Tuesday 22 November 2011

Krisis Terbaru Di Mesir

Kaherah-21 Nov : Para pelajar Malaysia di Mesir dilanda kebimbangan ekoran kekacauan yang berterusan di ibu kota negara berkenaan ekoran rusuhan melibatkan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sejak kelmarin.


Wakil pelajar, Muhammar Amin Abdul Yasin, 24, berkata, pelajar Malaysia kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan konflik lebih teruk berlaku di negara berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kedutaan Malaysia juga telah mengeluarkan pekeliling kepada pelajar Malaysia di sini (Mesir) supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap keselamatan diri dan ketika ini terdapat kira-kira 10,000 pelajar Malaysia di Kaherah serta 1,400 di Mansoura.

“Kami juga diminta tidak keluar lewat malam, tidak menghampiri kawasan pilihan raya serta tempat perkumpulan orang ramai dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammar Amin yang merupakan pelajar tahun enam jurusan perubatan Universiti Mansoura berkata, dia dan teman-teman masih mengikuti kelas di universiti seperti biasa tetapi bimbang konflik itu jika berlanjutan akan menjejaskan kuliah mereka.

Desakan rakyat Mesir serah kuasa

Menurutnya lagi , kekecohan berlaku kerana rakyat Mesir mendesak tentera negara itu mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru.

Sehubungan itu, katanya, para pelajar Malaysia di Mesir memohon kerajaan Malaysia membantu mereka jika keadaan politik bertambah teruk di negara tersebut.

Demonstran ditembak gas pemedih mata, peluru getah

Beratus-ratus penunjuk perasaan yang membanjiri Dataran Tahrir di sini semalam bertempur dengan pasukan keselamatan Mesir, sekali gus meneruskan ketegangan pada malam sebelumnya.

Di dalam beberapa buah bilik rawatan yang dibina di dalam masjid berhampiran dataran tersebut, penunjuk perasaan menerima rawatan kerana ditembak dengan gas pemedih mata dan peluru getah.
Tunjuk perasaan itu bertujuan menuntut Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata (SCAF) yang mengambil alih kuasa selepas Presiden Mesir, Hosni Mubarak ditumbangkan pada Februari lalu menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Mereka juga mahu Hussein Tantawi yang mengetuai junta tentera dan Menteri Pertahanan sewaktu pemerintahan Mubarak meletak jawatan.


“SCAF meneruskan polisi Mubarak, tiada apa yang berubah,” kata seorang penunjuk perasaan, Khaled di sebalik laungan “kebebasan! kebebasan!” rakan-rakannya.

“Keganasan hari ini menunjukkan bahawa Mubarak masih berkuasa,” kata seorang lagi penunjuk perasaan, Ahmed Hani yang cedera di dahi akibat terkena peluru getah.

Penunjuk perasaan turut menggunakan rangkaian laman sosial untuk mengajak lebih ramai rakyat Mesir menyertai perjuangan mereka.

Rakyat Marhaen

~mujahid91~

1 comment:

Nuruddin Azri said...

salam.nice post.

besarlah harapan saya untuk admin blog ini supaya me'link'kan blog saya pada blog ini.cukuplah sekadar pautan itu.dan saya sendiri pun sudah linkkan blog ini di dalam blog saya.

moga sama2 dpt kongsi ilmu utk menegakkan Islam dan meneruskan hunusan pena2 dakwah.

apa2 pun semuanya tertakluk kepada admin blog ini sama ada handak bersetuju dgn perkongsian ini atau tidak.

sama2 dpt manfaat.

boleh lawati saya di

http://nuruddinazrizulkifli.blogspot.com/

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!