Saturday 26 March 2011

Halal ke Haram? [1]

Bismillahirrahmanirrahim.

Isu halal dan haram semakin banyak diperkatakan hari ini. Namun, ada juga yang tidak mengambil tahu akan isu ini. Semakin hari semakin banyak produk makanan, minuman, ubat-ubatan, kosmetik dan pakaian yang terjual di pasaran. Tapi, tidak semua produk yang dijual mendapat kelulusan halal dan ada juga produk yang tidak dapat dipastikan kehalalannya. Adakah kita peduli akan perkara ini?






Jadi, apa yang anda fikirkan bila melihat keratan akhbar diatas? Mungkin salah satu persoalan yang bermain difikiran kita ialah kenapa banyak produk-produk yang sumbernya daripada babi? Cuba kita lihat rajah dibawah...


Sekarang anda faham apa maksudnya bukan? Memang makhluk yang diciptakan Allah yang bernama babi ini sememangnya dijadikan oleh Allah sebagai ujian ke atas orang-orang yang beriman untuk melihat sama ada kita mematuhi larangan-Nya atau tidak. Firman Allah SWT  dalam Surah Al-baqarah ayat 173:

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Begitu juga dengan soal ayam yang diragui sama ada ia disembelih atau tidak. Sebenarnya permintaan ayam terlalu banyak setiap hari. Secara puratanya lebih kurang 1.4 juta ayam sehari disembelih di seluruh negara. Jadi, bagaimana pihak berkuasa seperti JAKIM boleh memantau proses penyembelihan ayam itu secara menyeluruh? Wallahua’lam, fikirlah sendiri. Cuma ambillah sikap berhati-hati dan kalau mahu mengelak dari perkara yang syubhah maka kurangkanlah makan ayam (lebih-lebih lagi peminat KFC)...

Sabda Rasulullah SAW, 
"Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan(syubhah), yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

~Tinta Mujahid91~

Read more...

Monday 21 March 2011

Betulkan amalan kita..

Cuba kita muhasabah atau nilai kembali amalan-amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita lakukan adalah terbalik atau bertentangan dari apa dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Cuba kita perhatikan amalan-amalan berikut:- 

1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain?

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Rezeki Allah diminta tapi malas nak ke rumah-Nya, tidakkah kita berasa malu?

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias dan make-up. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah "stress" suami melihatnya. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukuplah dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita perbaiki amalan kita agar menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah SWT yang mencipta kita maka biarlah Dia yang menentukan peraturan hidup kita.

~Editor: Mujahid91~

Read more...

Wednesday 9 March 2011

Salahuddin Al-Ayubi - Panglima Perang yg dikagumi..

SALAHUDDIN al-Ayubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di antara Mosul dan Baghdad.
Ayahnya, seorang gabenor bernama Najmuddin Ayub bin Shadhi adalah anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, berketurunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan. Selain sebagai panglima perang, beliau juga seorang pendakwah dan tokoh pemimpin Islam yang bukan daripada kalangan bangsa Arab.
Ketika hayatnya, beliau lebih banyak berada di khemah perang berbanding tinggal di istana bersama keluarga. Siapa yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila hendak memulakan jihad melawan tentera salib, beliau akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tentera.

Di medan perang, beliau bagaikan seorang ibu garang kehilangan anak tunggal. Beliau bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Beliau juga sanggup pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan berlinangan air mata mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika berusia 17 tahun, Salahuddin al-Ayubi mula berkhidmat dengan Nur al-Din di Damsyik. Beliau adalah panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang sangat berbakat dan sangat popular ketika zaman perang salib. Beliau membabitkan diri dalam peperangan salib di kawasan Mesir, Palestin dan Syria.
Beliau mula terkenal pada 559 Hijrah (1164 Masihi) apabila menyertai ekspedisi bersama-sama Shirkuh yang dihantar oleh Nur al-Din bagi menentang tentera Salib di Mesir. Beliau berjaya mengusir Amaury dari Mesir pada 1 Rabiulakhir 564 Hijrah (Januari 1969 Masihi). Selepas Shirkuh meninggal dunia, tempatnya diganti oleh Salahuddin al-Ayubi. Pada masa sama, Nur al-Din melantik beliau sebagai panglima angkatan tentera Syria.

Bagi memperkukuhkan tentera Islam, Salahuddin meminta negara Islam diurus di bawah satu pemerintahan. Walaupun cadangannya tidak dipersetujui sesetengah pihak termasuk pemimpin Syria, cita-cita Salahuddin itu akhirnya termakbul. Dalam bulan Zulkaedah 570 Hijrah (Mei 1175 Masihi), khalifah Abbasiyyah mengisytiharkan Salahuddin al-Ayubi sebagai Sultan Mesir dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan al-Islam wa al-Muslimin. Pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah. Pada tahun 583 Hijrah (1187 Masihi) berlaku Perang Salib kedua, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin. Peperangan ini dipimpin sendiri oleh Salahuddin al-Ayubi hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.

