Sunday 31 July 2011

Ramadhan Bersua Kembali..

Bismillah..Alhamdulillah.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan  ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”
Al-Baqarah:183

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan..hadiranmu dinanti, pergimu ditangisi. Alhamdulillah..kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaannya kerana dipertemukan dengan Ramadhan kali ini. Sesungguhnya, kedatanganmu Ramadhan, membawa rahmah dan barakah buat orang-orang yang beriman kepada Allah SWT...

Kelebihan dan Keistimewaan Ramadhan:

1. Bulan agung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis amal ibadah  (puasa,tarawih,sadaqah, i’tikaf,doa, tadarus dan sebagainya).

2.Bulan keampunan,rahmat,keberkatan dan bulan yang dijanjikan pelepasan dari api neraka.


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلمم

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu". (1)Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181).
(Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­(Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079)


3.Bulan penyucian dan pembersihan jiwa melalui zikir munajat,qiamullail,doa dan sebagainya disamping boleh miningkatkan sifat sabar,tabah,belas kasihan dan sebagainya.

4.Bulan yang didalamnya terdapat Lailatul Qadar yang malamnya lebih baik dari 1000 bulan.

Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Surah al-Qadr: 1-5.

5.Bulan turunnya pemulaan kitab suci Al-Quran. 

Firman ALLAH S.W.T:
"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.

6.Bulan yang pintu syurga dibuka dan ditutup pintu neraka serta syaitan-syaitan di belenggu.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899)

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." (Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618)

7. Bulan ganjaran pahala ibadah dilipatgandakan yakni amalan sunat dikira amalan fardhu, manakala amalan fardhu digandakan sehingga 700X ganda.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Setiap amalan anak Adam akan digandakan di mana satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Allah berkata; ‘Puasa itu untukKu, maka Aku sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu’. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Ayuh saudara-saudaraku, rebutlah peluang untuk melaksanakan sebanyak-banyaknya ibadah sepanjang Ramadhan kali ini disamping meraih ganjaran-ganjaran yang hebat daripada-Nya. Wallahua'lam..

~Tinta Mujahid91~ 

Read more...

Sunday 24 July 2011

Countdown To Ramadhan..

Bismillah...Alhamdulillah. 

Insya-Allah dalam seminggu lagi, kita bakal menyambut ketibaan bulan yang mulia Ramadhan Al-Mubarak. Ramai yang mula berfikir tentang persiapan menyambutnya. Ada yang berfikir tentang juadah berbuka, ada yang berfikir tentang aktiviti yang bakal dilakukan di bulan Ramadhan nanti, ada yang mula meningkatkan amal ibadah, bahkan sudah ada yang mula membuat persiapan untuk menyambut “Hari Raya”...Kita pula bagaimana? Apakah kita sudah bersedia menerima kehadiran Ramadhan?

Sebagai seorang yang beriman, ada beberapa perkara yang harus kita lakukan sebagai persediaan menyambut Ramadhan antaranya:

o       Mengulangakaji semula ilmu berkaitan dengan puasa. Contohnya ialah rukun puasa, syarat puasa, adab-adab berpuasa, sunat-sunat puasa serta hikmah berpuasa supaya ibadah puasa yang kita lakukan lebih sempurna.
o       Selain itu, kita seharusnya menguatkan azam dan kesungguhan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin. Ini kerana ibadah puasa adalah ibadah yang paling istimewa disisi Allah SWT yakni ganjaran bagi orang yang berpuasa sangat besar nilainya dan ianya tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah dan Rasul-Nya .
o       Perbanyakkanlah doa kepada Allah SWT agar kita sempat bertemu dengan Ramadhan kali ini serta berdoa agar diberi kekuatan untuk melakukan ibadah puasa kali ini dengan sempurna dan penuh keikhlasan.
o       Di samping itu, berazamlah untuk menghapuskan adat kebiasaan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti membazirkan wang dengan membeli pelbagai juadah untuk berbuka, melakukan aktiviti yang sia-sia seperti tidur sepanjang hari dan sebagainya.
o       Dalam pada itu, kita seharusnya melatih diri dengan tidur awal agar mudah untuk bangun bersahur nanti, selain berpuasa sunat pada bulan Sya’aban ini dan jangan lupa bagi yang belum “menqada’kan puasa” , segeralah berbuat demikian sebelum ketibaan Ramadhan ini...

