Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts

Saturday, 9 June 2012

Taubat Sang Tentera..


Bismillahirrahmanirrahim...


"Dan berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang-orang yang beriman."
(Ad-Dzariyat: Ayat 55)


Pada suatu hari, seorang alim bernama Syeikh Baqan sedang berada di tepi sungai. Tiba-tiba sebuah perahu yang memuatkan sekumpulan tentera lalu di sungai itu. Di dalam perahu tersebut terdapat banyak arak dan benda-benda terlarang lainnya. Syeikh yang berada di tebing sungai tahu akan barang-barang terlarang yang ada di dalam perahu itu dengan kasyafnya (ilmu firasat yang di berikan Allah kpd hambanya yang terpilih).


“Wahai pahlawan! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan naiklah kalian ke darat!” teriak Syeikh Baqan.


    Akan tetapi orang-orang yang ada di dalam perahu itu tidak memperdulikan seruan itu, bahkan menoleh pun tidak. Melihat kedegilan mereka, Syeikh Baqan berseru kepada sungai: “Wahai sungai yang tunduk kepada Allah! Berilah pembalasan terhadap orang-orang jahat itu.”


    Tiba-tiba air sungai bergelora menghempas perahu mereka sehingga hampir saja karam. Pada saat itu mereka memohon maaf kepada Syeikh Baqan dan menyatakan taubat mereka. Mereka benar-benar menyesal dan air sungai kembali tenang seperti sebelumnya sehingga mereka turun dengan selamat. Sejak itu, mereka sering berziarah ke rumah Syeikh Baqan.




#Pengajaran daripada kisah pendek ini adalah bertaubatlah kepada Allah sebelum datangnya bala Allah atas kemaksiatan yang kita lakukan kepada-Nya. Sesungguhnya, kemurkaan Allah tiada siapa yang tahu dan Dia berkuasa menurunkan azab ke atas hamba-hambaNya bila-bila masa sahaja. Justeru, apabila datang peringatan kepada kita, bersegeralah untuk bertaubat sebelum nyawa kita diambil Allah SWT. Sesungguhnya ajal maut tiada siapa yang tahu, maka bersedialah menghadapinya..


~mujahid91~

Read more...

Saturday, 10 March 2012

Keberanian Saad bin Abi Waqqash ra.


Bismillah..Alhamdulillah.

Dari Ibnu Asakir bahawa Az-Zuhri telah berkata: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah mengutus Sa'ad bin Abi Waqqash ra. untuk mengetuai suatu pasukan ke suatu tempat di negeri Hijaz yang dikenal dengan nama Rabigh. Mereka telah diserang dari belakang oleh kaum Musyrikin, maka Sa'ad bin Abu Waqqash ra. mengeluarkan panah-panahnya serta memanah mereka dengan panah-panah itu. Dengan itu, maka Sa'ad bin Abu Waqqash ra. menjadi orang pertama yang memanah di dalam Islam, dan peristiwa itu pula menjadi perang yang pertama terjadi di dalam Islam. (Al-Muntakhab 5:72)


Ibnu Syihab pula berkata: Pada hari pertempuran di Uhud Sa'ad bin Abi Waqqash ra. telah membunuh tiga orang Musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Sa'ad itu. Maka Sa'ad berkata: Nabi SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali. (Al-Muntakhab 5:72)


Abdullah bin Mas'ud ra. juga telah berkata: Pada hari pertempuran di Badar, Sa'ad bin Abi Waqqash ra. telah menyerang musuh dengan berkuda dan dengan berjalan kaki. (Majma'uz Zawa'id 6:82)


Ayuh kita contohi keberanian Sa’ad bin Abi Waqqash ra., lebih-lebih lagi terhadap orang-orang yang memusuhi agama Allah dan...BERANILAH KERANA BENAR!!!



~Mujahid91~

Read more...

Wednesday, 4 January 2012

Pusara Fatimah r.ha. berbicara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang..


Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.ha. meninggal dunia, jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, iaitu :
1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.ha)
2. Hasan (anak Fatimah r.ha)
3. Husin (anak Faimah r.ha)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a


Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah S.A.W."


Maka berkata kubur tersebut, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalannya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."


Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :
1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Qur'an
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.


Manakala empat perkara yang harus dijauhi ialah :
1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." 


Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun dia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan tetap melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.


Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil, takutlah kamu kepada Allah dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Munkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah je, aku boleh hafal untuk jawapannya." Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Munkar dan Nakir dengan cara kita menghafal jawapan kepada soalan-soalan tersebut.


Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jika dia tidak mengamalkannya kerana yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Qur'an, maka al-Qur'an itu akan membelanya dan begitulah seterusnya. Renung-renungkan..Wallahua’lam.


~mujahid91~
Read more...

Friday, 4 November 2011

Haji Malcolm X

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang.

Malik ElShabazz atau lebih dikenali sebagai Malcolm X (1925-1965), pemimpin pejuang hak asasi kulit hitam di Amerika yang aktif dengan Nation of Islam (NOI) di bawah pimpinan Elijah Muhammad telah mengalami perubahan yang ketara terhadap pemikirannya sebaik sahaja menunaikan ibadah haji di Makkah.
Sebelum menunaikan ibadah haji, beliau agak lantang memperjuangkan hak-hak bangsa kulit hitam (African  American) dan dilihat mempunyai sikap anti bangsa kulit putih.


Pada bulan April 20 1964, Malcolm X telah mula menulis pengalaman beliau sewaktu menunaikan haji di Makkah, dan menceritakan bagaimana beliau berjumpa dengan  ramai orang berkulit putih yang turut  menunaikan haji bersama beliau, semangat kesatuan persaudaraan Islam, dan hal ini membuatkan beliau mulai sedar tentang peranan Islam dalam  mengatasi masalah perkauman dan mengatur hubungan antara kaum yang berbeza.

Malcom X telah menghantar poskad kepada sahabatnya, Dick Schaap yang tertulis ‘’Greetings from Mecca’’ dan menggambarkan kota Makkah sebagai ‘’the fountain of truth,love,peace and brotherhood’’.
Malcom juga menulis dalam poskad tersebut pengalamannya sewaktu menunaikan haji di Makkah antaranya: ’’eaten from the same plate with fellow Muslims whose eyes were bluer than blue,whose hair was blond,blonder than blond,whose skin was whiter than white..and we were all the same’’

Dalam poskad pertamanya kepada James Farmer pula, Malcolm X menulis: ‘‘Dear brother James,I am now in Mecca, the most beautiful and sacred city in the world,where I have witnessed pilgrims of all colors...worshipping Allah in perfect peace and harmony and brotherhood such as I have never seen in the States’’

Malcom X menggunakan nama barunya Malik El Shabazz, menghantar poskad keduanya kpd James Farmer dan beliau mencatatkan coretan berikut: ‘’Here I am,back in Mecca.I am still travelling,trying to broaden my mind,for I’ve seen too much of the damage narrow-mindedness can make of things and when I return home to America,I will devote what energies I have to repairing the damage’’

Dan  bila ditanya adakah catatan beliau tersebut menunjukkan berlaku perubahan pada corak pemikirannya, beliau berkata ya dan mengatakan : ‘’I have some explaining to do....I was not so lucky as you were.I had very little formal education,eight grades.I am self-educated.I read for myself:mostly in prison I read the dictionary backwards’..’Consequently I believed everything the Honourable  Elijah Muhammad told us and the Honourable Elijah Muhammad told us that Islam was a black man’s religion-exclusively-and that the blue-eyed devils could not get close to Mecca,that they would be killed if they tried to enter that sacred city.In Mecca I saw blue-eyed blonds worshipping Allah just as I was,kneeling right beside me,so obviously the Honourable Elijah Muhammad had lied’

