Dewan Ulama PAS Pusat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan segera bertindak serta mendakwa akhbar Umno, Utusan Malaysia yang menghina Islam melalui karikatur bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan 15 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan, Ustaz Nazmi Nik Din berkata Dewan Ulama melihat tindakan Utusan itu seolah-olah cuba menafikan undang-undang Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT.
"Seolah-olah Utusan ingin menggambarkan kepada rakyat umum bahawa arahan Allah supaya mendatangkan syarat 4 orang saksi sepertimana yang terkandung di dalam nas Al-Quran yang jelas sebagai satu perkara yang menzalimi manusia dan merupakan undang-undang yang bodoh," katanya.
Sambil mengutuk tindakan melampau itu, Dewan Ulama PAS juga ujarnya menyeru supaya pihak Utusan terutamanya pelukis dan penerbit karikatur tersebut segera bertaubat kepada Allah terhadap dosa besar yang dilakukannya.
Utusan juga ujarnya perlu meminta maaf bukan sahaja kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam bahkan juga kepada mereka yang bukan beragama Islam kerana jenayah memberikan imej buruk tentang Islam terhadap mereka.
"Tidak cukup dengan memberi gambaran tentang bahaya Negara Islam kepada bangsa lain sepertimana yang dimainkan akhbar itu sebelum ini, kali ini serangan diteruskan lagi terhadap batang tubuh Islam itu sendiri.
"Mungkin ini adalah pendekatan serapang dua mata Utusan-Umno iaitu meracuni pemikiran umat Islam dan bukan Islam terhadap impian perjuangan PAS," jelasnya lagi.
Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu memaparkan kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.
Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.
Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan itu.
Menurut Nazmi, Islam menetapkan syarat itu kerana mahu memberi memastikan hukuman dikenakan kepada mereka yang benar-benar bersalah.
Penggunaan peralatan teknologi moden pula katanya mungkin mendedahkan kepada pemalsuan dan penipuan yang akhirnya bukan sahaja mengaibkan orang lain bahkan menjatuhkan hukuman
kepada orang yang bukan sepatutnya.
"Adapun sekiranya si pengadu tidak berjaya mendatangkan pembuktian yang kukuh maka di dalam Islam pengadu itu akan terpaksa berhadapan dengan tuduhan qazaf kerana mencemarkan
maruah mereka yang tidak berdosa.
"Seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya," tegasnya.
No comments:
Post a Comment