Saturday 28 May 2011

Menjauhi Fitnah Dajjal..

Sebelum ini kita telah mengetahui serba sedikit perihal Al-Masih Ad-Dajjal Laknatullah yakni berkenaan dengan ciri-ciri Dajjal, tempat tinggal dan waktu kemunculannya. Jadi kali ini, saya akan berkongsi pula mengenai cara-cara untu menyelamatkan diri dari fitnah Dajjal yang sangat berat itu. Sebelum kita pergi lebih jauh, saya akan menyebutkan beberapa tanda kemunculan Dajjal.

Ada beberapa tanda dan peristiwa yang akan mendahului kemunculan makhluk yang dilaknat ini, antaranya ialah:

1.Berlakunya peperangan Armageddon (boleh rujuk post bertajuk Perang Akhir Zaman),yang mana selepas peperangan tersebut berlakunya kekeringan Sungai Euprates dan tasik Tiberia di Syam; begitu juga halnya dengan kebun kurma di negeri Baisan (di sempadan  Palestin dan Jordan). Oleh itu, apabila telah tercetus perang Dunia ke-3 (Armageddon), maka tunggulah kemunculan Dajjal yang semakin dekat.

2.Datangnya tahun-tahun kekeringan (tiada mata air), kemarau (tiada hujan), kelaparan, bencana-bencana, mahalnya harga barang-barang dan....berkurangnya agama manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“...dan sesungguhnya sebelum keluarnya Dajjal adalah adanya tempoh waktu tiga tahun yang sangat sulit, dimana pada waktu itu manusia akan ditimpa kelaparan yang sangat, Allah SWT akan memerintahkan kepada langit pada tahun pertama supaya menahan sepertiga dari hujannya, dan memerintahkan kepada bumi supaya menahan sepertiga dari tanamannya. Kemudian Allah memerintahkan langit pada tahun kedua supaya menahan dua pertiga dari hujannya dan memerintahkan kepada bumi supaya menahan dua pertiga dari tumbuh-tumbuhannya. Kemudian pada tahun ketiga Allah memerintahkan kepada langit supaya menahan semua air hujannya lalu tidak menitiskan setitik air pun, dan Allah memerintahkan kepada bumi supayamenahan semua tanamannya, maka setelah itu tidak akan tumbuh satu tanaman hijaupun dan semua binatang berkuku mati, kecuali yang tidak dikehendaki oleh Allah SWT.” Kemudian para sahabat bertanya: “Dengan apakah manusia akan hidup pada masa itu?”, Baginda SAW menjawab: “Tahlil, takbir dan tahmid akan sama ertinya bagi mereka dengan makanan.”
(Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Hakim daripada Abu Umamah r.a.)

3. Justeru dapat diketahui bahawa Dajjal akan keluar setelah munculnya Imam Al-Mahdi dan setelah Al-Mahdi menghadapi beberapa peperangan di semenanjung Arab, Parsi, Rome dan Kostantin yang akan memakan masa beberapa bulan. Ini adalah kronologi tanda besar kiamat menurut pendapat Yusuf bin Abdullah Al-Wabil (1989) dalam bukunya yang berjudul “Asyratus Sa’ah”(Tanda-Tanda Kiamat).
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“...Maka ketika mereka (Al-Mahdi dan pengikutnya) telah sampai di Syam (atau Syria-untuk berperang dengan kaum Rome dalam Malhamah Al-Kubra), keluarlah Dajjal...”
(Hadis Sahih Riwayat Muslim dan Al-Hakim)

Cara mengelak fitnah Dajjal Laknatullah.

Walaupun fitnah Dajjal begitu besar dan berat bagi kita, namun ianya hanya kecil di sisi Alllah SWT dimana Dajjal tiada kuasa terhadap kaum Muslimin. Oleh kerana itu, ketika Al-Mughirah Ibnu Syu’bah berkata: 
“ Tidak seorang pun bertanya lebih banyak selain aku.” Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Apakah yang membuatkan kamu gelisah tentangnya? Sesungguhnya ia tidak akan membahayakan kamu.” Al-Mughirah berkata: “Wahai Rasulullah, mereka mengatakan bahawasanya Dajjal mempunyai (membawa) makanan dan minuman.” Baginda SAW bersabda: “Hal ini hanyalah kecil bagi Allah SWT.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim dalam Kitabul Fitan)

Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kepada kita bagaimana cara untuk menyelamatkan diri dari fitnah Dajjal. Antaranya adalah:

1.Menghafal surah Al-Kahfi atau sepuluh ayat yang di awalnya atau sepuluh ayat di akhirnya. Bahkan orang yang menghafal tiga ayat sahaja di awal surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal. Dalam sebuah hadis daripada Abu Darda’ r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“ Barangsiapa yang menghafal 10 ayat dari awal surah al-Kahfi, maka ia akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

(Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Maka barangsiapa yang ditakdirkan oleh Allah untuk melihat Dajjal hendaklah dia meludahi mukanya, “Seakan-akan ia adalah Khinzib, iaitu syaitan pengganggu solat” dan hendaklah dia membaca ayat-ayat awal atau akhir dari Surah Al-Kahfi, semoga Allah menyelamatkannya dari Dajjal.

