Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan menerusi Datuk Abdul Rahman Othman yang menyatakan bahawa Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang bertujuan ingin menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Kenyataan itu jelas berbaur fitnah dan cuba mengelirukan rakyat tentang objektif sebenar Bersih 2.0. Ugutan Menteri Dalam Negeri yang ingin menggunakan ISA bagi menghalang Bersih 2.0 juga dilihat melampaui batas-batas negara demokrasi apabila perhimpunan rakyat secara aman dilabel sebagai gerakan subversif yang ingin menggulingkan kerajaan.
Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, mahasiswa meyakini kenyataan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan bagi menakutkan rakyat agar tidak turut serta dalam himpunan aman tersebut.
Menurut beliau, namun mahasiswa juga cukup yakin bahawa rakyat sudah maklum mengenai objektif Bersih 2.0 yang hanya mahukan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya dan tidak sedikitpun membawa motif politik.
Katanya, mahasiswa percaya sekiranya pihak kerajaan sanggup menunaikan harapan rakyat ini, himpunan 9 Julai tidak akan berlaku.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam titah Baginda tidak melabelkan Himpunan Bersih 2.0 sebagai perhimpunan haram, tetapi hanya mencadangkan agar semua pihak mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Pihak kerajaan juga perlu memandang serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta pihak kerajaan menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Titah Tuanku Mizan Zainal Abidin, menurut beliau, dilihat oleh mahasiswa sebagai titah yang penuh harapan agar tuntutan rakyat didahulukan oleh pihak kerajaan tanpa mengira sempadan politik.
Katanya, dengan perkembangan terbaru ini, Menteri KDN seharusnya memohon maaf kepada pihak Bersih 2.0 kerana telah mengeluarkan kenyataan melulu dan berbaur fitnah.
Mahasiswa juga mengecam tindakan keras pihak Polis yang menahan aktivis Bersih 2.0 biarpun pihak Bersih 2.0 telah berulang kali memberi jaminan bahawa perhimpunan 9 Julai ini akan berlansung dalam keadaan aman. Jaminan itu bagi mahasiswa adalah cukup rasional apabila Himpunan Bersih 2.0 yang pertama telah terbukti berlangsung dalam keadaan aman dan hanya menjadi kecoh apabila pihak polis memulakan provokasi dengan tembakan gas dan semburan air pemedih mata.
"Bagi mahasiswa, pihak polis sepatutnya memberi peluang untuk rakyat berhimpun secara aman dan hanya perlu bertindak sekiranya peserta himpunan melanggar syarat yang ditetapkan.
"Mahasiswa juga ingin mempersoal tindakan pihak polis yang menahan mana-mana pihak yang menjual baju Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut dilihat lebih bermotif politik," tegasnya.
Bersih 2.0 tidak langsung menggambarkan mesej negatif, bahkan sudah difahami umum bahawa Bersih 2.0 adalah gabungan gerakan rakyat yang menuntut pembaikpulihan sistem pilihanraya di Malaysia.
Tindakan pihak polis itu jelas memperlihatkan bahawa pihak polis menjadi alat dalam melindungi pihak tertentu yang sebenarnya terlalu alergi dengan perkataan Bersih 2.0.
"Oleh itu, mahasiswa menuntut agar pihak polis menghentikan sebarang penahanan atas nama Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut lebih mengeruhkan keadaan," katanya.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurutnya, seharusnya mengambil iktibar daripada kepimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Tindakan Tun Abdullah yang telah mengisytiharkan perang terhadap himpunan Bersih 2007 dalam Perhimpunan Agung Umno telah menyebabkan imej kepimpinan beliau yang dikenali sebagai Mr Clean telah tercalar. Akhirnya rakyat telah menolak kepimpinan beliau yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu.
Beliau menegaskan, mahasiswa berpendirian untuk menyokong sepenuhnya 8 tuntutan Bersih 2.0 yang antara lain meletakkan matlamat untuk menuntut pihak kerajaan melakukan transformasi sistem pilihanraya melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Keengganan kerajaan melaksanakan tuntutan rakyat itu menyebabkan rakyat terpaksa memilih jalan raya untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih serius terhadap 8 tuntutan Bersih itu.
Selain itu, ujarnya, mahasiswa juga berpendirian untuk terus menyokong usaha rakyat dalam menuntut penambahbaikan sistem pilihanraya yang selama ini disifatkan sebagai berat sebelah.
"Oleh itu, sekiranya Bersih 2.0 meneruskan perhimpunan rakyat pada 9 julai ini, mahasiswa telah sepakat untuk menyumbang 1,000 botol air mineral, 1,000 bungkus garam dan 1,000 helai tuala tangan.
"Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada rakyat sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 berjaya dijalankan. Sumbangan ini sebagai tanda bahawa mahasiswa sentiasa mendokong perjuangan rakyat yang mahukan suasana demokrasi yang lebih baik melalui pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebersamaan mahasiswa dalam himpunan aman 9 Julai ini bukan atas dasar sokongan kepada Datuk Ambiga ataupun mana-mana pihak lain yang terlibat.
"Bagi mahasiswa, sekiranya rakyat tidak tampil dan bersuara, Himpunan Bersih 2.0 pasti tidak akan berjaya. Oleh itu, solidariti mahasiswa bersama Bersih 2.0 adalah atas dasar menyokong penuh 8 tuntutan rakyat sekali gus ingin bersama rakyat dalam himpunan aman 9 Julai ini," ujar beliau.
Kenyataan beliau itu turut disokong oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Selain itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Youth and Democratic Students Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Aksi mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).
harakahdaily.net
5 JULAI
Wednesday, 6 July 2011
Hormati Titah Agung-SMM
Labels:
Isu Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Most Read Posts
-
Sebelum ini kita telah mengetahui serba sedikit perihal Al-Masih Ad-Dajjal Laknatullah yakni berkenaan dengan ciri-ciri Dajjal, tempat tingg...
-
Aisyah r.ha dilahirkan empat tahun sesudah Nabi SAW diutus menjadi Rasul. Semasa kecil dia bermain-main dengan lincah, dan ketika dinikahi R...
-
Bismillahirrahmanirrahim.. Akhir-akhir ini, semakin ramai yang bercerita tentang Dajjal,iaitu salah satu tanda-tanda besar kiamat yang mana...
-
HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN kONSTANTINOPEL Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istan...
-
SALAHUDDIN al-Ayubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di a...
No comments:
Post a Comment