Apapun, nantilah ketibaan Ramadhan kali ini dengan penuh kegembiraan disamping berharap agar ibadah puasa dan segala amal ibadah lain yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan nanti diterima Allah SWT serta bertekadlah agar segala amal yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan nanti dapat diteruskan pada bulan-bulan yang mendatang.


~tinta Mujahid91~

Read more...

Friday 22 July 2011

Britain bebaskan Sheikh Raed Solah.

Imej 


19 Julai 2011 - Pihak berkuasa British membebaskan, Presiden Gerakan Islam di wilayah Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, semalam, Isnin, 18/070/2011, selepas penahanan beliau selama lebih 3 minggu.

Menurut seorang aktivis Palestin di UK, Ibrahim Hamami, berkata dalam satu sidang akhbar, pihak berkuasa British telah membebaskan Sheikh Salah jam 4:00 petang, waktu London, dari penjara Bedford, menuju ke kawasan yang lebih selamat.

Mahkamah Tinggi British memutuskan pada Jumaat lepas pembebasan Sheikh Solah, tetapi keputusan itu tidak terpakai kerana mahkamah dan pihak berkuasa penjara British tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.

Polis British menangkap Solah semasa lawatannya ke London untuk menyertai seminar mengenai Palestin tanpa sebarang tuduhan terhadapnya dan mengeluarkan keputusan untuk mengusir beliau tetapi di tolak dan memutuskan untuk mengambil jalan kehakiman.

Sheikh Solah dipenjara di "Bedford" utara London, selepas Jabatan Imigresen menuduhnya sebagai anti-semitik.



aman palestin
~mujahid91~
Read more...

Monday 18 July 2011

Perginya Permata Islam..

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas. Kelihatan lembut tetapi tegas. Dia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Dr LO' LO' binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo' Lo'. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.


Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain. Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. 

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo' Lo' mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo' Lo' itu sendiri bermaksud mutiara atau permata. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo' Lo' tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politicianMelayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo' Lo' tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo' Lo' merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo' Lo' pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo' Lo' pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo' Lo' tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo' Lo' adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan.

Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.



Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Demikian takdir Allah, kita mesti pasrah. Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari.

Kalau kita semua benar sayang dan mengagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarhamah. Al Fatihah.



wargamarhaen.blogspot.com
~mujahid91~
Read more...

Sunday 10 July 2011

Kisah Ahli Sufi dgn seorang lelaki..

Pada suatu hari, telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah seorang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing. Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut "kenapa kamu pukul kucing yg lemah ini?" Jawab lelaki tersebut "Aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yg tersangat lemah dan kesejukan, kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi apabila sihat, ia membuang najis di merata tempat di rumahku".


Kemudian berkatalah ahli sufi "Ini sebenarnya peringatan dan tamsilan antara kita dgn Allah. Dia telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif, lalu Allah beri kita makan , pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yg kita kecapi, kita derhaka kepadaNYA. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita derhaka kepadaNYA, Dia masih belum menyiksa atau memukul kita dengan azabNYA." Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah kelak kerana percubaan mendera kucingnya...


Moga-moga kisah ini menjadi teladan dan peringatan buat kita yang sering lupa mengucapkan syukur akan segala ni’mat yang Allah telah berikan kepada kita. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang selalu bersyukur..Ameen… 



Editor:Mujahid91



Read more...

Wednesday 6 July 2011

Hormati Titah Agung-SMM

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan menerusi Datuk Abdul Rahman Othman yang menyatakan bahawa Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang bertujuan ingin menjatuhkan kerajaan Malaysia.


Kenyataan itu jelas berbaur fitnah dan cuba mengelirukan rakyat tentang objektif sebenar Bersih 2.0. Ugutan Menteri Dalam Negeri yang ingin menggunakan ISA bagi menghalang Bersih 2.0 juga dilihat melampaui batas-batas negara demokrasi apabila perhimpunan rakyat secara aman dilabel sebagai gerakan subversif yang ingin menggulingkan kerajaan.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, mahasiswa meyakini kenyataan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan bagi menakutkan rakyat agar tidak turut serta dalam himpunan aman tersebut.
Menurut beliau, namun mahasiswa juga cukup yakin bahawa rakyat sudah maklum mengenai objektif Bersih 2.0 yang hanya mahukan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya dan tidak sedikitpun membawa motif politik.