2.Selalu menjaga doa yang di suruh Rasulullah SAW supaya membacanya pada akhir setiap kali solat (setelah membaca tahiyyat akhir) iaitu:


Maksudnya;
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari azab neraka jahannam dan dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan buruknya fitnah Al-Masihuddajjal.”

Barangsiapa yang berlindung kepada Allah, maka Allah akan melindunginya dan barangsiapa yang menjaga doa ini tantu Allah SWT juga akan menjaganya.

3.Barangsiapa yang mendengar kemunculan Dajjal hendaklah ia berlindung di Kota Madinah atau Makkah kerana kedua-dua negeri itu tidak akan dapat dimasuki oleh Dajjal.

  4.Barangsiapa yang tidak mampu melakukan tiga perkara diatas, hendaklah dia lari dari berhadapan dengan Dajjal kerana ia tidak akan membahayakannya dengan tetap berzikir dan berdoa. 


Semoga kita mendapat manfaat daripada apa yang ana kongsikan ini serta dapat menyampaikannya kepada umat Islam yang lain. Wallahua’lam..

Sumber: “Perang Armageddon dan Kedatangan Imam Mahdi a.s.”, Satu kajian perbandingan antara Al-Quran,Al- Hadis, Taurat dan Injil.
Karya Amin Muhammad Jamaluddin
Buku terbitan Pustaka Syuhada.

~Mujahid91~

Read more...

Sunday 22 May 2011

Ketibaan Dajjal Kian Hampir..

Bismillahirrahmanirrahim..

Akhir-akhir ini, semakin ramai yang bercerita tentang Dajjal,iaitu salah satu tanda-tanda besar kiamat yang mana hal ini wajib diimani oleh setiap Muslim. Di samping bercerita, ada juga yang cuba mengkaji tentang makhluk yang bernama Dajjal ini sama ada pengkaji tersebut beragama Islam mahupun bukan Islam.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitabul Fitan Wa Asyratussa'ah daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari yang bermaksud:
“Nabi SAW datang kepada kami ketika kami sedang mengkaji suatu hal.” Baginda bersabda: “Apakah yang kamu sedang bahas?” Mereka menjawab: “Kami sedang mengingat (mengkaji) tentang hari kiamat". Baginda bersabda: “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu menyaksikan sebelumnya sepuluh tanda”. Maka baginda menyebut: “asap, Dajjal, bintang bumi, matahari terbit dari tempat terbenamnya, turunnya Isa Ibnu Maryam a.s., Yakjuj dan Makjuj, tiga pembenaman bumi: di timur, barat dan Semenanjung Arab dan yang terakhir adalah api yang keluar dari Yaman yang akan membawa manusia ke Mahsyar mereka.”

KENALI DAJJAL

Nama “Dajjal” berasal dari perkataan “Dajlun”. Dalam bahasa bermaksud “penutup”, ini bersesuaian dengan sifatnya yang menutup kebenaran dengan kebatilan.
Al-Masih Ad-Dajjal bukanlah Dajjal yang pertama, akan tetapi ia adalah Dajjal yang terakhir sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya menjelang berlakunya kiamat, terdapat 30 dajjal-dajjal pendusta.”  
(Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad)

CIRI-CIRI AL-MASIH AD-DAJJAL

Dajjal adalah seorang lelaki dari kalangan anak manusia (anak cucu Adam a.s.)dari kaum Yahudi yang berupa buruk, berperangai dan berbentuk seperti syaitan. Ia dikelilingi oleh syaitan-syaitan dan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi. Adapun tentang orang tuanya, Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Orang tua Dajjal tidak pernah mendapatkan anak selama 30 tahun, kemudian lahirlah dari keduanya seorang anak lelaki yang hanya bermata satu, berperangai buruk dan sangat sedikit manfaatnya, dan ketika matanya tertidur hatinya tidaklah turut tertidur”. Kemudiannya baginda SAW menerangkan tentang kedua-dua orang tuanya dengan bersabda: “Ayahnya adalah seorang lelaki yang berpostur (gaya tubuh) yang tinggi, berdaging tidak teratur, berhidung panjang seolah-olah hidungnya adalah paruh burung. Ibunya adalah seorang wanita besar, bertangan panjang dan berpayudara besar”
(Hadis Hasan Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

