Monday 29 November 2010

Saidatina Aisyah r.ha-Ummul Mukminin...

Aisyah r.ha dilahirkan empat tahun sesudah Nabi SAW diutus menjadi Rasul. Semasa kecil dia bermain-main dengan lincah, dan ketika dinikahi Rasulullah SAW usianya belum genap sepuluh tahun. Dalam sebahagian besar riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW membiarkannya bermain-main dengan teman-temannya. Dua tahun setelah wafatnya Khadijah r.a datang wahyu kepada Nabi SAW untuk menikahi Aisyah r.a. Setelah itu Nabi SAW berkata kepada Aisyah, " Aku melihatmu dalam tidurku tiga malam berturut-turut. Malaikat mendatangiku dengan membawa gambarmu pada selembar sutera seraya berkata,' Ini adalah isterimu.' Ketika aku membuka tabirnya, tampaklah wajahmu. Kemudian aku berkata kepadanya,' Jika ini benar dari Allah SWT , niscaya akan terlaksana."

Mendengar khabar tersebut, Abu Bakar dan isterinya sangat senang, terlebih lagi ketika Rasulullah SAW setuju menikahi puteri mereka, Aisyah. Baginda mendatangi rumah mereka dan berlangsunglah pertunangan yang penuh berkat itu. Setelah pertunangan itu, Rasulullah SAW hijrah ke Madinah bersama para sahabat, sementara isteri-isteri baginda ditinggalkan di Makkah. Setelah menetap di Madinah, baginda mengutus orang untuk menjemput mereka, termasuk Aisyah r.ha. Dengan izin Allah SWT, menikahlah Aisyah dengan mas kahwin 500 dirham.

Aisyah tinggal dikamar yang berhampiran dengan Masjidil Nabawi. Dikamar itulah banyaknya wahyu diturunkan, sehingga kamar itu disebut juga sebagai tempat turunnya wahyu. Dihati Rasulullah SAW, kedudukan Aisyah sangat istimewa, dan tidak dialami oleh isteri-isteri baginda yang lain. Didalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa, " Cinta pertama yang terjadi didalam Islam adalah cintanya Rasulullah SAW kepada Aisyah r.ha."

Didalam riwayat Tirmidzi dikisahkan bahawa ada seseorang yang menghina Aisyah dihadapan Ammar bin Yasir sehingga Ammar berkata kepadanya,"Sungguh celaka kamu. Kamu telah menyakiti isteri kecintaan Rasulullah SAW." Sekalipun perasaan cemburu isteri-isteri Rasulullah SAW terhadap Aisyah sangat besar, mereka tetap menghargai kedudukan Aisyah yang sangat terhormat. Bahkan ketika Aisyah r.ha wafat, Ummu Salamah berkata, "Demi Allah SWT, dia adalah manusia yang paling beliau cintai selain ayahnya (Abu Bakar)'.

Di antara isteri-isteri Rasulullah SAW, Saudah bin Zum`ah sangat memahami keutamaan-keutamaan Aisyah, sehingga dia merelakan seluruh malam bahagiannya untuk Aisyah. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa Aisyah sangat menitikberatkan sesuatu yang menjadikan Rasulullah SAW rela. Dia menjaga agar jangan sampai baginda menemukan sesuatu yang tidak menyenangkan darinya. Karena itu,dia sentiasa mengenakan pakaian yang bagus dan selalu berhias untuk Rasulullah SAW. Menjelang kewafatan Rasulullah SAW, baginda meminta izin kepada isteri-isterinya untuk beristirahat dirumah Aisyah selama sakitnya hingga wafat.

Dalam hal ini Aisyah berkata, "Merupakan kenikmatan bagiku karena Rasulullah SAW wafat dipangkuanku." Bagi Aisyah, menetapnya Rasulullah SAW selama sakit dikamarnya merupakan kehormatan yang sangat besar karena dia dapat merawat dan menjaga baginda hingga ke akhir hayatnya. Rasulullah SAW dimakamkan dikamar Aisyah, tepat ditempat baginda wafat. Sementara itu, dalam tidurnya, Aisyah melihat tiga buah bulan jatuh ke kamarnya. Ketika dia memberitahu hal ini kepada ayahndanya, Abu Bakar berkata, "Jika yang engkau lihat itu benar, maka dirumahmu akan dimakamkan tiga orang yang paling mulia dimuka bumi." Ketika Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar berkata, "Beliau adalah orang yang paling mulia diantara ketiga bulanmu." Ternyata Abu Bakar dan Umar dimakamkan dirumah Aisyah.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Aisyah senantiasa menghadapi cubaan yang sangat berat, namun dia menghadapinya dengan hati yang sabar, penuh kerelaan terhadap takdir Allah SWT dan selalu berdiam diri didalam rumah semata-mata untuk taat kepada Allah SWT. Rumah Aisyah r.ha senantiasa dikunjungi orang ramai dari segenap penjuru untuk menimba ilmu atau untuk berziarah makam Nabi SAW.

