Monday, 2 April 2012

Memaku Dinding Hati


Bismillah...

Satu cerita yang menarik untuk kita semua hayati. Kisah ini tentang seorang lelaki pemarah. Lelaki tersebut tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun dalam situasi kecil sahaja. Marahnya sukar dibendung. 

        Suatu ketika, bapanya menghadiahkan seguni paku. Lantas dengan hairan lelaki itu bertanya kepada ayahnya, "Apa gunanya paku-paku ini ayah?"

      Ayahnya dengan tenang menjelaskan, "Setiap kali kamu marah, paku tembok batu dihadapan rumah kita dengan paku itu bagi melepaskan kemarahan kamu."

      Pemuda itu mengikut pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu sudah memaku sebanyak 37 batang paku di tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, dia dapat mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang digunakan semakin hari semakin berkurang. Akhirnya, dia mendapati, lebih mudah mengawal marah daripada memukul paku yang menembusi tembok batu tersebut.

       Akhirnya pemuda tersebut langsung tidak marah walaupun sekali. Dia lantas dengan rasa gembira memaklumkan kepada bapanya. Bapanya terus mengucapkan tahniah dan meminta dia mencabut kembali paku itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia berjaya mencabut semua paku di tembok tersebut.

       Selesai tugasannya, dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan rasa bangga. Bapanya lantas memimpin tangan lelaki itu menuju ke tembok tersebut dan berkata, "Kau melakukannya dengan baik anakku, namun lihatlah kesan lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.

      Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka sama seperti di tembok ini. Kamu boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Namun luka itu masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal.      

      Sabda Nabi dalam hadis yang lain: "Jauhilah kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam". Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: "Kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka ambillah wuduk". 


~mujahid91~


Read more...

Monday, 19 March 2012

Sempurnakan Agamamu..


Dengan Nama Allah yg Maha Pemurah & Maha Penyayang...

Firman Allah SWT yg bermaksud,
“...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu….”
(Al-Maidah:3)

Sesungguhnya Allah telah menciptakan agama yang sangat sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia yakni Islam. Hakikatnya, Islam bukanlah semata-mata agama tetapi ia adalah satu cara hidup (the way of life).
Berbicara mengenai kesempurnaan Islam, sebenarnya jika kita lihat Islam melengkapi seluruh aspek kehidupan. Islam tidak membiarkan manusia hidup tanpa petunjuk sama ada dari sudut keagamaan (akhirat) atau keduniaan, moral atau pendidikan,  lahiriah atau batiniah, individu atau jemaah, dan bahkan dari sudut ekonomi atau politik.


Islam juga sesuai sepanjang masa atau dengan kata lain “Dulu, Kini,& Selamanya”...Cuma tinggal kita sahaja yang ingin mengambil Islam sebagai cara hidup atau tidak. Allah SWT juga telah berfirman dalam Al-Quran yang maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”..
 (An-Nahl:36)

Selain tiada batas masa, Islam juga untuk semua manusia tidak kira bangsa (Melayu,Arab,Cina,India& lain-lain), generasi, tempat, bahkan tidak kira apa taraf hidup seseorang itu. Sebagaimana Firman-Nya:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
 (Al-Anbiyaa’:107),

 Jelas sekali Islam itu cukup lengkap dan sempurna buat kita selaku hamba-Nya yang perlukan petunjuk dalam melayari bahtera kehidupan ini. Cuma 1 sahaja persoalan buat diri dan sahabat-sahabat sekalian, “Sempurnakah Islam kita?” ...Wallahua’lam.

Daripada Abu Hurairah ra. berkata, bahawa Nabi SAW bersabda yg bermaksud,
“Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yg tidak bermanfaat baginya.”
(Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan al-Baihaqi)

~pena mujahid91~   

Read more...

Saturday, 10 March 2012

Keberanian Saad bin Abi Waqqash ra.


Bismillah..Alhamdulillah.

Dari Ibnu Asakir bahawa Az-Zuhri telah berkata: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah mengutus Sa'ad bin Abi Waqqash ra. untuk mengetuai suatu pasukan ke suatu tempat di negeri Hijaz yang dikenal dengan nama Rabigh. Mereka telah diserang dari belakang oleh kaum Musyrikin, maka Sa'ad bin Abu Waqqash ra. mengeluarkan panah-panahnya serta memanah mereka dengan panah-panah itu. Dengan itu, maka Sa'ad bin Abu Waqqash ra. menjadi orang pertama yang memanah di dalam Islam, dan peristiwa itu pula menjadi perang yang pertama terjadi di dalam Islam. (Al-Muntakhab 5:72)


Ibnu Syihab pula berkata: Pada hari pertempuran di Uhud Sa'ad bin Abi Waqqash ra. telah membunuh tiga orang Musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Sa'ad itu. Maka Sa'ad berkata: Nabi SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali. (Al-Muntakhab 5:72)


Abdullah bin Mas'ud ra. juga telah berkata: Pada hari pertempuran di Badar, Sa'ad bin Abi Waqqash ra. telah menyerang musuh dengan berkuda dan dengan berjalan kaki. (Majma'uz Zawa'id 6:82)


Ayuh kita contohi keberanian Sa’ad bin Abi Waqqash ra., lebih-lebih lagi terhadap orang-orang yang memusuhi agama Allah dan...BERANILAH KERANA BENAR!!!



~Mujahid91~

Read more...

Tuesday, 28 February 2012

Cinta Dunia, Lupa Mati

Bismillah..Alhamdulillah.

Sekadar renungan bersama...
Kebanyakan dari kita hari ini tidak pernah berhenti memikirkan kehidupan, mengira harta kekayaan, memikirkan pangkat dan sebagainya...seolah mereka hidup selama-lamanya. Cuba kita bertanya kepada diri kita, bilakah kali terakhir kita menziarahi kubur?

Cuba fikirkan? Apa yang kita dengar di sana? Adakah penghuninya bersuka ria dan bergelak ketawa? Sudah tentu jawapannya tidak. Semuanya diam membisu...kecuali teriakan dan tangisan mereka yang diazab oleh Munkar dan Nakir.

Pernahkah kita merasakan bahawa kita juga bakal mendaftarkan diri untuk menjadi ‘penghuni kubur’?


Kita sentiasa suka apabila diajak berbicara tentang perkara duniawi, berhibur dan sebagainya. Tetapi, bila diajak berbicara tentang perkara ukhrawi..anda mengatakan bahawa anda sibuk..tiada masa untuknya. Bahkan, segala perkara berkaitan hidup kita disediakan dengan cukup rapi dan teratur. Tetapi apa persediaan kita untuk mati???

Ingatlah, kita bakal di tanya oleh Allah SWT tentang umur kita..“ke mana kita telah habiskan?”... Barangkali, apakah jawapan anda? Tepuk dada,tanya Iman..  

Sedarkah kita bahawa segala kelengkapan jenazah telah siap dibuat untuk kita? Kain kafan, kapur barus, keranda dan batu nisan semuanya telah tersedia buat kita..Hanya menunggu masa sahaja. Jadi, adakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan Izrail??? Dia datang tanpa di undang, tanpa sedar..sedang kita terleka dibuai kemewahan dan keseronokan duniawi. Fikir-fikirkanlah...


Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud: “Banyak-banyaklah kamu mengingati kejadian yang akan menghancurkan segala kelazatan iaitu maut (mati).” (Hadis riwayat At-Tirmizi) 

~Tinta Mujahid91~

Read more...

Most Read Posts

Followers

Aurat Oh Aurat!!

Aurat Oh Aurat!!