Friday 16 September 2011

Kisah Seorang Pemuda Yang Soleh

Bismillahirrahmanirrahim...


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali baginda hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.


Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".


Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.


Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?”, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku memohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."


Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."


Itulah kelebihan anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka. Tetapi syaratnya, dia hendaklah berbakti kepada ibubapanya walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Ingatlah wahai sahabat,walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibubapa kita itu bukan alasan untuk kita melepaskan tanggungjawab dari mereka . Tanggungjawab kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.Walau banyak mana sekalipun dosa yang telah mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, tetapi urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya dosa kedua ibubapa kita itu diampuni-Nya.


Sesungguhnya doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Ianya dinanti-nantikan oleh para ibubapa yang berada didalam kubur(yang sudah meninggal) mahupun yang masih hidup. Hakikatnya, erti kasih sayang yang sebenar seorang anak kepada ibubapanya bukanlah dengan wang ringgit, tetapi dengan cinta dan doa untuk mereka. Dan itulah yang mereka mahukan dari kita wahai sahabat dan remaja-remaja sekalian...renung-renungkanlah.


~Mujahid91~
Read more...

Saturday 10 September 2011

Taubat Seorang Pegawai Tinggi

Seorang Tuan Guru bernama Sari As-Saqati bercerita bahawa pada suatu hari dia sedang memberi syarahan di sebuah masjid jamek. Tiba-tiba datang seorang pemuda dengan pakaian yang mewah dan dikawal oleh beberapa orang pengiring. Dia lalu duduk dan mendengar syarahan itu. Ketika itu Sari berkata: “Adalah suatu keajaiban bagi orang yang sangat lemah berani menentang orang yang sangat kuat.”

    Wajah si pemuda berubah sebaik saja mendengar ucapan Sari, dan terus pulang. Keesokan harinya Sari mengajar lagi sebagaimana biasa. Pemuda yang semalam datang dengan berpakaian mewah, sekarang hanya memakai pakaian biasa dan tanpa pengawal.
“Wahai tuan guru! Apakah maksud perkataan tuan yang semalam itu?” tanya orang muda itu kepada Sari.
“Tidak ada yang lebih kuat selain Allah, dan tidak ada yang lebih lemah selain manusia. Akan tetapi manusia berani menentang Allah dengan bermaksiat kepadaNya. Bukankah itu suatu keajaiban?” Jawab Sari.

    Pemuda itu tertunduk mengingatkan dosa-dosa yang telah dilakukannya, kemudian dia pulang dengan seribu tanda tanya di hatinya, apakah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya itu? Apakah Allah akan menerima taubatnya? Keesokan harinya dia telah datang lagi kepada Sari.
“Wahai tuan guru Sari! Tunjukkan kepada saya jalan menuju Allah,” kata pemuda itu.
Ada dua cara untuk sampai kepada Allah. Yang pertama dengan mengerjakan semua yang terkandung di dalam Al-Quran, yakni solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain pekerjaan. Yang kedua dengan cara meninggalkan segala-galanya selain Allah, kemudian dia tidak tinggal melainkan hanya di masjid atau di tempat-tempat yang sunyi dengan menghabiskan masa untuk beribadah kepada Allah.”
“Kalau begitu, aku tidak akan menempuh melainkan jalan yang lebih dekat,” kata pemuda itu.

    Selepas berkata demikian, pemuda itupun keluar menuju padang pasir dan menghabiskan masanya untuk beribadah kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa yang pernah ia lakukan.

    Beberapa hari kemudian, orang-orang dari istana sibuk mencari Setiausaha Kerajaan yang tidak pulang ke istana. Orang yang mengetahui dia mendengarkan syarahan Sari As-Saqati, datang dan bertanya kepadanya.
“Tuan guru Sari, tahukah tuan kemana perginya pemuda yang datang ke sini beberapa hari yang lalu?”
“Aku tidak tahu, melainkan ada seorang pemuda sifatnya begini dan begitu,” jawab Sari.
“Dia itulah Ahmad bin Yazid, Setiausaha Kerajaan ini,” jawab mereka.

    Sari As-Saqati menerangkan bahawa si pemuda telah memilih jalan pintas menuju Allah. Dia sekarang tengah beribadah, diharap pihak istana jangan risau.

    Sementara ibu si pemuda itu agak kecewa kerana gara-gara Sari As-Saqati anaknya telah meninggalkan jawatannya sebagai orang kanan kerajaan dan menjadi seorang sufi.

    Apabila pemuda itu datang, Sari segera memberitahukan kepada keluarganya. Merekapun datang. Si ibu menangis melihat keadaan anaknya yang hidup glamour itu tiba-tiba memakai baju kasar dan buruk sebagaimana biasanya seorang sufi. Mereka cuba memujuk si pemuda agar meneruskan pekerjaannya lagi, namun dia sudah tidak mahu.
“Engkau telah tergamak membuatku menjadi janda dan anak kita menjadi yatim padahal engkau masih hidup,” kata isteri lelaki itu. “Bawalah anak ini ke mana engkau pergi.”

