Saturday, 19 May 2012

Didik Nafsumu!!!

Bismillah..Alhamdulillah.

Sesungguhnya keinginan dan kecenderungan kepada sesuatu yang menarik, cantik, sempurna,dan berharga itu adalah fitrah bagi setiap manusia. Semua ini didorong oleh nafsu yang wujud didalam dirinya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud,


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
(Ali-Imran:14)


Bagaimanapun, nafsu tersebut hendaklah dikawal dan dididik dengan keimanan yang teguh kepada Allah SWT agar tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh-Nya.


TINGAKATAN NAFSU


Berdasarkan kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, terdapat 7 tingkatan nafsu iaitu:


1.Nafsu Ammarah
2.Nafsu Lawwamah
3.Nafsu Mulhamah
4.Nafsu Mutmainnah
5.Nafsu Radhiah
6.Nafsu Mardhiah
7.Nafsu Kamilah


Bagaimanapun, saya sekadar fokus kepada 4 nafsu terawal sahaja agar kita dapat berusaha ke arahnya terlebih dahulu. Kemudian barulah mudah untuk mencapai 3 lagi nafsu yang mulia dan diredhai Allah iaitu Radhiah, Mardhiah dan Kamilah.



Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang memiliki nafsu Ammarah, dia akan merasa bangga apabila melakukan dosa. Dia merasa sangat gembira dan bahagia apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada di tingkatan nafsu ini akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Dan jika ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang itu akan dimusuhinya. 


Kedua ialah Nafsu Lawwamah. Orang yang memiliki nafsu ini sedar bahawa dirinya sering terlibat dengan dosa. Dan dia sering mengkritik dirinya sendiri apabila terlibat dengan dosa. Sewaktu melakukan dosa, dia tidak terfikir apa-apa pun. Lupa pada Allah yang melihatnya, malaikat disisinya mahupun syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa itu padahal nikmat itu hanyalah sementara. 

Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar bahawa dia telah terlanjur. Lalu, dia menyesal dan mengkritik dirinya sendiri atas keterlanjuran itu. Tapi setelah masa berlalu, dia kembali berbuat dosa tersebut. Bagaimanapun, tingkatan nafsu ini tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu ini mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah kebaikan. 

Tingkatan seterusnya ialah Nafsu Mulhamah.Orang yang bernafsu ini masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa secara tidak sengaja. Bukan kerana suka-suka dia melakukannya. Orang yang bernafsu ini, sewaktu dia sedang berbuat dosa, dia sudah terasa betapa kejinya maksiat yang sedang dia lakukan. Bahkan hatinya pedih bila melakukan dosa itu walaupun tidak sengaja. Orang yang bernafsu ini juga bukan setakat mengkritik dirinya, malah dia berusaha untuk tidak mengulanginya serta mencari jalan untuk menghindari dosa tersebut.

Bagi orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Bagi orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Meskipun datang 1001 macam ujian dan musibah, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia bersujud dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Bahkan musibah yang menimpa dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Manakala, nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya pula dikongsi bersama saudara semuslimnya. Orang yang bernafsu inilah yang dikatakan orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang mampu melaksanakan segala perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan-Nya. Dan mereka inilah yang dijamin syurga dan terselamat dari siksaan neraka Allah di akhirat kelak.


Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,


"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (mutmainnah)Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu);Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia;Dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
(Al-Fajr:27-30) 


KONKLUSI


Sama-samalah kita berusaha mendidik hawa nafsu kita agar kita sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita sama-sama memperoleh keredhaan Allah SWT dan syurga-Nya kelak. Wallahua'lam.. 




~mujahid91~

No comments:

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!