Saturday, 5 March 2011

Si Buta Mencari Cinta

Dalam perjalanan pertama,
Aku keluar dari desaku yang terperuk di pinggiran kota 
Di atas bas kecil sempit, aku bertemu dengan
seorang anak muda
Yang sungguh kacak bergaya
Tapi sayang, matanya buta.
Aku lantas duduk disebelahnya lalu bertanya,
"Adik mahu ke mana?"
Sepi, aku ulang bertanya lagi
"Adik mahu ke mana dengan matamu
keduanya buta?"
Dan masih..Dia tidak menjawab
melainkan hanya senyuman yang terukir dibibirnya.
Setelah beberapa ketika kami berjeda tanpa suara
Angin diluar bagai sengaja menyelak tirai gemawan
Dan aku terus tersilau, lantas marah pada terik mentari
yang tiba-tiba hadir
Tanpa diduga
"Ah, mengapa Tuhan mencipta mentari sebegini terik!?"
"Sebagai tanda cinta, bang.."
"Cinta apa yang menyilau mata?"
"Cinta yang meminta kita memejamkan mata buat
seketika, lantas berfikir tentang kekuasaanNya.."
Aku terkesima.
Namun ego seorang abang tetap ada..
Lalu aku berkata,
"Adik, kau tidak tahu makna rasa, apatah lagi erti cinta.
Sudahlah masih mentah, ada mata tapi
sayang, buta..."
Sungguh, dia masih tersenyum.
Mentari terus menyinar terang, lantas aku meminta..
"Adik, turunkan tirai itu."
"Abang bukannya manusia buta tak kenal rasa."
"Abang sudah lama kenal makrifat cinta"
"Adik, abang ni celik..bukannya buta!"
Dia senyum lagi, lantas bersuara..
"Abang pernah lihat bintang dan bulan purnama?"
"Pernahkah abang menjadi saksi akan kelamnya
ketika gerhana?"
"Apa yang abang tahu tantang nebula? Kepulan gas
kecil yang Allah tiupkan semilir..lalu membentuk bintang
paling terang menyinari alam!”
"Indahnya bang!!"
Aku hanya bisa menggeleng, mengeluh kesal.
"Kalau kau bukan orang buta, kau akan rasa bosan
dengan segalanya!"
Akan kau campakkan hatimu di pojok lesu
Akan kau humbankan dirimu di banir pohon layu
Akan kau benci melihat mentari
Purnama pun nanti tiada erti.
"Tipu, berdosa bang.."
Itu saja balasnya.
"Maka apa alasanmu orang buta? Mudah-mudah saja
kau gelar aku yang celik ni sebagai pendusta?"
"Melihat mentari bukan pada mata biasa
Tapi pada mata jiwa"
"Mengenal purnama itu bagai kita cuba mengenal
secebis kuasa Allah yang Maha Besar"
"Siapa kita bang? Melainkan manusia lemah
yang sering alpa?"
"Mentari terik yang abang marahkan itu yang
bakal merejam kita..."
"Abang perlu mencari titipan cinta pada
bintang penyeri malam..."
"Jangan sesekali angkuh pada Pencipta bang.
Nanti diri rosak binasa..”
Tiba-tiba dia bangun.
"Saya turun di sini ya.."
Aku diam bagai terkunci bicara.
"Dik, kau mahu ke mana?"
Dan ini jawapan anak muda yang buta kedua
Matanya itu,
"dicelah-celah bintang, silau mentari dan
indah bulan purnama. Jua pada kelam gerhana
yang mampir tiba-tiba. Saya, hamba Allah yang
kerdil buta ini mahu mencari sesuatu..bernama CINTA" 
~Editor:Mujahid91~

Read more...

Tuesday, 1 March 2011

Kisah Luqman al-hakim dengan telatah manusia..


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."


Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."


Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Read more...

Friday, 11 February 2011

Siapakah "KEKASiH" kita???