    Lelaki itu lalu menanggalkan pakaian mewah anaknya dan ditukarnya dengan pakaian kasar seperti seorang hamba. Melihat itu, si ibu terus mendapatkan anaknya dan menanggalkan baju kasar di badannya, lalu digantikannya dengan baju istana. Kemudian mereka meninggalkan Setiausaha Kerajaan yang telah menjadi hamba itu masuk ke hutan belantara.

    Beberapa hari kemudian, ada orang datang kepada tuan guru Sari dan memberitahu bahawa bekas Setiusaha Kerajaan itu sedang terbaring di atas tanah perkuburan dan meminta tuan guru Sari agar datang ke sana. Setibanya di sana, Sari mendapati pemuda itu sedang nazak di atas tanah.
“Tuan guru datang agak lambat,” kata pemuda itu kepada Sari. Selepas menyebut Kalimah Tauhid, pemuda itupun meninggal dunia.

    Sari As-Saqati segera pulang untuk memberitahu orang ramai dan mengambil alat-alat pengkebumian, tapi sampainya di tengah jalan dia telah berjumpa dengan orang ramai lengkap membawa alat-alat untuk penyelenggaraan jenazah. Mereka mendakwa telah mendengar suara bahawa Setiusaha Kerajaan telah meninggal dunia sebagai hamba yang dicintai Allah.


Semoga kita mendapat pengajaran yang berguna dari kisah ini…wallahua’lam.

~mujahid91~

Read more...

Thursday 8 September 2011

Keluarga tuntut bersihkan nama Mat Indera.

 
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kerajaan diminta membersihkan imej Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara kerana beliau ternyata seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sehubungan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula memandangkan sejarah yang ada kini terdapat terlalu banyak penyelewengan dari fakta yang sebenar.

Adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera, 65, berkata, fakta sejarah perjuangan sebenar mengenai abangnya sememangnya terlalu banyak yang diselewengkan dan amat perlu dikaji semula oleh ahli-ahli sejarah.

[Gambar: Baharom Shah (tengah) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor bersama Suhaizan dan Khairul Faizi pada sidang media di Pejabat Agung PAS.]

Menurut beliau, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Katanya, namun abangnya telah dituduh sebagai pengkhianat oleh pihak British ketika menjajah negara kita dulu dan ia perlu dikaji semula bagi membersihkan imej dan nama baik ahli keluarganya.

"Dalam hal ini, para pemimpin Umno perlu bersikap jujur terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar. Ahli-ahli sejarah juga perlu mengkaji semula fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan itu dan jangan hanya sekadar bercakap sahaja.

"Bagaimana abang saya boleh dituduh pengkhianat, sedangkan beliaulah yang telah menyelamat salah seorang anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar, anak kepada anggota polis marin di Bukit Kepong," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, terdapat ramai lagi mangsa yang telah diselamatkan oleh abangnya dalam tragedi di Bukit Kepong.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, Mat Indera datang lewat ke Bukit Kepong semasa kejadian pada 23 Februari 1950. Beliau datang bukan untuk bertempur sebaliknya datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat," katanya yang berasal dari Bakri, Muar, Johor.

Mat Indera, jelas beliau, mendapat ancaman tangkapan daripada penjajah sebelum dari peristiwa Bukit Kepong sehingga ditawarkan sejumlah $25 ribu dan selepas peristiwa Bukit Kepong tawaran telah ditingkatkan sebanyak $75 ribu.

Katanya, akhirnya Mat Indera telah ditangkap cara tipu helah di Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat pada tahun 1952 dan beliau ada menziarahi abangnya di lokap Batu Pahat bersama ibu dan neneknya.

"Sebelum kejadian Bukit Kepong, abang saya, Johan Shah dan ayah telah dibuang daerah ke Singapura. Ibu, ayah dan nenek telah diseksa oleh polis British. Abang saya telah dihukum gantung sampai mati oleh Kerajaan British di Taiping, Perak," jelasnya.

Mat Indera mempunyai 12 orang adik beradik dari satu bapa dan dua ibu. Adik beradiknya dari ibu pertama seramai 8 orang, manakala dari ibu kedua seramai 4 orang. Mat Indera adalah anak kedua dari ibu pertama dan Johan adalah anak bongsu kepada ibu yang sama dengannya, manakala Baharom adalah anak pertama kepada isteri kedua ayahnya.

Katanya, kini negara kita telah sekian lama terlepas dari cengkaman penjajahan British tetapi beliau amat kesal Kerajaan BN masih juga belum mengambil sebarang usaha untuk membersihkan imej abangnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan langkah yang diambil oleh pihak PAS untuk membersihkan imej abangnya itu dan juga imej pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang lain yang dituduh pengkhianat oleh pihak British, dalam usaha untuk mengkaji semula sejarah kemerdekaan tanah air.

"Usaha murni ini amat perlu dilakukan sama oleh Umno dan Kerajaan tanpa mengira ideologi politik kerana ia adalah untuk kepentingan tanah air yang kita cintai," ujar beliau.

Aziz Muda
~harakahdaily.net~ 

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!