Tuesday, 1 May 2012

Ada Apa Dengan Bersih 3.0??

Bismillah...


Di sini saya ingin jelaskan beberapa perkara boleh dilihat sepanjang Bersih 3.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur Sabtu lalu:


1) Setelah melihat keamanan yang panjang dari pagi hingga ke petang, mustahil Peserta-peserta BERSIH secara majoriti ingin merosakkan 'rekod BERSIH terbaik' mereka ini. Jadi jika ada yang berkelakuan buruk, itu adalah segelintir. Dan mungkin, yang segelintir inilah yang angkat barricade (jika benar cerita orang BERSIH yang angkat Barricade). Dan bukanlah kita tidak tahu, bahawa dalam dunia ini ada makhluk yang bernama SB(Special Branch) yang boleh menyusup ke dalam orang ramai, dan melakukan kekacauan ini. Dalam hal ini, boleh jadi Sb atau segelintir Demonstran yang mencetuskan kekacauan.




2) Kita perlu memahami realiti bahawa peserta BERSIH itu ramai. Dan bukan semuanya mahu pergi ke Dataran itu. Ada yang sudah bersiap untuk pulang setelah mendengar ucapan daripada Pemimpin Bersih. Ada yang tidak berada di sana pun, tetapi di tempat lain. Kita dapat bayangkan huru-hara yang berlaku atas 'peristiwa mengejut' ini. Hanya kerana sebahagian kecil, polis hentam semua sama rata. Gas Pemedih Mata dan Penyembur Air itu pergi kepada semua orang, menyakitkan semua orang. Menjadikan orang ramai, yang semenjak siang telah membina kepercayaan kepada pihak polis, rasa terkhianat. Menimbulkan amarah yang tinggi sebilangan peserta BERSIH yang lain. Ini ditambah pula, dengan polis-polis yang memukul dengan ganas dan kasar peserta-peserta. Bahkan, ada peserta yang telah ditangkap, pun masih ditendang dan dipukul. Semestinya sesiapa yang melihat perkara ini marah, dan akan bertindak kasar juga. Ini namanya Mass Effect.




3) Kes kereta langgar orang, saya kira sebahagian dari pembaca telah mendapat pelbagai penjelasan. Pada saya, besar kemungkinan 'polis sengaja melanggar Demonstran'. Tapi, jika nak marah kereta polis itu langgar orang, kita kena ambil kira yang kereta polis itu sendiri sudah hancur dikerjakan orang sebelum pelanggaran berlaku. Mungkin 'dia hilang kawalan kenderaannya, lalu berlakulah kemalangan'. Polis langgar orang, orang pukul polis kerana sangka dia berniat jahat. Namun kena jelas juga bahawa, terdapat beberapa peserta BERSIH lain yang berusaha melerai dan menghentikan pembelasahan itu. Kemudian kes "Kereta diterbalikkan", kerana risau ada orang di bawah kereta polis. Ini kesimpulan saya selepas melihat pelbagai video akan peristiwa itu. Dan apabila orang menyangka 'polis memang sengaja langgar' dan melihat peristiwa pelanggaran ini, nyata mereka naik marah lagi.





4)Pendapat saya, sekiranya benar-benar BERSIH bertujuan membuat huru-hara, memang mereka bertujuan membuat kekacauan, saya kira mereka tidak perlu kepada 10 jam yang aman sebelum itu. Mereka tidak perlu menjaga solat. Baik mereka turun, bila angka sudah ramai, rempuh dan angkat sahaja barricade itu awal-awal. Tetapi nyatanya, bukan itu yang berlaku dari awal hingga akhir acara rasmi BERSIH. Selepas itulah baru berlakunya huru-hara ini. Angkat barricade dan memudahkan perjalanan ke Dataran kemudian mula menyembur air dan menembak gas pemedih mata, hakikatnya adalah satu PROVOKASI. Sekali lagi, dengan teori Mass Effect, provokasi ini akan memberikan kesan kepada orang ramai lain yang mengikuti BERSIH.


5) Media-media utama juga, pada saya membesar-besarkan peristiwa huru-hara. Memetik gambar-gambar yang boleh dipergunakan untuk menunjukkan kekasaran dan sebagainya, sedangkan gambar-gambar itu kalau ditunjukkan dalam bentuk video, disambung beberapa gambar lain, akan menunjukkan betapa apa yang diberitakan media-media utama tidak benar. Angka peserta BERSIH dinyatakan dengan angka yang sangat sedikit. Kemudian tindakan polis memijak dan memukul perserta berlebihan, tidak dibesarkan. Kisah polis yang tercedera pula dibesar-besarkan, dan kisah kereta terbalik dimainkan dengan penuh efisyen!



6) Peristiwa BERSIH perlu dipandang secara menyeluruh. Bukan di akhir-akhirnya sahaja. Kita nak besarkan Isu Sampah merata-rata contohnya, kita kena faham yang Peserta BERSIH hakikatnya ada sebilangan mereka bertugas kutip sampah. Tetapi apa yang kita expect selepas kena water canon dan tear gas? Orang lari la. Campak segala apa yang ada di tangan untuk mudahkan larian.


Kesimpulannya, Bersih 3.0 sebenarnya bersih dari segala tuduhan yang mengatakan ganas, cetus huru-hara dan sebagainya. Harap pembaca semua dapat menilai daripada segenap sudut. Dapatkan informasi dari kedua-dua pihak dan nilailah manakah yang lebih relevan dan tepat!!


Wallahua'alam..


~By mujahid91~

No comments:

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!