Ketika isteri-isteri Nabi SAW hendak mengutus Uthman menghadap khalifah Abu Bakar untuk menanyakan harta warisan Nabi SAW yang merupakan bahagian mereka, Aisyah justeru berkata, "Bukankah Rasulullah SAW telah berkata, 'Kami para nabi tidak meninggalkan harta warisan. Apa yang kami tinggalkan itu adalah sedekah." Dalam penetapan hukum juga, Aisyah seringkali menemui wanita-wanita yang melanggar syariat Islam. Didalam Thabaqat, Ibnu Saad mengatakan bahawa Hafshah binti Abdurrahman menemui Ummul Mukminin Aisyah r.a. Ketika itu Hafshah mengenakan kerudung yang nipis. Sepantas kilat Aisyah menarik kerudung tersebut dan menggantinya dengan kerudung yang tebal. Aisyah tidak pernah mempermudah hukum kecuali jika sudah jelas dalilnya dari Al Qur`an dan Sunnah. Aisyah r.ha adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW sehingga banyak menyaksikan turunnya wahyu kepada baginda. Aisyah juga memiliki kesempatan untuk bertanya langsung kepada Rasulullah SAW jika menemukan sesuatu yang belum dia fahami tentang suatu ayat. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa dia memperoleh ilmu langsung dari Rasulullah SAW. Aisyah r.ha termasuk wanita yang banyak menghafal hadith-hadith Nabi SAW, sehingga para ahli hadith menempatkan dia pada urutan kelima dari para penghafal hadith setelah Abu Hurairah, Ibnu Umar, Anas bin Malik dan Ibnu Abbas.

Dalam hidupnya yang penuh dengan jihad, Saidatina Aisyah r.ha wafat pada usia 66 tahun, bersamaan dengan bulan Ramadhan,tahun ke-58 H, dan dimakamkan di Baqi`. Kehidupan Aisyah penuh dengan kemuliaan, kezuhudan, tawadhu'dan pengabdian sepenuhnya kepada Rasulullah SAW, selalu beribadah serta senantiasa melaksanakan solat malam. Selain itu, Aisyah banyak mengeluarkan sedekah sehingga didalam rumahnya tidak akan ditemukan wang satu dirham atau satu dinar pun. Sabda Rasulullah SAW, "Berjaga dirilah engkau dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma." (HR. Ahmad ).

Semoga sifat peribadi Saidatina Aisyah r.ha dicontohi para muslimah dan wanita hari ini. Wallahua'lam...
Read more...

Wednesday 17 November 2010

Ibarah Haji dan Ibadah Korban...

Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.
Hari Digalakkan Beramal Ibadah
Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :
Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.
Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:
"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."
Sejarah Ibadah Korban
Jika diimbau kembali sejarah pensyariatan ibadah korban, sebagaimana kisah dua orang putera nabi Allah Adam a.s. iaitu Habil dan Qabil. Mereka berdua diperintahkan Allah SWT supaya menyediakan suatu barang yang paling baik , cantik dan disayangi sebagai korban kepada Allah SWT. Korban yang terbaik diantara mereka berdua akan diterima Allah dan sebagai ganjarannya mereka diberi peluang untuk memilih pasangan hidup yang mereka mahukan. Akhirnya, korban daripada Habil diterima Allah kerana dia telah mengorbankan haiwan ternak yang paling baik dan paling disayangi sabagai bukti keimanannya kepada Allah berbanding Qabil yang hanya mengorbankan sejumlah gandum yang paling buruk serta sudah rosak. Begitu juga kisah 2 orang nabi Allah Ibrahim a.s. dan Ismail a.s yang begitu menyayat hati. Setelah diuji oleh Allah supaya meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s. di suatu tempat yang kering kontang selama beberapa ketika, Ibrahim a.s kembali diuji oleh Allah supaya menyembelih Ismail a.s melalui satu mimpi. Ibrahim a.s kemudiannya kembali semula ke tempat tersebut untuk mengkhabarkan berita tersebut kepada anaknya Ismail a.s. Walaupun berita ini mengejutkan Ismail a.s yang baru sahaja bertemu semula dangan ayahandanya, namun baginda redha dengan kehendak Ilahi kerana iman dan taqwanya yang sangat teguh kepada Allah SWT.