Adapun tentang gambaran tubuh Dajjal, Rasulullah SAW telah menerangkan hal tersebut secara lengkap dan jelas yang tidak perlu diragui lagi untuk mengenalinya. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan tentang ciri-ciri Dajjal antaranya:

1) Dari Ibnu Umar r.a. (dalam kitabul Fitan, Bab Zikruddajjal) bahawa Rasulullah SAW bersabda:
  “... maka ternyata ia adalah seorang lelaki yang berbadan, merah, berambut kerinting dan bermata sebelah.” (Riwayat Imam Bukhari)

2) Dari Ubadah Ibnu Shamit bahawa Rasulullah SAW bersabda:
  “... sesungguhnya Al-Masih Ad-Dajjal seorang lelaki yang pendek,hujung tapak kakinya berdekatan sedangkan tumitnya berjauhan, berambut kerinting, bermata sebelah dengan mata yang terhapus.”
(Riwayat Imam Abu Daud Dan Imam Ahmad)

3) Dari Hisyam bin Amir bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
  “Sesungguhnya kepala Dajjal dari belakangnya tebal berkelok-kelok”
(Hadis Shahih Riwayat Imam Ahmad)

4) Sabda Rasulullah SAW:
  “…bermata celek sebelah kanan seolah-olah ia adalah biji anggur yang terapung”
(Riwayat Bukhari dari Ibnu Umar)

5) Dari Anas r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
  “…bukankah sesungguhnya dia bermata sebelah, tertulis diantara dua mata Dajjal itu “kafir” yang dapat dibaca oleh setiap mukmin”
(Muttafaqun ‘Alaih)

DIMANA TEMPAT TINGGAL DAJJAL?

Dari Abu Bakar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda (yang bermaksud):
“Dajjal akan keluar dari sebuah negeri di Timur yang bernama Khurasan* ”
(RiwayatTirmizi dan Hakim. Disahihkan oleh Albani dalam Al-Misykat:no.5487)

Dalam Hadis lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi Isfahan yang memakai toga”
(Riwayat Muslim dan Ahmad dari Anas r.a.)

*Daerah Khurasan terletak di antara Russia dan Iran sekarang.

WAKTU KELUARNYA DAJJAL

Menurut hadis Rasullulah SAW, Dajjal akan keluar setelah Kota Kostantinopel (Istanbul) ditakluk oleh kaum Muslimin (kali ke-2 setelah Sultan Muhammad Al-Fateh membukanya pada tahun1453M)
Dari Mu’az bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

“Setelah pembangunan Baitul Maqdis adalah kehancuran Yathrib (Madinah), setelah kehancuran Yathrib adalah terjadinya pertempuran besar, setelah terjadinya pertempuran besar adalah penaklukan Konstantin, dan setelah penaklukan Konstantin adalah keluarnya Dajjal”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud) 

Akan bersambung Insya-Allah…Wallahua’lam.

Sumber: “Perang Armageddon dan Kedatangan Imam Mahdi a.s.”
Karya Amin Muhammad Jamaluddin
Buku terbitan Pustaka Syuhada.

~Editor:Mujahid91~

Read more...

Tuesday 17 May 2011

Intifada Ke-3 Palestin

Imej 


Tanggal 15 Mei 2011, Intifadah Ke-3 terhadap pendudukan Israel di Palestin telah dilancarkan bertujuan untuk melibatkan seluruh dunia Arab sempena memperingati 63 tahun Nakbah Palestin. Dalam pada itu, lebih dari 200 orang cedera dan lebih dari 36 penduduk Palestin ditangkap pada hari memperingati Nakbah Palestin itu di semua bandar di Tebing Barat.

Salah al-Khawaja, Jawatankuasa Perlindungan Rakyat Palestin berkata, tentera Zionis Israel telah diletakkan di beberapa pos penting di Qalandia terutama jalan-jalan masuk yang menyambung dari Quds ke Ramallah dalam cubaan menghalang ratusan pemuda yang cuba masuk ke Masjid Aqsa yang menyebabkan pertembungan.

Mereka yang cedera termasuklah kanak-kanak dan wanita setelah terkena gas pemedih mata dan peluru getah rejim Israel, termasuklah te
ntera yang menyamar sebagai rakyat awam sebelum menangkap enam pemuda Palestin dalam pertembungan tersebut.



