Bismillah..Alhamdulillah.
Bila
kita terjun ke alam percintaan, ke arah rumahtangga, apa yang biasa kita
tekankan?
Banyaknya sekadar keseronokan yang dinamakan
‘keseronokan cinta’. Berbalas hadiah. Bertemu. Bergurau. Saling luah meluah.
Ya, semua nampak manis.
Tetapi saya amat menekankan persediaan
rohani. Kerana jika benar hendak membawa pasangan ke syurga Allah SWT, bermakna
kita hendak melayari kehidupan ini sebagai yang mampu membimbingnya,
mendampinginya, sebagai seorang yang sentiasa mampu mendukungnya ke jalan
kebaikan.
Kita tidak semestinya perlu menjadi
seorang ustaz atau ustazah untuk ingin mempersiapkan rohani kita. Kita perlu
sedar bahawa syurga itu bukan tempat ustaz dan ustazah. Ummah ini, bukan
dipenuhi oleh orang-orang yang bertitle agama. Syurga tetap menjadi matlamat
kita walau kita bukan pelajar atau orang aliran agama. Kita tetap hamba Allah
SWT, walaupun kita seorang jurutera atau tentera.
Maka siapakah yang meniti alam
percintaan, bergerak ke alam rumahtangga ini, mengambil berat akan kondisi
rohaninya?
Allah,
apakah Dia menjadi dasar kehidupan kita?
Allah SWT berfirman di dalam Surah
Adz-Dzariyat ayat 56, bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu,
melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Maka apakah kita ini telah menjadikan
Allah SWT itu sebagai dasar kehidupan kita pertamanya? Dalam segenap perbuatan
dan kelakuan, apakah perintah Allah SWT menjadi dasar kita?
Apakah kita telah suka apa yang Allah SWT
suka?
Apakah telah kita benci apa yang Allah
SWT benci?
Kita mungkin hamba yang banyak dosa, nama
pun manusia. Tetapi apakah kita berusaha meninggalkan apa yang Dia benci?
Apakah kita berusaha laksanakan apa yang Dia suka?
Ya. Persoalan-persoalan ini sepatutnya
bermain di dalam minda seorang pecinta. Kerana dengan persoalan-persoalan
inilah, kita bergerak untuk membina rohani kita, sekaligus membina peribadi.
Hati Itu, Apakah Kita Memerhatikannya?
Hati itu adalah ibu kepada diri. Kerana
hati adalah raja. Sekiranya rosak hati, akan rosaklah segala.
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn
Basyer RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu
terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat
yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang
menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan
maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia
telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di
sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah
bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah
perkara-perkara yang diharamkanNya.Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada
seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia
rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah kita yang hendak mencintai
seorang yang lain, yang hendak membina sebuah rumahtangga, yang ingin
membawa seseorang ke syurgaNya, tidak membina jiwa kita? Tidak memberikan
makanan kepada rohani kita?
Hati yang kontang, tidak akan mampu
menyuburkan jiwa yang lain. Kerana jika kita ingin memberikan ‘kesan’ kepada
hati orang, kita perlu mempunyai jiwa yang sentiasa dibersihkan.
Justeru bagaimana kita hendak memimpin
orang yang kita cintai, jika hati kita gelap?
Bagaimanakah Hendak Mencahayakannya?
Hati, bagaimana hendak menjadikan ia
bercahaya?
Jika kita perasan di dalam hadith tadi,
ada dinyatakan bahawa yang haram itu jelas, dan halal itu jelas. Juga hadith di
atas jelas memberikan isyarat agar kita tidak menjauhi perkara yang kita tidak
pasti halal atau haram(yakni syubhat). Mengapa hadith itu, berakhir dengan
menyebut berkenaan hati yang kalau rosak, maka akan rosak seluruh jasad, kalau
baik, baik seluruh jasad?
Kerana perkara yang halal, yang Allah
suruh, yang Allah arahkan buat, itu semua akan memberikan kebaikan kepada hati.
Akan mencahayakannya, akan membuatkannya bersinar.
Apa-apa sahaja yang haram, yang Allah
larang, yang Allah SWT suruh jauhkan, itu semua akan memberikan bintik hitam
kepada hati. Akan menggelapkannya, membuatkannya kelam dan hilang cahaya.
Jadi, orang yang benar cinta kepada
pasangannya, benar mencintai seseorang yang ingin dia bina rumahtangga
bersamanya, maka semestinya perlu keras untuk memperbanyakannya amal kebaikan
di dalam kehidupan, dan menjauhi keburukan-keburukan.
Banyak kebaikan yang boleh kita buat.
Semudah dari melaksanakan amalan yang memang wajib kepada kita seperti solat,
hingga kepada berdiam dari perkara yang buruk. Begitulah luasnya kebaikan. Di
tengah-tengahnya, ada perkara-perkara seperti bersedekah, membaca dan
mentadabbur Al-Quran, menuntut ilmu, mencari rezeki dari sumber yang halal,
berakhlak sopan, mengucap perkataan yang baik, menyebarkan kebaikan dengan
berdakwah dan banyak lagi.
Tinggal, apakah kita berusaha untuk
memberikan makanan kepada rohani kita?
Penutup: Jangan Kemaruk Bercinta Kosong.
Tidak perlu pun kepada berpegang tangan,
memberikan hadiah valentine, hantar SMS kata-kata manis, berhubungan hingga
melanggar syariat dan disapa kealpaan, untuk menunjukkan ‘cinta’.
Tetapi dengan berusaha membina hati kita,
itu sahaja sudah satu cinta.
Walaupun kita belum menjumpai orangnya,
tetapi membina diri itu sudah menjadi satu cinta kepadanya sebenarnya.
Bila cinta adalah mahu membawa orang yang
kita cinta itu ke syurgaNya, maka pastinya orang yang memahami akan berusaha
membina rohaninya. Daripada rohani yang bersihlah, saya nampak akan munculnya
peribadi yang bersih dan emosi yang stabil.
Kita bakal menjadi suami atau isteri,
bapa atau ibu. Maka bagaimanakah kita hendak memimpin sebuah keluarga, melayari
bahtera cinta bersama, hendak menembus syurga, dengan hati yang kotor, dan jauh
dariNya?
Maka jangan kemaruk bercinta kosong.
Cintalah dengan sebenar-benar cinta.
~Hilal Asyraf~
No comments:
Post a Comment