Sebagai mengambil ibarah dari kisah ini, Allah s.w.t menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah korban seperti yang dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 28. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu. Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.
Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah korban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji
Orang yang menunaikan ibadah korban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah korban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah korban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:
"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih korban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."
Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudkanlah rasa kebersamaan. Wallahua'lam..


Read more...

Friday 5 November 2010

Fikir Sejenak Tentang Umat Melayu Kita...

Unsur Yahudi begitu tebal dalam masyarakat kita (masyarakat Melayu Islam) tetapi seolah-olah kita tak nampak. Cuba kita tengok satu persatu walaupun banyak sekali contoh-contoh yang sudah ada di depan mata tapi seolah-olah kita tidak mengendahkannya. Paling nyata, rokok yang orang kita hisap tu.Tahukah kita, setiap satu batang rokok itu ada saham kepada puak yahudi. Buat pengetahuan semua, tiada kilang rokok yang bukan kepunyaan Yahudi Laknatullah. Sesiapa yang hendak berhenti merokok, ambilah ni sebagai iktibar. Fikirlah dengan akal warasmu, rokok yang tidak memberi sebarang faedah langsung pada diri sendiri, malahan memudaratkan kesihatan bukan sahaja kepada diri si perokok, tetapi juga orang-orang yang disayangi sekelilingnya dan merosakkan agama Islam itu sendiri melalui duit-duit yang disalurkan pada puak Yahudi Laknatullah yang sungguh kejam. Menghisap rokok ni ibaratnya mengambil helaian duit dan membakar duit-duit tersebut. Kalau kita tengok ada orang bakar duit kertas, mesti kita fikir "Ish, orang tu dah tak betul agaknya, bakar helaian duit yang begitu bernilai, daripada bakar duit tu, baik bagi kat aku"..Begitulah diibaratkan si perokok-perokok yang tidak menyedari telah membakar sendiri helaian-helaian duit sendiri seperti orang yang tidak berakal, kerana menganggap sungguh nikmat kepulan-kepulan asap dari rokok tu..Pelik sungguh, tapi begitulah pandainya puak Yahudi membodohkan kita orang Islam..Alangkah ruginya nikmat rezeki yang Allah yang berikan digunakan pada sesuatu yang sia-sia..


Itu bab tentang rokok, sekarang kita beralih pula gerakan Yahudi seterusnya melalui sukan dan permainan. Bayangkan, puak Yahudi baru letak bola sebiji bagi pertandingan bola sepak, hampir 70 ribu (70,000) masyarakat Melayu Islam yang tidak sembahyang kat stadium Shah Alam. Belum kita kira bilangan yang tidak sembahyang yang kat rumah lagi.

Bab Kristian, lebih terancang dan lebih terperinci lagi. Semenjak kalah dalam perang salib terakhir, iaitu dalam pemerintahan King ke 6 yang terakhir. Sebelum dia mati, dia telah berwasiat dan wasiatnya ada ditulis dengan emas di London. Dia berkata : "..kepada semua pemimpim-pemimpin Kristian, kita hari ini telah melakukan kesilapan besar, kita berperang dengan tentera Islam dengan pedang, bukan berperang dengan akidah yang ada pada mereka. Sebab tu Islam menang walaupun 30 ribu tentera mereka dengan 300 ribu tentera kita, mereka tetap menang sebab mereka (orang Islam) berperang kerana nak mati. Kita berperang untuk hidup. Oleh itu, hendaklah kita menukar strategi. Kita perlulah melancarkan peperangan ideologi, fahaman dan budaya ke atas orang Islam." Wasiatnya berjaya dilaksanakan setelah King tu mati pada 1942.

Kerajaan Islam Andalusia yang paling agung pada masa itu tumbang di tangan Kristian. Pada tahun 1511, kerajaan Islam Melaka tumbang, dan tidak lama selepas itu, tumbang kerajaan Islam Pattani. Tak lama selepas tu, tumbang pula kerajaan Islam Kedah. Tak lama lepas tu, tumbang kerajaan Islam Mindanao. Lepas tu kerajaan Islam Acheh...demikianlah satu demi persatu kerajaan Islam telah jatuh ke tangan orang Kristian.

Macamana semua ini boleh terjadi? Sebab gerakan Kristian berdasarkan kepada 3G. GOSPEL,GOAL, GLORY. Pertama ialah kitab dia, kedua adalah kekayaan kita dan ketiga ialah menang terhadap Islam. Kalau kita tengok sejarah, Alfonso De Albuqueque bukan datang ke Tanah Melayu membawa tukang masak sebab nak rempah kari kita seperti dalam sejarah. Mereka bukannya makan kari, dia datang dengan membawa mubaligh Kristian Francis Xavier (kalau tak silap). Tujuannya untuk apa?? Tujuan utama ialah nak menyebarkan ajaran Kristian. Bagaimana cara dia sebarkan Kristian ni sebenarnya?

