang mahukan suasana demokrasi yang lebih baik melalui pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebersamaan mahasiswa dalam himpunan aman 9 Julai ini bukan atas dasar sokongan kepada Datuk Ambiga ataupun mana-mana pihak lain yang terlibat.
"Bagi mahasiswa, sekiranya rakyat tidak tampil dan bersuara, Himpunan Bersih 2.0 pasti tidak akan berjaya. Oleh itu, solidariti mahasiswa bersama Bersih 2.0 adalah atas dasar menyokong penuh 8 tuntutan rakyat sekali gus ingin bersama rakyat dalam himpunan aman 9 Julai ini," ujar beliau.

Kenyataan beliau itu turut disokong oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Selain itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Youth and Democratic Students Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Aksi mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

harakahdaily.net
5 JULAI
Read more...

Saturday, 18 June 2011

Utusan Malaysia Hina Islam

Dewan Ulama PAS Pusat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan segera bertindak serta mendakwa akhbar Umno, Utusan Malaysia yang menghina Islam melalui karikatur bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan 15 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan,  Ustaz Nazmi Nik Din berkata Dewan Ulama melihat tindakan Utusan itu seolah-olah cuba menafikan undang-undang Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT.

"Seolah-olah Utusan ingin menggambarkan kepada rakyat umum bahawa arahan Allah supaya mendatangkan syarat 4 orang saksi sepertimana yang terkandung di dalam nas Al-Quran yang jelas sebagai satu perkara yang menzalimi manusia dan merupakan undang-undang yang bodoh," katanya.

Sambil mengutuk tindakan melampau itu, Dewan Ulama PAS juga ujarnya menyeru supaya pihak Utusan terutamanya pelukis dan penerbit karikatur tersebut segera bertaubat kepada Allah terhadap dosa besar yang dilakukannya.

Utusan juga ujarnya perlu meminta maaf bukan sahaja kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam bahkan juga kepada mereka yang bukan beragama Islam kerana jenayah memberikan imej buruk tentang Islam terhadap mereka. 

"Tidak cukup dengan memberi gambaran tentang bahaya Negara Islam kepada bangsa lain sepertimana yang dimainkan akhbar itu sebelum ini, kali ini serangan diteruskan lagi terhadap batang tubuh Islam itu sendiri. 

"Mungkin ini adalah pendekatan serapang dua mata Utusan-Umno iaitu meracuni pemikiran umat Islam dan bukan Islam terhadap impian perjuangan PAS," jelasnya lagi.

Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu memaparkan kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.




Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan itu.

Menurut Nazmi, Islam menetapkan syarat itu kerana mahu memberi memastikan hukuman dikenakan kepada mereka yang benar-benar bersalah.

Penggunaan peralatan teknologi moden pula katanya mungkin mendedahkan kepada pemalsuan dan penipuan yang akhirnya bukan sahaja mengaibkan orang lain bahkan menjatuhkan hukuman
kepada orang yang bukan sepatutnya. 

"Adapun sekiranya si pengadu tidak berjaya mendatangkan pembuktian yang kukuh maka di dalam Islam pengadu itu akan terpaksa berhadapan dengan tuduhan qazaf kerana mencemarkan
maruah mereka yang tidak berdosa. 

"Seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya," tegasnya.
Read more...

Thursday, 2 June 2011

Isyarat Keruntuhan Zionis...

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyya menegaskan bahawa terdapat berita gembira yang membawa isyarat  keruntuhan Zionis semakin dekat.
“Bangsa Palestin memperingati Nakba pada tahun ini denga penuh harapan supaya berkahirnya projek Zionis di Palestin,” kata Ismail Haniyya dalam pidato beliau kepada sekitar 10, 000 ahli jemaah di Masjid al Omari, Gaza City.
Kata beliau, ketika bangsa Palestin sedang memperingati 63 tahun peristiwa yang menimpa mereka (Nakba,) terdapat perubahan jelas yang akan membawa kepada keruntuhan projek Zionis di Palestin serta kemenangan bagi ummat. 3 isyarat runtuhnya Zionis itu adalah
1. Rekonsiliasi
Salah satu perubahan penting yang membawa tanda-tanda keruntuhan Zionis adalah apabila berlangsungnya rekonsiliasi Palestin, sekaligus persetujuan kefahaman Mesir. Kesatuan bangsa Palestin merupakan salah satu dasar penting untuk merealisasikan kemenangan dan kebebasan serta kembalinya pelarian Palestin ke tanah air asal mereka.
2. Revolusi dunia Arab
Perubahan politik serta revolusi yang melanda dunia Arab merupakan strategi terpenting yang akan membawa kepada kehancuran Zionis. Revolusi yang berlaku hari ini lahir daripada kehendak rakyat, satu keinginan sebuah bangsa yang sudah lama terpendam. Hari ini mereka meraih kebebasan untuk mengungkap keinginan tersebut, setelah sebelumnya mereka terkongkong. Revolusi ini tentu akan membawa pengaruh besar terhadap sebahagian besar permasalahan Palestin.
3. Kesedaran bangsa Palestin dan kaum Muslimin
Pemahaman dan kesedaran yang tinggi rakyat Palestin khususnya dan dunia Islam umumnya juga membawa petunjuk akan berakhirnya Zionis. Golongan muda hari ini tidak lupa kepada sejarah dan tanggungjawab mereka, walaupun generasi terdahulu mungkin sudah tiada. Malahan dua kali intifadah sebelum ini telah digerakkan oleh bangsa Palestin yang lahir di bawah penjajahan.
Selain itu, sejumlah gerakan dan perubahan yang terjadi di dunia Arab dan Eropah juga menunjukkan perhatian masyarakat dunia terhadap permasalahan di Palestin semakin tinggi. Sebagai contoh, negara Jerman menolak pendudukan Israel di bumi Palestin dan menyeru kepada penyatuan Palestin.
Semoga kita juga menjadi sebahagian daripada mereka yang meruntuhkan kezaliman Zionis, seterusnya membebaskan bumi Palestin dan Masjid al Aqsa daripada kerakusan mereka.

