Friday 14 January 2011

Kepahitan sebelum Kemanisan

Bismillah.. Alhamdulillah.

Pada suatu petang, sahabatku Nizam yang juga rakan sebilikku  mengadu kepadaku bahawa dia telah terjatuh ketika bermain bola pada petang itu. Hari itu merupakan hari pertama dia menggunakan kasut bola yang baru dibelinya. Dia membeli kasut tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan sukan kampus yang bakal bermula beberapa hari lagi. Malangnya, dia telah mengalami kecederaan dek kerana tidak dapat  menyesuaikan diri dengan keadaan kasut baru tersebut. Dia kelihatan sedih di atas kejadian yang menimpanya pada petang itu. Melihat keadaannya, aku hanya mampu berkata kepadanya bahawa setiap sesuatu yang baru dicuba atau baru dihadapi pasti ada kesusahan yang perlu ditempuh terlebih dahulu. Bak kata pepatah, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian". Lama-kelamaan barulah sesuatu yang baru itu akan dirasakan biasa dan mudah untuk dilakukan. Kata orang, "Alah bisa tegal biasa". Akhirnya, dia kelihatan lebih tenang setelah mendengar kata-kataku itu...


Begitulah juga dalam kita berusaha untuk mendapatkan "Halawatul Ibadah"(kemanisan beribadah). Bukan mudah untuk kita mendapatkannya tanpa ada cubaan atau kesusahan yang perlu kita tempuhi dahulu. Misalnya, kita cuba untuk istiqamah solat subuh berjemaah di masjid. Bukan senang untuk kita bermula. Pada awalnya pasti kita perlu memaksa diri untuk bangun sambil menahan rasa mengantuk (mungkin kadang-kadang sampai tertidur ketika solat) sedangkan sebelum ini kita belum pernah bangun awal pagi (kecuali bangun untuk bersahur dibulan Ramadhan). Cukup susah bukan?? Namun, kita terpaksa bermujahadah demi membiasakan diri untuk bangun subuh. 

Konklusinya, setiap kemanisan yang ingin dirasai pasti kita akan merasai kepahitan dahulu. Setiap kejayaan yang ingin dikecapi pasti bermula dengan kegagalan. Oleh itu, jangan kita salahkan sesiapa atas kesilapan dan kesusahan yang kita hadapi. Bebaik sangkalah dengan Allah. Fikirlah bahawa ia hanya sedikit daripada ujian-Nya kepada kita. Mungkin juga ia adalah bahawa tanda Allah menyayangi kita dan ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku. Wallahua'lam... 

~tinta mujahid91~

1 comment:

NidzamYatimiRamli said...

betuitu. aku setuju. doakan aku sumbat gol 3 bijik

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!