Saturday, 10 September 2011

Taubat Seorang Pegawai Tinggi

Seorang Tuan Guru bernama Sari As-Saqati bercerita bahawa pada suatu hari dia sedang memberi syarahan di sebuah masjid jamek. Tiba-tiba datang seorang pemuda dengan pakaian yang mewah dan dikawal oleh beberapa orang pengiring. Dia lalu duduk dan mendengar syarahan itu. Ketika itu Sari berkata: “Adalah suatu keajaiban bagi orang yang sangat lemah berani menentang orang yang sangat kuat.”

    Wajah si pemuda berubah sebaik saja mendengar ucapan Sari, dan terus pulang. Keesokan harinya Sari mengajar lagi sebagaimana biasa. Pemuda yang semalam datang dengan berpakaian mewah, sekarang hanya memakai pakaian biasa dan tanpa pengawal.
“Wahai tuan guru! Apakah maksud perkataan tuan yang semalam itu?” tanya orang muda itu kepada Sari.
“Tidak ada yang lebih kuat selain Allah, dan tidak ada yang lebih lemah selain manusia. Akan tetapi manusia berani menentang Allah dengan bermaksiat kepadaNya. Bukankah itu suatu keajaiban?” Jawab Sari.

    Pemuda itu tertunduk mengingatkan dosa-dosa yang telah dilakukannya, kemudian dia pulang dengan seribu tanda tanya di hatinya, apakah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya itu? Apakah Allah akan menerima taubatnya? Keesokan harinya dia telah datang lagi kepada Sari.
“Wahai tuan guru Sari! Tunjukkan kepada saya jalan menuju Allah,” kata pemuda itu.
Ada dua cara untuk sampai kepada Allah. Yang pertama dengan mengerjakan semua yang terkandung di dalam Al-Quran, yakni solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain pekerjaan. Yang kedua dengan cara meninggalkan segala-galanya selain Allah, kemudian dia tidak tinggal melainkan hanya di masjid atau di tempat-tempat yang sunyi dengan menghabiskan masa untuk beribadah kepada Allah.”
“Kalau begitu, aku tidak akan menempuh melainkan jalan yang lebih dekat,” kata pemuda itu.

    Selepas berkata demikian, pemuda itupun keluar menuju padang pasir dan menghabiskan masanya untuk beribadah kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa yang pernah ia lakukan.

    Beberapa hari kemudian, orang-orang dari istana sibuk mencari Setiausaha Kerajaan yang tidak pulang ke istana. Orang yang mengetahui dia mendengarkan syarahan Sari As-Saqati, datang dan bertanya kepadanya.
“Tuan guru Sari, tahukah tuan kemana perginya pemuda yang datang ke sini beberapa hari yang lalu?”
“Aku tidak tahu, melainkan ada seorang pemuda sifatnya begini dan begitu,” jawab Sari.
“Dia itulah Ahmad bin Yazid, Setiausaha Kerajaan ini,” jawab mereka.

    Sari As-Saqati menerangkan bahawa si pemuda telah memilih jalan pintas menuju Allah. Dia sekarang tengah beribadah, diharap pihak istana jangan risau.

    Sementara ibu si pemuda itu agak kecewa kerana gara-gara Sari As-Saqati anaknya telah meninggalkan jawatannya sebagai orang kanan kerajaan dan menjadi seorang sufi.

    Apabila pemuda itu datang, Sari segera memberitahukan kepada keluarganya. Merekapun datang. Si ibu menangis melihat keadaan anaknya yang hidup glamour itu tiba-tiba memakai baju kasar dan buruk sebagaimana biasanya seorang sufi. Mereka cuba memujuk si pemuda agar meneruskan pekerjaannya lagi, namun dia sudah tidak mahu.
“Engkau telah tergamak membuatku menjadi janda dan anak kita menjadi yatim padahal engkau masih hidup,” kata isteri lelaki itu. “Bawalah anak ini ke mana engkau pergi.”

    Lelaki itu lalu menanggalkan pakaian mewah anaknya dan ditukarnya dengan pakaian kasar seperti seorang hamba. Melihat itu, si ibu terus mendapatkan anaknya dan menanggalkan baju kasar di badannya, lalu digantikannya dengan baju istana. Kemudian mereka meninggalkan Setiausaha Kerajaan yang telah menjadi hamba itu masuk ke hutan belantara.