Ketika berjumpa dengan sahabatnya Maya Angelou, Malcolm X turut membicarakan pengalaman barunya di Makkah dan mengungkapkan :‘’I have always said whites were blue-eyed devils but I have been to Mecca and I have seen whites with blue eyes with whom I felt a brotherhood,and so I can no longer say this-that all whites are evil’’

Perjalanannya menunaikan ibadah haji di Makkah ini mencetuskan perubahan kepada pemikiran Malcolm X dari seorang yang memiliki sifat perkauman sempit kepada seorang yang menghargai perbezaan warna kulit, bangsa dan agama seseorang, memperjuangkan persaudaraan sesama umat Islam dan persaudaraan sesama manusia lainnya.

Perjuangan cinta persaudaraan dan kemanusian inilah yang membuatkan beliau berbeza pandangan dengan Elijah Muhammad dan Nation of Islam(NOI) ketika itu dan akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.
Pada 1 Februari 1965, tatkala baru mulai menyampaikan pidato di program anjuran Organization of Afro-American Unity(OAAU), Malcom X telah ditembak beberapa kali dan disahkan meninggal dunia selepas itu.

Malcolm X meninggal dunia sewaktu masih muda tatkala aktif dengan jelajah pidatonya di serata dunia memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia, keamanan dan persaudaraan sejagat. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Wallahua'lam..

"Malcolm X:As They Knew Him" By David Gallen,1992.
~mujahid91~
Read more...

Saturday, 10 September 2011

Taubat Seorang Pegawai Tinggi

Seorang Tuan Guru bernama Sari As-Saqati bercerita bahawa pada suatu hari dia sedang memberi syarahan di sebuah masjid jamek. Tiba-tiba datang seorang pemuda dengan pakaian yang mewah dan dikawal oleh beberapa orang pengiring. Dia lalu duduk dan mendengar syarahan itu. Ketika itu Sari berkata: “Adalah suatu keajaiban bagi orang yang sangat lemah berani menentang orang yang sangat kuat.”

    Wajah si pemuda berubah sebaik saja mendengar ucapan Sari, dan terus pulang. Keesokan harinya Sari mengajar lagi sebagaimana biasa. Pemuda yang semalam datang dengan berpakaian mewah, sekarang hanya memakai pakaian biasa dan tanpa pengawal.
“Wahai tuan guru! Apakah maksud perkataan tuan yang semalam itu?” tanya orang muda itu kepada Sari.
“Tidak ada yang lebih kuat selain Allah, dan tidak ada yang lebih lemah selain manusia. Akan tetapi manusia berani menentang Allah dengan bermaksiat kepadaNya. Bukankah itu suatu keajaiban?” Jawab Sari.

    Pemuda itu tertunduk mengingatkan dosa-dosa yang telah dilakukannya, kemudian dia pulang dengan seribu tanda tanya di hatinya, apakah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya itu? Apakah Allah akan menerima taubatnya? Keesokan harinya dia telah datang lagi kepada Sari.
“Wahai tuan guru Sari! Tunjukkan kepada saya jalan menuju Allah,” kata pemuda itu.
Ada dua cara untuk sampai kepada Allah. Yang pertama dengan mengerjakan semua yang terkandung di dalam Al-Quran, yakni solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain pekerjaan. Yang kedua dengan cara meninggalkan segala-galanya selain Allah, kemudian dia tidak tinggal melainkan hanya di masjid atau di tempat-tempat yang sunyi dengan menghabiskan masa untuk beribadah kepada Allah.”
“Kalau begitu, aku tidak akan menempuh melainkan jalan yang lebih dekat,” kata pemuda itu.

    Selepas berkata demikian, pemuda itupun keluar menuju padang pasir dan menghabiskan masanya untuk beribadah kepada Allah serta memohon ampun atas segala dosa yang pernah ia lakukan.

