Tuesday 4 January 2011

Berhikmahlah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Kenapa da’wahku gagal??? Inilah persoalan yang seringkali timbul dalam kalangan daie’ hari ini..sehinggakan ada yang berputus asa dalam menjalankan misi yang mulia ini. Pernahkah kita berfikir apakah punca kegagalan tersebut? Mungkin ada yang berfikir, namun tidak berjaya mencari solusi atas kegagalan yang dialami mereka.

Sebenarnya ada beberapa faktor yang menjadi punca misi da’wah kita tersebut menemui kegagalan. Pertamanya adalah kerana thaqafah yang kita miliki. Mungkin juga kita belum memiliki ilmu yang secukupnya berkaitan da’wah sebelum melakukan kerja-kerja da’wah ini. Justeru itu, kita mengalami kegagalan. Yang kedua adalah kerana hidayah. Walau sehebat mana usaha kita dalam menyebarkan risalah da’wah kepada masyarakat, tetapi harus diingat bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberi hidayah kepada mad’u kita itu. Firman Allah s.w.t. didalam Surah An-Nahl ayat 82,

"Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan amanat Allah dengan cara yang jelas."

Ayat diatas bermaksud, hidayah itu datangnya dari Allah sedangkan tanggungjawab kita hanya menyampaikan. Sebagaimana Rasululah SAW,  baginda sangat sedih kerana bapa saudara kesayangannya Abu Talib tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir meskipun dia mempercayai kata-kata Rasulullah. Namun, baginda akur bahawa Allah SWT sahaja yang berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Seterusnya, faktor kepada kegagalan da’wah kita mungkin saja kerana ianya adalah ujian dari Allah SWT. Dia mahu menguji sejauh mana kesabaran dan kecekalan kita, adakah kita berputus asa atau berusaha dengan lebih gigih dalam menyebarkan agama-Nya. Jika kita mengimbau kembali sirah Nabi Allah Nuh a.s., bagaimana tabahnya baginda dalam menyampaikan da’wah kepada kaumnya walaupun pengikutnya hanya lebih kurang 12 orang sehingga baginda wafat. Lebih menyedihkan, anak dan isteri baginda sendiri tidak mahu menerima da’wahnya. 

Faktor lain pula adalah berpunca dari kelemahan diri kita sendiri. Pertamanya dari sudut uslub(kaedah) da’wah yang kita gunakan. Sebenarnya, kaedah da’wah kita kepada setiap orang itu berbeza mengikut tahap usia. Cara kita berda’wah kepada orang yang lebih tua dari kita tidak sama dengan para remaja dan juga kanak-kanak. Jika kita ingin berda’wah kepada ibubapa kita misalnya, kita haruslah berlemah-lembut serta memilih waktu yang sesuai untuk menegur atau menasihati mereka. Contohnya, sewaktu mereka sedang berehat ataupun selepas menunaikan solat jemaah bersama mereka. Selain itu,  kita juga perlu banyak bercerita tentang ni’mat dan ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah bagi mereka yang menta’ati perintah-Nya dan melakukan amal soleh.

Seterusnya, kaedah kita berda’wah kepada para remaja. Bagi sesetengah remaja, mereka agak sukar untuk menerima teguran dan nasihat daripada orang lain, lebih-lebih lagi orang yang tidak dikenali mereka. Justeru, pendekatan yang perlu digunakan oleh kita adalah dengan cara kita menjalinkan silaturrahim dengan mereka. Cuba selami hati dan perasaan mereka terlebih dahulu sebelum berda’wah kepada mereka. Ini kerana setiap remaja mempunyai karekter yang berlainan. Ada yang terlalu sensetif dengan teguran yang mendadak dan ada juga yang cepat melenting apabila ditegur meskipun mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan. Oleh itu, fahamilah sikap mereka dahulu  supaya da’wah kita berjaya disampaikan.

Namun, berlainan pula cara kita berda’wah kepada kanak-kanak. Kalau kita lihat kanak-kanak zaman ini, mereka cukup takut apabila digertak atau ditegur oleh orang dewasa lebih-lebih lagi kanak-kanak Melayu. Jadi, pendekatan yang kita harus gunakan untuk mentarbiyah atau mendidik mereka adalah dengan cara membuat mereka berasa takut dan gerun. Tapi, ia bukanlah bermakna kita menakutkan mereka dengan perkara-perkara  tahyul’ sehingga mereka takut untuk berjalan di waktu malam misalnya. Cuma kita menceritakan kepada mereka tentang azab-azab kubur dan neraka supaya mereka lebih takut untuk melakukan maksiat dan dosa lantas menjadi seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT.

Maka, jelaslah bahawa dalam melakukan kerja-kerja da’wah ini, uslub da’wah yang kita gunakan amatlah penting dan perlu difokuskan agar maqasid da’wah kita berjaya dilaksanakan. Allah SWT berfirman didalam Surah An-Nahl-Ayat 125,

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk"

Mudah-mudahan apa yang kita perolehi dapat kita amalkan bersama..Insya-Allah. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah SWT dan yang buruk itu juga dari-Nya jua tapi disandarkan kepada diri yang lemah lagi hina ini. Wallahu’alam..

-Tinta Mujahid91-

2 comments:

RuMaH TuA said...

Sama - sama kita usaha untuk tingkatkan iman & amal...

Aiman Ibnu Hassan said...

insya-Allah..

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!