    Beberapa hari kemudian, ada orang datang kepada tuan guru Sari dan memberitahu bahawa bekas Setiusaha Kerajaan itu sedang terbaring di atas tanah perkuburan dan meminta tuan guru Sari agar datang ke sana. Setibanya di sana, Sari mendapati pemuda itu sedang nazak di atas tanah.
“Tuan guru datang agak lambat,” kata pemuda itu kepada Sari. Selepas menyebut Kalimah Tauhid, pemuda itupun meninggal dunia.

    Sari As-Saqati segera pulang untuk memberitahu orang ramai dan mengambil alat-alat pengkebumian, tapi sampainya di tengah jalan dia telah berjumpa dengan orang ramai lengkap membawa alat-alat untuk penyelenggaraan jenazah. Mereka mendakwa telah mendengar suara bahawa Setiusaha Kerajaan telah meninggal dunia sebagai hamba yang dicintai Allah.


Semoga kita mendapat pengajaran yang berguna dari kisah ini…wallahua’lam.

~mujahid91~

Read more...

Thursday, 8 September 2011

Keluarga tuntut bersihkan nama Mat Indera.

 
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kerajaan diminta membersihkan imej Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara kerana beliau ternyata seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sehubungan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula memandangkan sejarah yang ada kini terdapat terlalu banyak penyelewengan dari fakta yang sebenar.

Adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera, 65, berkata, fakta sejarah perjuangan sebenar mengenai abangnya sememangnya terlalu banyak yang diselewengkan dan amat perlu dikaji semula oleh ahli-ahli sejarah.

[Gambar: Baharom Shah (tengah) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor bersama Suhaizan dan Khairul Faizi pada sidang media di Pejabat Agung PAS.]

Menurut beliau, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Katanya, namun abangnya telah dituduh sebagai pengkhianat oleh pihak British ketika menjajah negara kita dulu dan ia perlu dikaji semula bagi membersihkan imej dan nama baik ahli keluarganya.

"Dalam hal ini, para pemimpin Umno perlu bersikap jujur terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar. Ahli-ahli sejarah juga perlu mengkaji semula fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan itu dan jangan hanya sekadar bercakap sahaja.

"Bagaimana abang saya boleh dituduh pengkhianat, sedangkan beliaulah yang telah menyelamat salah seorang anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar, anak kepada anggota polis marin di Bukit Kepong," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, terdapat ramai lagi mangsa yang telah diselamatkan oleh abangnya dalam tragedi di Bukit Kepong.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, Mat Indera datang lewat ke Bukit Kepong semasa kejadian pada 23 Februari 1950. Beliau datang bukan untuk bertempur sebaliknya datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat," katanya yang berasal dari Bakri, Muar, Johor.

Mat Indera, jelas beliau, mendapat ancaman tangkapan daripada penjajah sebelum dari peristiwa Bukit Kepong sehingga ditawarkan sejumlah $25 ribu dan selepas peristiwa Bukit Kepong tawaran telah ditingkatkan sebanyak $75 ribu.

Katanya, akhirnya Mat Indera telah ditangkap cara tipu helah di Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat pada tahun 1952 dan beliau ada menziarahi abangnya di lokap Batu Pahat bersama ibu dan neneknya.

"Sebelum kejadian Bukit Kepong, abang saya, Johan Shah dan ayah telah dibuang daerah ke Singapura. Ibu, ayah dan nenek telah diseksa oleh polis British. Abang saya telah dihukum gantung sampai mati oleh Kerajaan British di Taiping, Perak," jelasnya.

Mat Indera mempunyai 12 orang adik beradik dari satu bapa dan dua ibu. Adik beradiknya dari ibu pertama seramai 8 orang, manakala dari ibu kedua seramai 4 orang. Mat Indera adalah anak kedua dari ibu pertama dan Johan adalah anak bongsu kepada ibu yang sama dengannya, manakala Baharom adalah anak pertama kepada isteri kedua ayahnya.

Katanya, kini negara kita telah sekian lama terlepas dari cengkaman penjajahan British tetapi beliau amat kesal Kerajaan BN masih juga belum mengambil sebarang usaha untuk membersihkan imej abangnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan langkah yang diambil oleh pihak PAS untuk membersihkan imej abangnya itu dan juga imej pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang lain yang dituduh pengkhianat oleh pihak British, dalam usaha untuk mengkaji semula sejarah kemerdekaan tanah air.

