Wednesday 1 August 2012

Didik Diri Dengan Sifat Ihsan..

Bismillah...

Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka  diampunkan segala dosanya yang terdahulu”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Syukur Alhamdulillah kerana telah seminggu Ramadhan bersama kita, mudah-mudahan kita sedang bersemangat melakukan ibadah kepada-Nya. Setelah sekian lama tidak mengemaskini laman ini, Insya-Allah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai sifat Ihsan.

‘Ihsan’ bermaksud kebaikan, ketepatan atau kesempurnaan atau lebih tepat lagi ialah memperelokkan amalan. Sebagaimana dalam satu hadis panjang yang agak popular bagi sesetengah dari kita iaitu sebuah hadis yang digelar “hadis Jibril” (Hadis ke-2 daripada Hadis 40 Imam Nawawi).

Dari Umar r.a. berkata yang bermaksud,
“...Lelaki itu (malaikat Jibril) berkata lagi; ‘Khabarkan kepadaku tentang Ihsan.’ Nabi SAW bersabda; ‘Engkau beribadah kepada Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.’... ”
(Hadis riwayat Muslim,Abu Daud,Tirmizi dan An-Nasai’)

Rumusan yang boleh dibuat berdasarkan penjelasan Nabi SAW tersebut, kita dituntut supaya senantiasa meletakkan diri dalam pengawasan Allah SWT setiap kali kita beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, setiap aktiviti atau pekerjaan yang dilakukan merupakan ibadah (sama ada ibadah umum atau khusus). Ini kerana mereka percaya dan yakin bahawa setiap manusia dijadikan oleh Allah tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ad-Dzariyat; ayat 56 yang bermaksud,
“Dan tidak Kami ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Seharusnya setiap pekerjaan yang kita lakukan seperti makan, minum, tidur dan bekerja menjadi ibadah kepada Allah. Justeru, sifat ihsan sangat penting kepada diri kita agar setiap pekerjaan yang dilakukan itu mendapat keredhaan daripada Allah seterusnya diberi ganjaran pahala oleh-Nya.

Selain pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi rosak, tanpa sifat ihsan juga secara tidak sedar mungkin akan membawa kita kepada “menyekutukan-Nya”. Sebagai contoh, ibadah solat yang kita lakukan tanpa rasa ‘Ihsan’ bukan sahaja membuatkan kita lalai dan tidak khusyuk bahkan boleh mengubah niat asal ibadah tersebut iaitu daripada niat “kerana Allah” kepada niat hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. 
Nau’zubillah...

Begitu juga dengan pekerjaan yang kita lakukan seharian. Boleh jadi kita lakukan kerja tersebut semata-mata untuk mengambil hati majikan kita, sedangkan “majikan” yang sebenar kita ialah Allah SWT. Selain itu, sifat ‘Ihsan’ juga boleh melindungi kita daripada dosa. Kadangkala sesetengah pekerjaan yang kita lakukan boleh membawa kita kepada amalan rasuah, makan “gaji buta”, menipu dalam timbangan (perniagaan) dan sebagainya. Namun dengan adanya sifat ‘Ihsan’, kita dapat menghindarkan diri daripada dosa-dosa tersebut. Insya-Allah...Wallahua’lam.



Firman Allah SWT,

“Katakanlah; Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”             


~Tinta Mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!