Haluan Palestin..

~mujahid91~

Read more...

Sunday, 3 April 2011

Halal atau Haram? [2]

Bismillahirrahmanirrahim..

Firman Allah SWT:

"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

(Al-Baqarah:168)

Seharusnya kita perlu mengambil sikap berhati-hati dalam setiap perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan keperluan hidup kita. Ini kerana setiap perkara yang kita makan, pakai atau gunakan berhubungkait dengan amal ibadah seharian kita. Justeru, jika makanan atau pakaian kita dari sumber yang haram, bagaimana amal ibadah kita hendak diterima Allah?

Berdasarkan maksud sebahagian hadis dari Abu Hurairah berbunyi :

"..Kemudian ia menyambutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, yang kusut masai rambutnya, lagi berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit sambil berdoa: Hai Tuhanku, hai Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram pula, maka bagaimanakah mungkin itu diperkenankan baginya?"
 
(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda: 

"Demi (Allah) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari."

(Riwayat Thabrani)

Sedarkah kita bahawa setiap daging yang tumbuh pada badan dan membesar ke atas orang yang makan dan minum hasil daripada sumber yang haram hanya layak untuk dibakar oleh api neraka? Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

"Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya".

(Hadis riwayat Al-Tarmizi)

KESAN KEPADA TINGKAHLAKU DAN AKAL

Selain itu, jika kita makan atau minum dari sumber yang haram maka, ia akan memberi kesan kepada tingkahlaku. Lihat saja masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja islam hari ini, pernahkah kita terfikir bahawa salah satu puncanya mungkin kerana sesetengah masyarakat hari ini tidak menitik beratkan soal halal dan haram dalam kehidupan seharian mereka?
 
 
Sebenarnya makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman serba moden ini, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah. 

Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan? Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga iaitu hati yang berhubung dengan keperluan hidup seperti jantung dan otak manusia. Oleh itu, ketiga-tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya.

Di sini jelas menunjukkan kepentingan makanan dan minuman (yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak) dalam proses pembangunan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islam.

Pakar sains dan perubatan tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mem-pengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang.

 Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang maksudnya:


"Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati". 

(Hadis riwayat Bukhari)

Natijahnya, Islam cukup menitikberatkan soal halal dan haram dalam segala aspek kehidupan seorang Muslim. Justeru, menjadi kewajipan bagi kita untuk mengambil berat tentang halal dan haram ini.  Sabda Rasulullah SAW,
“Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.”   (Riwayat ad-Dailami)
~Tinta Mujahid 91~

Read more...

Saturday, 26 March 2011

Halal ke Haram? [1]

Bismillahirrahmanirrahim.

Isu halal dan haram semakin banyak diperkatakan hari ini. Namun, ada juga yang tidak mengambil tahu akan isu ini. Semakin hari semakin banyak produk makanan, minuman, ubat-ubatan, kosmetik dan pakaian yang terjual di pasaran. Tapi, tidak semua produk yang dijual mendapat kelulusan halal dan ada juga produk yang tidak dapat dipastikan kehalalannya. Adakah kita peduli akan perkara ini?






Jadi, apa yang anda fikirkan bila melihat keratan akhbar diatas? Mungkin salah satu persoalan yang bermain difikiran kita ialah kenapa banyak produk-produk yang sumbernya daripada babi? Cuba kita lihat rajah dibawah...


Sekarang anda faham apa maksudnya bukan? Memang makhluk yang diciptakan Allah yang bernama babi ini sememangnya dijadikan oleh Allah sebagai ujian ke atas orang-orang yang beriman untuk melihat sama ada kita mematuhi larangan-Nya atau tidak. Firman Allah SWT  dalam Surah Al-baqarah ayat 173:

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Begitu juga dengan soal ayam yang diragui sama ada ia disembelih atau tidak. Sebenarnya permintaan ayam terlalu banyak setiap hari. Secara puratanya lebih kurang 1.4 juta ayam sehari disembelih di seluruh negara. Jadi, bagaimana pihak berkuasa seperti JAKIM boleh memantau proses penyembelihan ayam itu secara menyeluruh? Wallahua’lam, fikirlah sendiri. Cuma ambillah sikap berhati-hati dan kalau mahu mengelak dari perkara yang syubhah maka kurangkanlah makan ayam (lebih-lebih lagi peminat KFC)...

Sabda Rasulullah SAW, 
"Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan(syubhah), yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

~Tinta Mujahid91~

Read more...

Wednesday, 2 February 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir..Rejim Hosni bakal hancur!!

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariqdan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.Mubarak sendiri perlu faham dengan tuntutan itu kerana seluruh rakyat Mesir sudah menyatakan pendirian mereka secara jelas sejak seminggu lalu, apabila mereka telah keluar ke jalan-jalan bagi menyatakan kebencian dan suara hati mereka terhadap pemimpin tersebut, sehingga tidak akan berakhir selagi Mubarak tidak memenuhi tuntutan mereka.
Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasib umat Islam di Palestin. "Ya Allah, berilah kemenangan kepada rakyat Mesir dan Islam"
Oleh:Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat
~Editor: Mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!