"Usaha murni ini amat perlu dilakukan sama oleh Umno dan Kerajaan tanpa mengira ideologi politik kerana ia adalah untuk kepentingan tanah air yang kita cintai," ujar beliau.

Aziz Muda
~harakahdaily.net~ 

Read more...

Monday, 29 August 2011

Di ambang Syawal..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang.

Subhanallah..pantasnya masa berlalu. Ramadhan kian hampir kepada penghujungnya..bulan yang dipenuhi ganjaran pahala hampir saja berlalu. Bulan pengampunan dan kerahmatan sudah hampir berakhir...Bagaimana kita?? Sudah berjayakah kita mendapat taqwa dan pengampunan dari Allah SWT?? Tepuk dada, tanya iman..


Dari Abu Hurairah r.a katanya bahawa sewaktu Nabi SAW menaiki mimbar Baginda bersadba yang bermaksud: "Amin,amin,amin."
Lalu Baginda SAW ditanya,"Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan sedemikian?". Baginda menjawab: "Jibril a.s telah berkata kepadaku; 'Alangkah ruginya sesiapa yang memasuki bulan Ramadan tetapi dosanya tidak diampun.' Dan aku berkata: 'Amin'."
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)


Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi..ameen.


~Meraikan 'Idulfitri~


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"...dan cukupkanlah bilangan puasa kamu, dan bertakbirlah membesarkan Allah diatas pentunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, moga-moga kamu bersyukur."
(Al-Baqarah:185)


Ketika ini sudah pasti ramai yang sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk menyambut hari raya aidilfitri..ada yang sibuk membakar lemang, membuat ketupat dan rendang, menghias rumah dan sebagainya.
Manakala, ada sebahagian daripada kita juga sedang bersungguh-sungguh melakukan ibadah terakhir sebelum Ramadan melabuhkan tirainya beberapa ketika lagi..Bagi yang sedang membuat persiapan raya, janganlah lupa daripada mengingati dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda syukur kita setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. 


Dari Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang berpuasa:
"Barangsiapa yang mengerjakan ibadah pada malam hari raya ('Idulfitri dan 'Iduladha), dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, nescaya hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana mati hati (orang Kafir dan ingkar) pada hari itu."
(Riwayat Ibnu Majah)


Mari kita sama-sama menghidupkan malam hari raya dengan ibadah-ibadah sunat serta bertakbir membesarkan Allah SWT. Mudah-mudahan puasa kita diberkati dan diterima-Nya. Tangisilah pemergian Ramadhan kali ini dan berdoalah agar kita diberi kesempatan untuk bertemu Ramadhan dengan yang akan datang...Wallahu'alam.


.:Tinta Mujahid91:.
Read more...

Saturday, 20 August 2011

Searching for Lailatulqadr..


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Pengampun dan Penyayang...

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?;Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.; Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
(AL-QADR:1-5)


Aisyah r.ha berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal Ibadah, menghidupkan malam(dengan amal ibadah) dan mengejutkan ahli keluarga."  (Riwayat Bukhari)

 'Aisyah berkata lagi:
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِأَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَاقَالَ قولي
Mafhumnya: "Saya pernah bertanya: Wahai Rasulullah, sekiranya saya berada pada malam al-Qadar, apakah yang patut saya ucapkan." Nabi SAW bersabda: Ucapkan:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Mafhumnya: "Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah tuhan yang Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Engkau suka memberi kemaafan, oleh itu berikanlah kemaafan kepadaku." 
(Hadis Hasan Sahih at-Tarmizi)


Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami, Ma'mar memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Az-Zuhri dari Sa'id bin Al-Musayyab dari Abu Hurairah dan 'Urwah dari 'Aisyah r.ha."Bahawasanya Nabi s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadan sampai Allah mengambil nyawanya." (Hadis Sunan At-Tarmizi Jilid 2. Hadis Nombor 0787.)


Ayuh kita tingkatkan amal ibadah kita sepanjang 10 hari terakhir Ramadhan ini...dan jangan lupa untuk mengajak ahli keluarga kita sama-sama berqiamullail. Mudah-mudahan kita bertemu dengan Lailatul Qadar (malam kemuliaan) yang dijanjikan Allah SWT..Ameen.  

~Mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!