Pada tahun 588 Hijrah (1192 Masihi) berlaku pula Perang Salib ketiga, hasil dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian. Mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam. Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, namun mereka tidak mampu menggugat kekuatan tentera Salahuddin al-Ayubi. Pihak Kristian mengalami kekalahan teruk dengan ramai tentera mereka yang terbunuh dan ditawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun, akhirnya dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian. Ahli sejarah Kristian juga mengakui mengenai hal itu. Lane-Poole (penulis Barat) berkata, kebaikan hati Salahuddin mencegahnya daripada membalas dendam. Beliau menulis bahawa Salahuddin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan sehingga tidak ada kedengaran orang Kristian dianiaya.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan mengenai tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitulmaqdis kali pertama pada 1099. Tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem, jalan itu dipenuhi mayat, orang Islam yang tidak bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah ibadat. Darah-darah mengalir membasahi bumi kerana pembunuhan orang Islam secara beramai-ramai itu. Ia juga mencemarkan kesucian gereja yang sebelumnya mengajar sifat berkasih sayang. Bagaimanapun, Orang Kristian sangat bertuah apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Salahuddin Al-Ayubi telah meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) pada usia 55 tahun di Damsyik, Syria slepas memerintah selama 25 tahun. Beliau sakit selama 14 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan 1 dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung oleh keluarga beliau, manakala kain kafannya diberikan oleh menteri.

~editor:mujahid91~

Read more...

Saturday 5 March 2011

Si Buta Mencari Cinta

Dalam perjalanan pertama,
Aku keluar dari desaku yang terperuk di pinggiran kota 
Di atas bas kecil sempit, aku bertemu dengan
seorang anak muda
Yang sungguh kacak bergaya
Tapi sayang, matanya buta.
Aku lantas duduk disebelahnya lalu bertanya,
"Adik mahu ke mana?"
Sepi, aku ulang bertanya lagi
"Adik mahu ke mana dengan matamu
keduanya buta?"
Dan masih..Dia tidak menjawab
melainkan hanya senyuman yang terukir dibibirnya.
Setelah beberapa ketika kami berjeda tanpa suara
Angin diluar bagai sengaja menyelak tirai gemawan
Dan aku terus tersilau, lantas marah pada terik mentari
yang tiba-tiba hadir
Tanpa diduga
"Ah, mengapa Tuhan mencipta mentari sebegini terik!?"
"Sebagai tanda cinta, bang.."
"Cinta apa yang menyilau mata?"
"Cinta yang meminta kita memejamkan mata buat
seketika, lantas berfikir tentang kekuasaanNya.."
Aku terkesima.
Namun ego seorang abang tetap ada..
Lalu aku berkata,
"Adik, kau tidak tahu makna rasa, apatah lagi erti cinta.
Sudahlah masih mentah, ada mata tapi
sayang, buta..."
Sungguh, dia masih tersenyum.
Mentari terus menyinar terang, lantas aku meminta..
"Adik, turunkan tirai itu."
"Abang bukannya manusia buta tak kenal rasa."
"Abang sudah lama kenal makrifat cinta"
"Adik, abang ni celik..bukannya buta!"
Dia senyum lagi, lantas bersuara..
"Abang pernah lihat bintang dan bulan purnama?"
"Pernahkah abang menjadi saksi akan kelamnya
ketika gerhana?"
"Apa yang abang tahu tantang nebula? Kepulan gas
kecil yang Allah tiupkan semilir..lalu membentuk bintang
paling terang menyinari alam!”
"Indahnya bang!!"
Aku hanya bisa menggeleng, mengeluh kesal.
"Kalau kau bukan orang buta, kau akan rasa bosan
dengan segalanya!"
Akan kau campakkan hatimu di pojok lesu
Akan kau humbankan dirimu di banir pohon layu
Akan kau benci melihat mentari
Purnama pun nanti tiada erti.
"Tipu, berdosa bang.."
Itu saja balasnya.
"Maka apa alasanmu orang buta? Mudah-mudah saja
kau gelar aku yang celik ni sebagai pendusta?"
"Melihat mentari bukan pada mata biasa
Tapi pada mata jiwa"
"Mengenal purnama itu bagai kita cuba mengenal
secebis kuasa Allah yang Maha Besar"
"Siapa kita bang? Melainkan manusia lemah
yang sering alpa?"
"Mentari terik yang abang marahkan itu yang
bakal merejam kita..."
"Abang perlu mencari titipan cinta pada
bintang penyeri malam..."
"Jangan sesekali angkuh pada Pencipta bang.
Nanti diri rosak binasa..”
Tiba-tiba dia bangun.
"Saya turun di sini ya.."
Aku diam bagai terkunci bicara.
"Dik, kau mahu ke mana?"
Dan ini jawapan anak muda yang buta kedua
Matanya itu,
"dicelah-celah bintang, silau mentari dan
indah bulan purnama. Jua pada kelam gerhana
yang mampir tiba-tiba. Saya, hamba Allah yang
kerdil buta ini mahu mencari sesuatu..bernama CINTA" 
~Editor:Mujahid91~

Read more...

Tuesday 1 March 2011

Kisah Luqman al-hakim dengan telatah manusia..


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."


Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."


Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!