Sunday 3 April 2011

Halal atau Haram? [2]

Bismillahirrahmanirrahim..


Firman Allah SWT:

"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

(Al-Baqarah:168)

Seharusnya kita perlu mengambil sikap berhati-hati dalam setiap perkara lebih-lebih lagi berkaitan dengan keperluan hidup kita. Ini kerana setiap perkara yang kita makan, pakai atau gunakan berhubungkait dengan amal ibadah seharian kita. Justeru, jika makanan atau pakaian kita dari sumber yang haram, bagaimana amal ibadah kita hendak diterima Allah?

Berdasarkan maksud sebahagian hadis dari Abu Hurairah berbunyi :

"..Kemudian ia menyambutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, yang kusut masai rambutnya, lagi berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit sambil berdoa: Hai Tuhanku, hai Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram pula, maka bagaimanakah mungkin itu diperkenankan baginya?"
 
(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda: 

"Demi (Allah) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari."

(Riwayat Thabrani)

Sedarkah kita bahawa setiap daging yang tumbuh pada badan dan membesar ke atas orang yang makan dan minum hasil daripada sumber yang haram hanya layak untuk dibakar oleh api neraka? Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

"Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya".

(Hadis riwayat Al-Tarmizi)

KESAN KEPADA TINGKAHLAKU DAN AKAL

Selain itu, jika kita makan atau minum dari sumber yang haram maka, ia akan memberi kesan kepada tingkahlaku. Lihat saja masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja islam hari ini, pernahkah kita terfikir bahawa salah satu puncanya mungkin kerana sesetengah masyarakat hari ini tidak menitik beratkan soal halal dan haram dalam kehidupan seharian mereka?
 
 
Sebenarnya makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman serba moden ini, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah. 

Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan? Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga iaitu hati yang berhubung dengan keperluan hidup seperti jantung dan otak manusia. Oleh itu, ketiga-tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya.

Di sini jelas menunjukkan kepentingan makanan dan minuman (yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak) dalam proses pembangunan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islam.

Pakar sains dan perubatan tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mem-pengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang.

 Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang maksudnya:


"Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati". 

(Hadis riwayat Bukhari)

Natijahnya, Islam cukup menitikberatkan soal halal dan haram dalam segala aspek kehidupan seorang Muslim. Justeru, menjadi kewajipan bagi kita untuk mengambil berat tentang halal dan haram ini.  Sabda Rasulullah SAW,
“Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.”   (Riwayat ad-Dailami)
~Tinta Mujahid 91~

No comments:

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!