Wednesday 17 November 2010

Ibarah Haji dan Ibadah Korban...

Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.
Hari Digalakkan Beramal Ibadah
Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :
Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.
Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:
"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."
Sejarah Ibadah Korban
Jika diimbau kembali sejarah pensyariatan ibadah korban, sebagaimana kisah dua orang putera nabi Allah Adam a.s. iaitu Habil dan Qabil. Mereka berdua diperintahkan Allah SWT supaya menyediakan suatu barang yang paling baik , cantik dan disayangi sebagai korban kepada Allah SWT. Korban yang terbaik diantara mereka berdua akan diterima Allah dan sebagai ganjarannya mereka diberi peluang untuk memilih pasangan hidup yang mereka mahukan. Akhirnya, korban daripada Habil diterima Allah kerana dia telah mengorbankan haiwan ternak yang paling baik dan paling disayangi sabagai bukti keimanannya kepada Allah berbanding Qabil yang hanya mengorbankan sejumlah gandum yang paling buruk serta sudah rosak. Begitu juga kisah 2 orang nabi Allah Ibrahim a.s. dan Ismail a.s yang begitu menyayat hati. Setelah diuji oleh Allah supaya meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s. di suatu tempat yang kering kontang selama beberapa ketika, Ibrahim a.s kembali diuji oleh Allah supaya menyembelih Ismail a.s melalui satu mimpi. Ibrahim a.s kemudiannya kembali semula ke tempat tersebut untuk mengkhabarkan berita tersebut kepada anaknya Ismail a.s. Walaupun berita ini mengejutkan Ismail a.s yang baru sahaja bertemu semula dangan ayahandanya, namun baginda redha dengan kehendak Ilahi kerana iman dan taqwanya yang sangat teguh kepada Allah SWT.




Sebagai mengambil ibarah dari kisah ini, Allah s.w.t menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah korban seperti yang dinyatakan dalam surah al-Hajj ayat 28. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu. Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.
Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah korban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji
Orang yang menunaikan ibadah korban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah korban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah korban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:
"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih korban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."
Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudkanlah rasa kebersamaan. Wallahua'lam..

No comments:

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!