Bersama bangkit menentang Israel demi Palestin!


amanpalestin.net
~mujahid91~
Read more...

Orang yang kejam...

Sufyan Atsauri berkata: "Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin. 

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. 

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur. 
5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah. 
6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya. 
7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu. 
8. Seorang diundang pada jamuan atau kenduri tiba-tiba tidak datang. 
9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan. 
10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa jiran tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu."


~mujahid91~
Read more...

Friday 6 May 2011

Imam Al-Bukhari:Periwayat Hadith Teragung..

RIWAYAT HIDUP

Nama lengkapnya adalah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhari Al Ju’fi. Akan tetapi beliau lebih terkenal dengan sebutan Imam Bukhari, karena beliau lahir di kota Bukhara, Turkistan.
Sewaktu kecil Al Imam Al Bukhari buta kedua matanya. Pada suatu malam ibu beliau bermimpi melihat Nabi Ibrahim ‘Alaihissalaam yang mengatakan, “Hai Fulanah (yang beliau maksud adalah ibu Al Imam Al Bukhari), sesungguhnya Allah telah mengembalikan penglihatan kedua mata putramu karena seringnya engkau berdoa”. Ternyata pada pagi harinya sang ibu menyaksikan bahwa Allah telah mengembalikan penglihatan kedua mata putranya.
Ketika berusia sepuluh tahun, Al Imam Al Bukhari mulai menuntut ilmu, beliau melakukan pengembaraan ke Balkh, Naisabur, Rayy, Baghdad, Bashrah, Kufah, Makkah, Mesir, dan Syam. Guru-guru beliau banyak sekali jumlahnya. Di antara mereka yang sangat terkenal adalah Abu ‘Ashim An-Nabiil, Al Anshari, Makki bin Ibrahim, Ubaidaillah bin Musa, Abu Al Mughirah, ‘Abdan bin ‘Utsman, ‘Ali bin Al Hasan bin Syaqiq, Al Imam Ahmad bin Hanbal, dan sederet imam dan ulama ahlul hadith lainnya.
Murid-murid beliau tak terhitung jumlahnya. Di antara mereka yang paling terkenal adalah Al Imam Muslim bin Al Hajjaj An Naisaburi, penyusun kitab Shahih Muslim. Imam Bukhari adalah ahli hadith yang termasyhur di antara para ahli hadith sejak dulu hingga kini bersama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai, dan Ibnu Majah. Bahkan dalam kitab-kitab feqah dan hadith, hadith-hadith beliau memiliki martabat yang tinggi. Sebahagian memanggilnya dengan gelaran Amirul Mukminin fil Hadith (Pemimpin kaum mukmin dalam hal Ilmu Hadith). Dalam bidang ini, hampir semua ulama di dunia merujuk kepadanya.

KEPINTARAN DAN KECERDASAN IMAM BUKHARI

Imam Bukhari sangat terkenal kecerdasannya dan kekuatan hafalannya. Beliau pernah berkata, “Saya hafal seratus ribu hadith shahih, dan saya juga hafal dua ratus ribu hadith yang tidak shahih”. Pada kesempatan yang lain belau berkata, “Setiap hadith yang saya hafal, pasti dapat saya sebutkan sanad (rangkaian perawi-perawi)-nya”. Mengikut riwayat lain, beliau telah hafaz 600,000 buah hadis beserta sanadnya.
Bukhari diakui memiliki daya hapal tinggi, yang diakui oleh abangnya Rasyid bin Ismail. Abangnya ini menceritakan bahawa Imam Bukhari ketika mudanya pernah mengikuti kuliah dan ceramah cendekiawan Balkh bersama beberapa orang sahabatnya. Tidak seperti murid lainnya, beliau tidak pernah membuat catatan kuliah. Beliau sering dicela membuang masa karena tidak mencatat, namun Imam Bukhari diam tak menjawab. Suatu hari, karena merasa kesal terhadap celaan itu, beliau meminta kawan-kawannya membawa catatan mereka, kemudian beliau membacakan secara tepat apa yang pernah disampaikan selama dalam kuliah dan ceramah tersebut. Maka tercenganglah mereka semua kerana ternyata Imam Bukhari menghafal 15,000 hadith (lengkap dengan keterangan) yang tidak sempat mereka catat.
Ketika sedang berada di Baghdad, Imam Bukhari pernah didatangi oleh 10 orang ahli hadith yang ingin menguji ketinggian ilmu beliau. Dalam pertemuan itu, 10 ulama tersebut mengajukan 100 buah hadits yang sengaja "diputar-balikkan" untuk menguji hafalan Imam Bukhari. Ternyata hasilnya mengagumkan. Imam Bukhari mengulang kembali secara tepat kesemua hadith yang salah tersebut secara berturutan, sesuai dengan urutan penanya dan urutan hadith yang ditanyakan, kemudian membetulkan kesalahannya. Inilah yang sifat luar biasa Imam Bukhari, karena beliau mampu menghafal hanya dengan sekali dengar.
Selain terkenal sebagai seorang ahli hadith, Imam Bukhari ternyata tidak melupakan kegiatan lain, iaitu olahraga. Misalnya beliau belajar memanah sampai mahir, sehingga dikatakan sepanjang hidupnya, Imam Bukhari tidak pernah tersasar  dalam memanah kecuali hanya dua kali.