Katanya, mahasiswa percaya sekiranya pihak kerajaan sanggup menunaikan harapan rakyat ini, himpunan 9 Julai tidak akan berlaku.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam titah Baginda tidak melabelkan Himpunan Bersih 2.0 sebagai perhimpunan haram, tetapi hanya mencadangkan agar semua pihak mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Pihak kerajaan juga perlu memandang serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta pihak kerajaan menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Titah Tuanku Mizan Zainal Abidin, menurut beliau, dilihat oleh mahasiswa sebagai titah yang penuh harapan agar tuntutan rakyat didahulukan oleh pihak kerajaan tanpa mengira sempadan politik.
Katanya, dengan perkembangan terbaru ini, Menteri KDN seharusnya memohon maaf kepada pihak Bersih 2.0 kerana telah mengeluarkan kenyataan melulu dan berbaur fitnah.

Mahasiswa juga mengecam tindakan keras pihak Polis yang menahan aktivis Bersih 2.0 biarpun pihak Bersih 2.0 telah berulang kali memberi jaminan bahawa perhimpunan 9 Julai ini akan berlansung dalam keadaan aman. Jaminan itu bagi mahasiswa adalah cukup rasional apabila Himpunan Bersih 2.0 yang pertama telah terbukti berlangsung dalam keadaan aman dan hanya menjadi kecoh apabila pihak polis memulakan provokasi dengan tembakan gas dan semburan air pemedih mata.

"Bagi mahasiswa, pihak polis sepatutnya memberi peluang untuk rakyat berhimpun secara aman dan hanya perlu bertindak sekiranya peserta himpunan melanggar syarat yang ditetapkan.
"Mahasiswa juga ingin mempersoal tindakan pihak polis yang menahan mana-mana pihak yang menjual baju Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut dilihat lebih bermotif politik," tegasnya.

Bersih 2.0 tidak langsung menggambarkan mesej negatif, bahkan sudah difahami umum bahawa Bersih 2.0 adalah gabungan gerakan rakyat yang menuntut pembaikpulihan sistem pilihanraya di Malaysia.
Tindakan pihak polis itu jelas memperlihatkan bahawa pihak polis menjadi alat dalam melindungi pihak tertentu yang sebenarnya terlalu alergi dengan perkataan Bersih 2.0.
 "Oleh itu, mahasiswa menuntut agar pihak polis menghentikan sebarang penahanan atas nama Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut lebih mengeruhkan keadaan," katanya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurutnya, seharusnya mengambil iktibar daripada kepimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Tindakan Tun Abdullah yang telah mengisytiharkan perang terhadap himpunan Bersih 2007 dalam Perhimpunan Agung Umno telah menyebabkan imej kepimpinan beliau yang dikenali sebagai Mr Clean telah tercalar. Akhirnya rakyat telah menolak kepimpinan beliau yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu. 

Beliau menegaskan, mahasiswa berpendirian untuk menyokong sepenuhnya 8 tuntutan Bersih 2.0 yang antara lain meletakkan matlamat untuk menuntut pihak kerajaan melakukan transformasi sistem pilihanraya melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Keengganan kerajaan melaksanakan tuntutan rakyat itu menyebabkan rakyat terpaksa memilih jalan raya untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih serius terhadap 8 tuntutan Bersih itu.

Selain itu, ujarnya, mahasiswa juga berpendirian untuk terus menyokong usaha rakyat dalam menuntut penambahbaikan sistem pilihanraya yang selama ini disifatkan sebagai berat sebelah.
"Oleh itu, sekiranya Bersih 2.0 meneruskan perhimpunan rakyat pada 9 julai ini, mahasiswa telah sepakat untuk menyumbang 1,000 botol air mineral, 1,000 bungkus garam dan 1,000 helai tuala tangan.
 "Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada rakyat sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 berjaya dijalankan. Sumbangan ini sebagai tanda bahawa mahasiswa sentiasa mendokong perjuangan rakyat yang mahukan suasana demokrasi yang lebih baik melalui pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebersamaan mahasiswa dalam himpunan aman 9 Julai ini bukan atas dasar sokongan kepada Datuk Ambiga ataupun mana-mana pihak lain yang terlibat.
"Bagi mahasiswa, sekiranya rakyat tidak tampil dan bersuara, Himpunan Bersih 2.0 pasti tidak akan berjaya. Oleh itu, solidariti mahasiswa bersama Bersih 2.0 adalah atas dasar menyokong penuh 8 tuntutan rakyat sekali gus ingin bersama rakyat dalam himpunan aman 9 Julai ini," ujar beliau.

Kenyataan beliau itu turut disokong oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Selain itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Youth and Democratic Students Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Aksi mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

harakahdaily.net
5 JULAI
Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!