    Beberapa hari kemudian, orang-orang dari istana sibuk mencari Setiausaha Kerajaan yang tidak pulang ke istana. Orang yang mengetahui dia mendengarkan syarahan Sari As-Saqati, datang dan bertanya kepadanya.
“Tuan guru Sari, tahukah tuan kemana perginya pemuda yang datang ke sini beberapa hari yang lalu?”
“Aku tidak tahu, melainkan ada seorang pemuda sifatnya begini dan begitu,” jawab Sari.
“Dia itulah Ahmad bin Yazid, Setiausaha Kerajaan ini,” jawab mereka.

    Sari As-Saqati menerangkan bahawa si pemuda telah memilih jalan pintas menuju Allah. Dia sekarang tengah beribadah, diharap pihak istana jangan risau.

    Sementara ibu si pemuda itu agak kecewa kerana gara-gara Sari As-Saqati anaknya telah meninggalkan jawatannya sebagai orang kanan kerajaan dan menjadi seorang sufi.

    Apabila pemuda itu datang, Sari segera memberitahukan kepada keluarganya. Merekapun datang. Si ibu menangis melihat keadaan anaknya yang hidup glamour itu tiba-tiba memakai baju kasar dan buruk sebagaimana biasanya seorang sufi. Mereka cuba memujuk si pemuda agar meneruskan pekerjaannya lagi, namun dia sudah tidak mahu.
“Engkau telah tergamak membuatku menjadi janda dan anak kita menjadi yatim padahal engkau masih hidup,” kata isteri lelaki itu. “Bawalah anak ini ke mana engkau pergi.”

    Lelaki itu lalu menanggalkan pakaian mewah anaknya dan ditukarnya dengan pakaian kasar seperti seorang hamba. Melihat itu, si ibu terus mendapatkan anaknya dan menanggalkan baju kasar di badannya, lalu digantikannya dengan baju istana. Kemudian mereka meninggalkan Setiausaha Kerajaan yang telah menjadi hamba itu masuk ke hutan belantara.

    Beberapa hari kemudian, ada orang datang kepada tuan guru Sari dan memberitahu bahawa bekas Setiusaha Kerajaan itu sedang terbaring di atas tanah perkuburan dan meminta tuan guru Sari agar datang ke sana. Setibanya di sana, Sari mendapati pemuda itu sedang nazak di atas tanah.
“Tuan guru datang agak lambat,” kata pemuda itu kepada Sari. Selepas menyebut Kalimah Tauhid, pemuda itupun meninggal dunia.

    Sari As-Saqati segera pulang untuk memberitahu orang ramai dan mengambil alat-alat pengkebumian, tapi sampainya di tengah jalan dia telah berjumpa dengan orang ramai lengkap membawa alat-alat untuk penyelenggaraan jenazah. Mereka mendakwa telah mendengar suara bahawa Setiusaha Kerajaan telah meninggal dunia sebagai hamba yang dicintai Allah.


Semoga kita mendapat pengajaran yang berguna dari kisah ini…wallahua’lam.

~mujahid91~

Read more...

Sunday, 10 July 2011

Kisah Ahli Sufi dgn seorang lelaki..

Pada suatu hari, telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah seorang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing. Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut "kenapa kamu pukul kucing yg lemah ini?" Jawab lelaki tersebut "Aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yg tersangat lemah dan kesejukan, kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi apabila sihat, ia membuang najis di merata tempat di rumahku".


Kemudian berkatalah ahli sufi "Ini sebenarnya peringatan dan tamsilan antara kita dgn Allah. Dia telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif, lalu Allah beri kita makan , pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yg kita kecapi, kita derhaka kepadaNYA. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita derhaka kepadaNYA, Dia masih belum menyiksa atau memukul kita dengan azabNYA." Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah kelak kerana percubaan mendera kucingnya...


Moga-moga kisah ini menjadi teladan dan peringatan buat kita yang sering lupa mengucapkan syukur akan segala ni’mat yang Allah telah berikan kepada kita. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang selalu bersyukur..Ameen… 



Editor:Mujahid91



Read more...