KARYA-KARYA IMAM BUKHARI

Karyanya yang pertama berjudul "Qudhaya as Shahabah wat Tabi’ien" (Peristiwa-peristiwa Hukum di zaman Sahabat dan Tabi’ien). Kitab ini ditulisnya ketika masih berusia 18 tahun. Ketika berusia 22 tahun, Imam Bukhari menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci bersama-sama dengan ibu dan abangnya yang bernama Ahmad. Di sanalah beliau menulis kitab "At-Tarikh" (sejarah) yang terkenal itu. Beliau pernah berkata, "Saya menulis buku "At-Tarikh" di atas makam Nabi Muhammad SAW di waktu malam bulan purnama".
Karya Imam Bukhari lainnya antara lain adalah kitab Al-Jami' ash Shahih, Al-Adab al Mufrad, At Tharikh as Shaghir, At Tarikh Al Awsat, At Tarikh al Kabir, At Tafsir Al Kabir, Al Musnad al Kabir, Kitab al 'Ilal, Raf'ul Yadain fis Salah, Birrul Walidain, Kitab Ad Du'afa, Asami As Sahabah dan Al Hibah. Diantara semua karyanya tersebut, yang paling popular adalah kitab Al-Jami' as-Shahih atau lebih dikenali dengan nama Shahih Bukhari. Imam Al-Bukhari mengambil masa selama 16 tahun dalam usahanya mengumpul,menapis, menyelidik dan menyusun hadis-hadis untuk dimuatkan dalam kitab tersebut. Kitab "Sahih Al-Bukhari" mempunyai 7,275 buah hadis yang telah ditapis daripada 600,000 buah hadis. Hadis-hadis tersebut disusun mengikut bab-bab yangtertentu termasuklah bab feqah. Kemudian ianya dihuraikan menjadi beberapa pecahan seperti ibadat, muamalat dan jenayah.



KETAKWAAN DAN KESHALIHAN IMAM BUKHARI

Ketakwaan dan keshalihan Imam Bukhari merupakan sisi lain yang tidak harus dilupakan. Berikut ini diketengahkan beberapa pernyataan para ulama tentang ketakwaan dan keshalihan beliau agar dapat dijadikan teladan.
Abu Bakar bin Munir berkata, “Saya mendengar Abu Abdillah Al Bukhari berkata, “Saya berharap bahwa ketika saya berjumpa Allah, saya tidak dihisab dalam keadaan menanggung dosa ghibah (menggunjing orang lain).”
Al Firabri berkata, “Saya bermimpi melihat Nabi SAW di dalam tidur saya”. Beliau Shallallaahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada saya, “Engkau hendak menuju ke mana?” Saya menjawab, “Hendak menuju ke tempat Muhammad bin Ismail Al Bukhari”. Baginda SAW berkata, “Sampaikan salamku kepadanya!”

WAFATNYA IMAM BUKHARI

Suatu ketika penduduk Samarkand mengirim surat kepada Imam Bukhari. Isinya, meminta dirinya agar menetap di negeri itu (Samarkand). Beliau pun pergi memenuhi permohonan mereka. Ketika perjalanannya sampai di Khartand, sebuah desa kecil terletak sekitar 10 km sebelum Samarkand, ia singgah terlebih dahulu untuk menziarahi beberapa ahli keluarganya. Namun disana beliau jatuh sakit selama beberapa hari. Dan akhirnya meninggal dunia pada 31 Ogos 870 M (256 H) pada malam Idul Fitri dalam usia 62 tahun. Beliau dimakamkan selepas Solat Zuhur pada Hari Raya Idul Fitri. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan agar jenazahnya dikafani tiga helai kain, tanpa baju dalam dan tidak memakai serban. Pesan itu dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat. Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan seorang anak pun. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati beliau

~editor:mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!