Masyarakat Melayu kita panggil, gerakan cara halus ...Dia panggil semua mubaligh Kristian yang nak datang ke Asia ni. Dia menggunakan kaedah "garam dan ragi". Garam sebagai perasa, ragi untuk penapaian. Contohnya ubi kayu. Waktu siang asalnya ubi kayu kita letak ragi, esoknya masih lagi bentuk ubi kayu tapi sebenarnya tapai. Maksudnya, dia kekalkan orang Melayu dengan identiti Islam. Hakikatnya kehidupan kita bukan mengikut cara dan berlandaskan Islam lagi sebenarnya.


Pertama, melalui sistem pendidikan. Di Malaysia, macam-macam sekolah dengan nama mubaligh Kristian. Convent itu, Saint ini. Menurut satu petikan seorang mubaligh Kristian pada masa itu yang ditulis semula oleh George Peters dalam sebuah buku tahun 40an. Kepada mubaligh-mubaligh Kristian yang nak datang ke negara kita, berkaitan pendekatan garam dan ragi ".. Pendekatan seperti ini tidak memerlukan seorang muslim Melayu berkenaan meninggalkan sistem kemasyarakatan yang dituntut oleh agamanya. Sebaliknya orang tersebut hendaklah digalakkan terus tinggal dalam masyarakatnya. Justeru itu, ragi tetap ujud dalam keutuhannya. Dia akan menjadi bagaikan sebuah lampu (Kristian) yang diletakkan di dalam gelap. Penyebaran agama Kristian nanti akan terserlah dalam sifat kerohanian individu itu sendiri, bukannya organisasi.

Di rasa akan kesegarannya, bukan bersikap kalam. Dinamik dan etikal, bukan bersifat formalistik. Melalui pendekatan begini ia telah memperlihatkan kebaikannya. Lantaran itu, ia tidak menganjurkan ahli Melayu tadi menjadi ahli baru Kristian yang formal, menyendiri dan terpisah dari masyarakatnya. Sebaliknya ia memberi laluan agar dapat dimasukkan semangat dan ajaran Jesus bagaikan sebutir ragi yang bertindak dengan proses penapaiannya ke atas ubi tadi dalam menghasilkan tapai akhirnya. Begitulah proses secara perlahan-lahan dan telah sekian lama dijalankan ke atas seluruh masyarakat Melayu seluruhnya yang beragama Islam di Malaysia ini. Tidak nampak, tetapi ia masih bergerak perlahan-lahan merosakkan masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Melalui cara kebajikan pula, kita tengok pada hari ini, siapa yang tak kenal Kelab Rotery yang berperanan dalam mencuci buah pinggang. Selain itu, Kelab Lion, Persatuan Bulan Sabit Merah, Saint John Ambulan. Siapa yang tak pernah dengar tentang palang merah. Mereka masuk dengan cara menghidupkan sekularisma. Seperti yang kita sudah sedia maklum, sekularisma adalah satu cara mengasingkan agama daripada aspek kehidupan. Itulah kita pada hari ini, mengasingkan Islam daripada setiap aspek kehidupan .

Cara lain merosakkan masyarakat agama Islam ini adalah dengan menghidupkan maksiat. Kalau kita lihat pada hari ini, pelbagai maksiat yang asalnya dihidupkan oleh mereka. Kalau ingin disebutkan satu persatu, terlalu banyak. Akhirnya, rosaklah bakal generasi muda yang sepatutnya menjadi pemimpin Islam dalam sesebuah negara. Bila rakyatnya mempunyai akidah yang lemah serta melakukan pelbagai maksiat, rosaklah negara itu..Kerana kekuatan sesebuah negara itu bergantung pada kekuatan jiwa rakyatnya pada Islam..Dan jika rakyat itu akan menjadi pemimpin negara kelak, pimpinan dibawahnya akan pincang disebabkan akan menjadi pemimpin yang tidak takutkan ALLAH, tetapi akan menggunakan kuasa diberi semata-mata untuk mendapat kekayan dan pangkat di dunia ini sahaja. TANPA MEMIKIRKAN TANGGUNGJAWAB SEBENAR SEBAGAI PEMIMPIN ISLAM DALAM MEMPERJUANGKAN AD-DIN ISLAM..







 

" Fikirlah sejenak tentang urusan ad-din Islam dalam kesibukanmu sehari-hari..insyaALLAH "
 

wallahua'lam..


  
murabbi.net


Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!