Bismillahirrahmanirrahim..

Bila disebut sahaja "kekasih", apa yang terlintas di fikiran kita tentunya akan 2 orang pasangan yang sedang bercinta. Bagi para sesetengah remaja pula, pasti mereka terbayang wajah2 jejaka atau wanita yang mereka cintai dan sayangi. Akan tetapi, berapa ramaikah diantara kita yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai "kekasih"nya? Padahal bagindalah yang selayaknya untuk dijadikan "buah hati" kita kerana baginda adalah manusia yang paling sempurna bahkan peribadinya jauh lebih baik daripada orang yang sedang kita cintai.

Ketika ini sudah tentu ramai remaja yang tidak sabar2 menanti detik2 bahagia bersama pasangan masing2 untuk diraikan pada 14 Februari ini iaitu "Valentine's Day" . Kebetulan pula pada tahun ini, tanggal 12 Rabiulawal jatuh sehari selepas "hari kekasih" tersebut. Persoalannya, hari apakah yang kita raikan??

Valentine's Day

Menurut sejarah, Valentine Day adalah hari perayaan buat penganut agama Kristian. Hari tersebut disambut untuk memperingati kematian seorang paderi Kristian yang bernama St. Valentine. Dia ialah seorang pendakyah yang kuat menyebarkan agama Kristian satu masa dahulu. Namun, pada suatu ketika dia telah ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan menentang penguasa Romawi pada waktu itu. Semasa dipenjara, dia telah jatuh hati kepada seorang gadis yang merupakan anak kepada seorang pegawai penjara tersebut. Akhirnya, pada hari sebelum dihukum bunuh, dia telah menulis sepucuk surat kepada gadis tersebut untuk menyatakan rasa kasih dan cintanya kepada gadis itu. Diringkaskan, bagi memperingati kematian paderi tersebut, penganut2 agama Kristian telah menamakan hari tersebut sebagai Valentine's Day. Saban tahun sehingga ke hari ini ramai yang menyambut hari tersebut bersama kekasih2 mereka termasuk sesetengah orang Islam sendiri.

    Berdasarkan kisah tersebut, jelas sekali bahawa amalan tersebut datangnya dari agama Kristian bukannya Islam. Menurut fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor serta Majlis Ulama Indonesia, HARAM bagi seseorang Muslim menyambut atau mempromosikan hari tersebut.



Konklusi


Oleh itu wahai sahabat-sahabat sekalian, janganlah kita meraikan hari Valentine ini kerana ianya bertentangan sekali dengan syariat Islam. Akan tetapi, marilah kita sama-sama meraikan hari "Kekasih" kita yang sebenarnya iaitu Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Ayuh kita sama-sama perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda serta mengamalkan segala ajaran dan Sunnahnya. Seharusnya kita memperingati segala jasa dan pengorbanan Baginda SAW. Lebih-lebih lagi, baginda tidak pernah lupa akan kita (umatnya) walau sesaat sekalipun ketika hayat baginda. Namun, berapa kalikah kita ingat kepada Baginda?? Berapa kalikah kita menyebut nama Baginda berbanding kita menyebut nama orang yang kita kasihi?? Renung-renungkanlah...wallahua'lam.  



~tinta mujahid91~
Read more...

Wednesday, 2 February 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir..Rejim Hosni bakal hancur!!

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariqdan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.Mubarak sendiri perlu faham dengan tuntutan itu kerana seluruh rakyat Mesir sudah menyatakan pendirian mereka secara jelas sejak seminggu lalu, apabila mereka telah keluar ke jalan-jalan bagi menyatakan kebencian dan suara hati mereka terhadap pemimpin tersebut, sehingga tidak akan berakhir selagi Mubarak tidak memenuhi tuntutan mereka.
Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasib umat Islam di Palestin. "Ya Allah, berilah kemenangan kepada rakyat Mesir dan Islam"
Oleh:Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat
~Editor: Mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!