Tuesday, 1 March 2011

Kisah Luqman al-hakim dengan telatah manusia..


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."


Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."


Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Read more...

Friday, 31 December 2010

Tinggalkan yg Haram, dapat yg Halal...

Seorang pencuri datang menemui seorang ulama untuk bertaubat. Seraya berkata, "Saya ingin bertaubat daripada dosa-dosa saya. Apa nasihat tuan kepada saya?".

"Apa yang kau mampu tinggalkan dari segala yang haram, Allah akan izinkan kau mendapakkannya dari melalui jalan yang halal", kata ulama tersebut.

Malam itu lelaki yang bertaubat tersebut tidur di masjid. Dia tidak mahu tergoda untuk kembali mengulangi perbuatan dosanya itu. Apabila semakin larut malam, perutnya terasa lapar pula. Tetapi dia tidak ada wang untuk membeli makanan. Akhirnya dia kalah dengan godaan syaitan. Perlahan-lahan dia keluar masjid untuk mencuri. 

Dia menceroboh masuk ke sebuah rumah besar. Tentu penghuninya sangat kaya, fikirnya. Di bahagian dapur, didapati ada makanan diatas sebuah meja. Dia pun segera mencuri makanan itu. Namun, dia teringat akan pesanan ulama tadi: "Apa yang kau dapat tinggal-kan daripada yang haram, Allah akan izinkan kau mendapatkannya melalui jalan yang halal." Spontan dia membatalkan hasratnya.

Dia terus bergerak dari bilik ke bilik. Setibanya di sebuah bilik, dia melihat harta yang banyak. Lantas, dia mengeluarkan karung yang dibawanya. Tetapi sebaik sahaja menyentuh harta tersebut dia teringat lagi kata-kata ulama itu. Maka, dia batalkan saja hasratnya itu.

Sebelum keluar dari rumah tersebut, dia terpandang tuan rumah itu, iaitu seorang wanita yang jelita sedang tidur. Timbul pula keinginan jahatnya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap wanita itu. Namun, apabila dia teringat akan pesanan si ulama tadi, terus ditinggalkan niat buruknya itu.

Kemudian dia kembali ke masjid dengan keletihan dan kelaparan. Selepas solat Subuh, seorang wanita memasuki masjid dan terus menemui ulama yang mengimami solat itu.

Kemudian dia berkata, "Tuan, tolong saya tuan. Saya menemui jejak seseorang yang memasuki rumah saya malam tadi. Tapi anehnya tidak ada satu barang pun yang hilang. Namun saya takut dia akan kembali ke rumah saya nanti."

 Adakah kau tinggal bersendirian?” tanya ulama itu. Wanita itu menjawab, Ya, sejak kematian suami saya.” Mahukah kau jika aku carikan seorang lelaki sebagai temanmu?", ulama itu bertanya lagi.  Apa maksud tuan?” tanya wanita itu kehairanan.

Lantas ulama itu pun terus memanggil lelaki tersebut, dan meminta persetujuan kedua-duanya untuk dikahwinkan. Beberapa hari kemudian, mereka dinikahkan.       

Selepas hari pernikahan, lelaki itu berkata kepada ulama tersebut, "Ini semua berkat nasihat tuan. Benar kata tuan, Allah telah memberi saya secara halal atas apa yang saya inginkan secara haram. Makanan, harta dan yang paling bertuah saya mendapat seorang isteri yang cantik."

Pengajaran: Jika kita ingin berbuat baik memang susah tetapi jika kita ingin berbuat jahat juaga susah. Jadi, lebih baik kita berbuat baik kerna walau susah tetapi ada manfaatnya. Pengorbanan untuk melalui jalan Allah, walaupun susah pada awalnya tapi akhirnya akan mendapat ganjaran yang besar.

Editor:Mujahid91

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!